Kes Roger Ng perlu penyelesaian diplomatik

Kes Roger Ng perlu penyelesaian diplomatik

ROGER NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses membawa pulang bekas jurubank Kumpulan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa bagi menjalani perbicaraan di mahkamah negara ini hanya perlu diselesaikan secara diplomatik antara Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ia lebih kepada budi bicara antara dua negara bagi membolehkan dia tetap menjalani hukumannya di Amerika Syarikat pada masa sama boleh dibicarakan di Malaysia.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia boleh membuat permohonan ekstradisi di mahkamah Amerika Syarikat melalui peguam dilantik di sana untuk membenarkan Roger Ng dibicarakan di Malaysia.

Katanya, sebagai jaminan setelah dibawa pulang, mahkamah di negara itu boleh meletakkan syarat ketat terhadap Kerajaan Malaysia supaya proses ekstradisi berjalan lancar.

“Contohnya, mahkamah boleh meletakkan syarat-syarat jika Malaysia mahu memohon ekstradisi, dia harus diletakkan di tempat khas tertentu dengan pengawasan daripada wakil penjara di Amerika Syarikat.

“Walau apapun, mahkamah di sana yang akan menentukan dan kita tidak boleh mendahului keputusan yang bakal diambil.

“Sebab itu, Jabatan Peguam Negara (AGC), menteri dan duta Malaysia di Amerika Syarikat harus berjumpa dengan rakan sejawatan di sana untuk berbincang. Ia lebih kepada diplomasi, jika tiada bantahan, kita buat permohonan ekstradisi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Roger, 51, diekstradisi ke AS pada Mei 2019 untuk berdepan pertuduhan yang dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berhubung skandal 1MDB.

Dia disabitkan bersalah pada April tahun lalu tetapi dilapor­kan diberi penangguhan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan.

Dia yang dijadualkan menjalani hukuman penjara itu bermula 7 Ogos lalu, dibenarkan menangguhkan serah diri selama 30 hari bagi membolehkan rundingan diadakan antara AS dan Malaysia berhubung kemungkinan dia dihantar pulang ke negara ini untuk membantu siasatan 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×