SEBILANGAN kajian mengenai tahap perpaduan negara mendapatinya berada dalam keadaan yang baik sekali. Ia mencatatkan ukuran tinggi dengan nilai yang sangat memberangsangkan.
Dengan kata lain, perpaduan negara, iaitu hubungan etnik khususnya di Semenanjung yang walaupun menghadapi masalah adalah amat baik.
Ini sangat berbeza dengan pengamatan khalayak yang mendapatinya berada dalam keadaan sebaliknya. Dalam hal ini, ada pihak yang mendapatinya dalam keadaan ibarat retak menanti belah.
Sehubungan kajian itu, ia sudah tentu dilakukan secara sistematik untuk bersifat empirikal, yakni dapat ikut diperhati pihak lain secara praktikal selain juga dapat mengesahkannya, lebih-lebih lagi oleh mereka yang tidak langsung terlibat dalam melaksanakan kajian tersebut. Dengan kata lain, kajian itu tidak sembarangan, ia menggunakan teori dipilih khusus untuk bukan sahaja menganalisis data dari lapangan, juga bagi menginterpretasi dapatan daripada keputusan diperoleh.
Dalam kajian itu, perpaduan negara diistilahkan sebagai kesepaduan adalah pada peringkat kedua daripada satu julat yang dilihat sebagai satu proses. Ia didahului penyatupaduan, iaitu fasa rakyat pelbagai etnisiti bergaul untuk cuba menjadi satu dan diikuti perpaduan, yakni takat benar-benar memperlihat wujudnya kesatuan rakyat yang utuh.
Dalam hal ini, kesepaduan merupakan tingkat yang sudah selesai pergaulan dan rakyat sudah mula menjadi sebati. Itulah perjalanan perpaduan negara mengikut teori diguna pakai dalam kajian itu yang dijadikan panduan oleh kerajaan.
Walaupun didapati erat lagi utuh dengan bacaan tinggi pada indeks yang dibangunkan berdasarkan kajian itu, rakyat rata-ratanya berasa tahapnya langsung tidaklah sebegitu. Secara umumnya, mereka mendapatinya berada pada tahap rendah sahaja. Ini antaranya mereka kaitkan dengan hubungan etnik yang rata-ratanya hanya berada pada tahap permukaan tanpa adanya interaksi pada intensiti tinggi dan frekuensi kerap.
Pendapat ini walaupun disangkal oleh pihak yang menjalankan kajian itu, ia semacam dipersetujui apabila mereka sendiri mendapati wujudnya defisit sosial, iaitu jurang dalam masyarakat berdasarkan sejumlah perkara. Ia terdiri daripada 10 perkara, iaitu etnisiti, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, generasi, gender, hubungan kerajaan Pusat dengan negeri, perbezaan bandar dengan desa serta media.
Sehubungan ini, mereka mempercayai setelah ke-10 perkara ini berjaya dirapatkan jurangnya, perpaduan negara akan mencapai tahap perpaduan dalam julat bermula dengan penyatupaduan, kesepaduan dan perpaduan. Ini didasarkan kepada beberapa penanda. Antaranya yang terpenting ialah sekitar 90 peratus rakyat pelbagai etnisiti yang diwakili sampel kajian didapati mempunyai perasaan kebersamaan.
KETERIKATAN
Selain ini, beberapa penanda lain ikut didapati memperlihat peratusan amat tinggi. Antaranya termasuklah perasaan keterikatan (92%), kesanggupan menghadapi masa hadapan yang sama (88%), perasaan kesetiaan (83%) dan pendukungan identiti nasional melalui perkongsian sejarah (82%). Semua ini sebenarnya amat penting dalam memperlihat kesatuan rakyat yang rapat lagi tegap.
Biarpun dengan perangkaan sebegini, khalayak masih tidak dapat menerima hakikat bahawa kita sebenarnya bukan sahaja bersatu padu, tetapi sangat bersatu padu. Keadaan perpaduan negara yang amat positif ini ikut disahihkan oleh pengakuan 80 peratus sampel kajian tentang hubungan sosial rentas etnisiti kita yang mereka katakan sangat baik.
Mungkin dapatan kajian walaupun berangkaan amat menyakinkan, masih tidak dipercayai sepenuhnya kerana kaedah data dipungut di lapangan. Antara kaedah dominan yang diguna pakai ialah pendekatan mentalis. Ia berkenaan dengan pengakuan yang diperoleh secara langsung daripada responden sebagai sampel kajian, antaranya melalui soal selidik. Ia mempunyai kelemahan besar, iaitu pengakuan yang dibuat tidak selalu benar.
Pada kebiasaannya, responden akan memilih respons positif yang disediakan untuk berlaku selamat selain sopan, khususnya apabila soalan dikemukakan kepada mereka secara langsung oleh pengkaji. Respons berbentuk tulisan juga tidak dipercayai kerahsiaannya oleh responden. Oleh itu, mereka rata-ratanya akan memberi respons baik, khusus dua yang teratas dalam skala lima respons.
Pendapat khalayak tentang tiadanya perpaduan erat lagi utuh didasarkan pula kepada pangalaman mereka sama ada dalam mengamati atau mengalami sesuatu itu. Dengan ini, mereka akan membuat kesimpulan berdasarkan apa-apa yang mereka lalui. Ramai juga berbuat demikian ketika memberi respons kepada perkara yang disoal berdasarkan cerita mereka dengar sama ada ia benar atau sebaliknya. Dengan ini, respons yang diberikan itu juga selalunya tidak tepat, kekadang ikut bersifat buruk sangka, konsep salah difahami sebagai betul dan segala macam lain yang tidak sepatutnya. Pendekatan begini dikenali sebagai pendekatan behavioris, iaitu ia didasarkan kelakuan yang diamati tentang perkara ditanyakan itu.
Natijahnya, kedua-dua pendekatan ini mempunyai kekurangan masing- masing. Walaupun begitu, penggunaan kedua-duanya sekali gus boleh lebih memastikan kesahihan sesuatu yang mahu dikaji itu. Mungkin inilah sebabnya dapatan kajian itu sukar diterima khalayak kerana terlalu bergantung kepada pengakuan responden. Begitu juga dengan respons berdasarkan kelakuan pernah dilihat sendiri responden atau dicerita pihak lain kepadanya.
Apa-apa jua pun, perpaduan negara jika kuat, ia perlu dipertahan dan kalau lemah, ia hendaklah diperbaik. Inilah tanggungjawab rakyat kepada negara ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











