PADA 9 September lalu, berakhirlah kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dengan pengekalan status quo. Di Pulai, calon Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaizan Kayat menang dengan majoriti 18,641 undi manakala di Simpang Jeram, seorang lagi calon Amanah, Ir. Nazri Abdul Rahman, menang dengan majoriti 3,514 undi.
Kedua-dua PRK ini dilangsungkan ekoran kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu. Sepatutnya Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon dalam PRK ini sebagai menghormati Salahuddin. Ini pernah dibuat oleh UMNO yang tidak meletakkan calon dalam PRK DUN Chempaka, Kelantan pada 22 Mac 2015 sebagai menghormati Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 12 Februari 2015.
Bagaimanapun, PN tetap kalah dan gelombang hijaunya gagal menembusi Johor. Malah jumlah dan majoriti undi diperoleh oleh Pakatan Harapan (PH) di Simpang Jeram berbanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022. Ini menunjukkan berlaku perpindahan undi yang besar dari Barisan Nasional (BN) ke PH sekali gus menjadi bukti penerimaan pengundi terhadap PH-BN.
Sejak dari awal lagi sudah diketahui agak mustahil untuk calon-calon PN menang di Pulai dan Simpang Jeram kerana kedua-dua kerusi ini merupakan kubu kuat PH. Walaupun begitu, disebabkan nekad mahu mengembangkan gelombang hijaunya ke Johor dengan harapan kemenangan akan menghidupkan agenda menukar kerajaan atau sekurang-kurangnya menafikan majoriti dua pertiga PH-BN di Parlimen, maka PN menyertainya dengan bersungguh-sungguh berkempen untuk menang.
Mengadakan sesuatu PRK menelan belanja yang banyak. Dana awam dikeluarkan sudah mencecah jutaan ringgit. Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, ini belum dikira dana-dana lain yang terpaksa dikeluarkan oleh pelbagai pihak.
PRK juga mengganggu urusan kerajaan. Pemimpin dan pegawai kerajaan tidak dapat fokus mentadbir negara dan negeri kerana terpaksa berkempen dalam usaha memenangkan parti masing-masing. Banyak pihak termasuk pelabur, penganalisis dan rakyat marhaen juga terkesan kerana apa-apa keputusannya boleh menjejaskan kestabilan politik.
Belum lagi reda bahang, dari 23 September hingga 3 Oktober ini akan ada pula PRK DUN Pelangai yang mengikut SPR memerlukan peruntukan sebanyak RM2.1 juta. Ia terpaksa diadakan ekoran kematian Datuk Seri Johari Harun dari UMNO pada 17 Ogos lalu. Walhal secara logik, keputusan PRK Pelangai sudah boleh diketahui dari awal kerana dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Johari yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang menang dengan majoriti besar 4,048 undi bila beliau memperoleh 7,308 undi berbanding calon Pas (3,260) dan 2,031 calon Amanah (2,031).
SIHAT TUBUH BADAN
Malah, jika diteliti rekod-rekod lalu, perkara sama berlaku. Antara PRU14 (9 Mei 2018) dan PRU15 (19 November 2022) sahaja terdapat dua PRK Parlimen dan enam PRK DUN yang terpaksa dilangsungkan ekoran kematian penyandangnya.
Daripada lapan PRK ini, hanya dua menghasilkan perubahan keputusan tatkala suasana politik memang amat berubah. Pertama, PRK DUN Semenyih, Selangor (2 Mac 2019) ekoran kematian Bakhtiar Mohd. Nor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Januari 2019 menyaksikan berlaku perubahan dengan Zakaria Hanafi dari UMNO menang majoriti 1,914 undi. Kedua, PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor (16 November 2019) ekoran kematian Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik dari Bersatu pada 21 September 2019 yang menyaksikan Datuk Wee Jeck Seng dari MCA menang dengan majoriti 11,521 undi.
Begitu juga antara PRU13 (10 April 2013) dan PRU14 (9 Mei 2018) terdapat lima PRK Parlimen dan lima DUN terpaksa dilangsungkan ekoran kematian penyandangnya dengan hanya satu menghasilkan perubahan, iaitu PRK Parlimen Telok Intan, Perak pada 31 Mei 2014 ekoran kematian Seah Leong Peng dari DAP pada 1 Mei 2014 yang menyaksikan Datuk Mah Siew Keong dari Gerakan menang dengan majoriti 238 undi.
Untuk itu, demi kepentingan kestabilan negara dan penjimatan kos, maka mungkin sudah tiba masanya untuk undang-undang negara dipinda bagi mengelakkan perlunya PRK terus terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya.
Salah satu cara boleh digunakan ialah mengadakan peruntukan baharu yang menyatakan kekosongan jawatan dalam bentuk begini hendaklah diisi oleh mana-mana calon dikemukakan namanya oleh parti diwakili oleh penyandang yang meninggal dunia tanpa memerlukan PRK diadakan sekali gus menjimatkan dana, masa dan tenaga.
Selain itu, undang-undang juga perlu diperketatkan bagi memasukkan syarat sihat tubuh badan yang memerlukan laporan dan pembuktian terperinci ke dalam kelayakan seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Tegasnya, satu langkah konkrit perlu segera diambil bagi mengelakkan negara terpaksa berhadapan dengan politiking berterusan yang tidak memberikan manfaat malah merugikan dana dan boleh menjejaskan kestabilan negara ekoran PRK yang tidak perlu ini. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) jurusan sains politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau; Bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah dan bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR.










