UCAPAN penghargaan harus diberikan kepada para pengundi yang sanggup meluangkan masa dan tenaga mereka pada cuti hujung minggu lalu untuk proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Namun, sedih melihat para pengundi terpaksa mengharungi cuaca mendung dan hujan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi mereka. Kelihatan juga warga emas dan orang sakit yang menunaikan kewajiban mereka. Jumlah mereka yang keluar mengundi juga adalah rendah.
Persoalan harus dilontarkan kepada kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sampai bila kita hendak melaksanakan proses mengundi secara bersemuka ini? Perlu diingatkan, pada proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan DUN ke-15 baru-baru ini, seorang warga emas tidak tidak sempat mengundi apabila dilaporkan pengsan di sebuah pusat pengundian di Gemencheh, Negeri Sembilan sebelum disahkan meninggal dunia.
Terdapat ramai pengundi yang terpaksa bersusah payah pulang ke kampung masing-masing semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Jumlah mereka yang keluar mengundi pada PRU DUN ke-15 juga dilihat tidak memuaskan berbanding PRU15 pada penghujung 2022. PRU15 dilakukan pada musim tengkujuh dan banjir sehingga menyusahkan banyak pihak.
Kesimpulannya, kita tidak boleh lagi bergantung harap sepenuhnya pada proses mengundi secara bersemuka ini buat selama-lamanya yang memakan masa serta menggunakan banyak tenaga dan perbelanjaan.
Zaman sudah berubah, oleh itu sudah sampai masanya negara kita mengambil satu langkah proaktif dan inovatif dengan melakukan pembaharuan dalam sistem pilihan raya dengan melaksanakan proses mengundi secara elektronik atau secara dalam talian.
Proses pengundian secara elektronik dilihat mudah dan dapat meningkatkan lagi penglibatan lebih ramai pengundi untuk menunaikan tanggungjawab ketika menghadapi proses pilihan raya. Dengan kewujudan pelbagai teknologi moden pada masa kini, tidak menjadi satu masalah besar untuk negara kita melaksanakan proses mengundi secara elektronik.
Pada ketika ini juga kerajaan sedang giat menjalankan kempen mengalakkan rakyat melakukan proses transaksi kewangan dan membuat pasport secara dalam talian. Pada masa sama, kita juga harus mengambil langkah serupa untuk melaksanakan proses mengundi secara dalam talian. Kita tidak boleh lagi berterusan mengikut cara lama dengan bersusah payah pergi ke tempat mengundi, beratur panjang menunggu giliran serta menanda di atas kertas undi bagi memilih calon.
Proses pengundian secara elektronik bukan jarang didengari kita. Kaedah sebegini dilaksanakan di beberapa negara lebih 20 tahun lalu. Antaranya Australia, Belgium, Brazil, Estonia, Perancis, Jerman, India, Itali, Namibia, Belanda, Norway, Peru, Switzerland, United Kingdom, Venezuela, Pakistan dan Filipina.
BANJIR KILAT
Walaupun terdapat banyak perbahasan mengenai tahap keberkesanan proses undian secara elektronik ini, namun ia boleh membawa banyak faedah dan manfaat pada kita semua. Untuk pentadbir atau pengurus pilihan raya, dapat memudahkan urusan mereka termasuk boleh mengurangkan jumlah kesilapan atau kerosakan undi dilakukan pengundi. Ia juga dapat meningkatkan jumlah penglibatan pengundian kerana boleh dilakukan di mana-mana lokasi.
Proses mengundi secara elektronik ini juga boleh membantu golongan tertentu seperti orang kurang upaya (OKU), individu menghadapi masalah kesihatan serta mereka yang berdepan halangan tertentu seperti banjir kilat untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan lebih mudah, selesa dan selamat.
Proses sebegini juga dapat menjimatkan bajet yang diperuntukan untuk melaksanakan proses pilihan raya. SPR tidak perlu lagi membelanjakan duit dengan banyak untuk mencetak kertas undi, membeli dakwat untuk pengesahan undian dan segala kelengkapan lain lagi. Bajet yang berjaya dikurangkan boleh digunakan untuk perkara-perkara lebih penting.
Masa dan tenaga pengundi juga dapat dijimatkan selain keputusan pilihan raya dapat diketahui dengan lebih cepat dan tepat. Proses pemeriksaan semula undi juga dapat dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan sekiranya berlaku sebarang keraguan terhadap jumlah yang telah dikira.
Secara umumnya, terdapat dua jenis proses mengundi secara elektronik ini, iaitu menggunakan mesin elektronik yang ditempatkan ditempat-tempat mengundi dan dikawal selia oleh pegawai dan pemerhati pilihan raya. Bagi pengundi jarak jauh, boleh membenarkan mereka mengundi dari mana-mana lokasi mengikut tempoh masa ditetapkan.
Sekiranya kita tidak boleh melaksanakan sepenuhnya proses mengundi secara elektronik, sekurang-kurangnya melaksanakan secara hibrid di mana pengundi diberi pilihan sama ada menanda pada kertas undi ataupun secara elektronik.
Kerajaan dan SPR boleh melakukan kajian mendalam terhadap cadangan ini. Pelbagai jenis undang-undang berkaitan proses pilihan raya seperti Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Malaysia tidak boleh lagi ketinggalan dalam perkara ini. Dunia kini sudah pun bergerak maju dengan kewujudan pelbagai jenis kemudahan teknologi. Justeru, proses pilihan raya negara kita perlu dimodenkan selaras kemajuan dan kemudahan teknologi pada masa kini. – UTUSAN
Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










