DALAM masyarakat Cina sering diperkatakan kekayaan yang diraih sesebuah keluarga tidak akan kekal melebihi tiga generasi. Generasi pertama, iaitu datuk dan nenek membanting tulang mengumpulkan harta. Mereka memulakan perniagaan atau kerjaya dengan usaha sendiri.
Generasi kedua, yakni anak-anak mereka juga bertungkus lumus membantu kedua-dua ibu bapa memperkembangkan perniagaan keluarga. Namun, apabila kekayaan keluarga itu diturunkan kepada cucu dan cicit, harta pustaka terkumpul melalui keringat pahit mungkin lesap sekedip mata sahaja. Inilah dimaksudkan kekayaan tidak bertahan tiga generasi.
Kebanyakan peneroka awal keturunan Cina tiba di Tanah Melayu pada abad ke-19 dan ke-20 dengan serentang kain. Mereka cuma memiliki tenaga buruh dan kepintaran akal. Mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan bekerja sepanjang masa tanpa mengenal lelah.
Ahli keluarga merupakan tenaga buruh paling penting bagi usahawan Cina pada zaman itu. Anak-anak terpaksa membantu ibu bapa di ladang getah, kebun sayur, kedai runcit, kedai kopi dan sebagainya.
Bapa merupakan orang paling berkuasa dalam keluarga. Bapa bukan sahaja berperanan sebagai ketua keluarga, dia juga pemilik dan pengurus perniagaan keluarga. Keputusan perniagaan dibuat dengan mudah dan disampaikan dari atas hingga ke bawah. Isteri dan anak-anak menuruti sahaja apa diperintahkan oleh ketua keluarga.
Masuk generasi kedua, urusan perniagaan keluarga Cina berubah sedikit. Biasanya, anak lelaki sulung dipertanggungjawabkan untuk mengelola perniagaan. Adik-adik lelaki pula membantu. Bagaimanapun, selagi pengasas perniagaan masih sihat dan larat, dia memegang kuasa pemutus.
Banyak anak bermaksud banyak tenaga boleh dicurahkan untuk mengembangkan perniagaan keluarga. Akan tetapi, disebabkan adik-beradik merupakan generasi setara, kadangkala perbalahan berlaku khususnya apabila ayah sudah tiada.
Keputusan dalam perniagaan keluarga lazimnya dilakukan secara koordinasi, negosiasi dan konsultasi tidak formal. Sekiranya adik-beradik tidak sepakat atau sehaluan, maka persengketaan akan berlaku. Adakala disebabkan terlalu mementingkan kepentingan diri daripada kepentingan keluarga, maka pembahagian puak akan terjadi dalam keluarga. Akhirnya, pembahagian harta antara ahli-ahli keluarga terpaksa dilakukan khususnya setelah adik-beradik mendirikan rumah tangga masing-masing.
Bagaimanapun, terdapat juga keluarga Cina di mana adik-beradik menjalankan perniagaan secara kolektif dengan berjaya dan aman. Dalam kes ini, apa diperlukan ialah seorang pemimpin berwibawa. Dia perlu pintar memimpin dan menjaga kepentingan pemegang-pemegang saham dalam kalangan adik-beradik dengan adil dan saksama.
Apabila sesebuah keluarga Cina masuk generasi ketiga, kerjasama dalam perniagaan kelihatan semakin sukar kerana rata-rata cucu dan cicit tidak lagi berpeluang melibatkan diri dalam perniagaan keluarga secara langsung. Hal ini kerana skil perniagaan keluarga sudah berkembang besar dan sistematik, maka tidak lagi sesuai diuruskan mengikut gaya tradisi keluarga.
Kebanyakan generasi ketiga hidup senang dan tidak pernah mengalami kepahitan hidup. Oleh itu, mereka mungkin tidak memahami betapa payahnya nenek moyang mengumpulkan kekayaan sedia ada. Disebabkan kekayaan datang bergolek, mereka mungkin tidak berusaha untuk berdikari dan suka menjalani kehidupan secara boros. Maka harta pusaka diwarisi mereka akan habis dibelanja dengan sekelip mata.
KELEMAHAN BESAR
Disebabkan keluarga Cina terlalu mementingkan pertalian kekeluargaan, biasanya perniagaan keluarga akan diserahkan kepada ahli keluarga yang rapat sahaja. Dengan itu, staf dari luar yang berkaliber sukar dikekalkan dalam syarikat keluarga. Ini merupakan satu kelemahan besar dalam perniagaan milikan kaum Cina.
Disebabkan kebanyakan perniagaan keluarga Cina berbentuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), saiz dan modalnya tidak besar. Maka pemilikan dan pengurusan sukar dipisahkan. Sehubungan itu, perniagaan keluarga Cina sukar berkembang tanpa memanfaatkan bakat dari luar.
Mendiang Tan Sri Lee Kong Chian (1893-1967), pengasas Kumpulan Lee Rubber juga seorang dermawan terkemuka mengetengahkan strategi yang sangat unik untuk mengelakkan perebutan harta dalam kalangan anak-anaknya. Pertama, beliau melengkapkan setiap anaknya dengan pendidikan setinggi mungkin. Mereka dibimbing menjadi ahli profesional agar tidak perlu bergantung kepada perniagaan keluarga untuk meneruskan kehidupan.
Pada 1952, beliau menubuhkan Yayasan Lee, sebuah organisasi kebajikan untuk menjalankan kerja-kerja amal. Pada 1964, Kong Chian mendermakan 48 peratus milikan sahamnya dari Kumpulan Lee Rubber kepada Yayasan Lee. Ketiga-tiga anak lelakinya masing-masing hanya memegang 13.75 peratus saham. Baki (10%) pula diperuntukkan kepada anak-anak perempuannya dan pemegang-pemegang saham lain.
Kong Chian sedar sekiranya beliau menyerahkan empayar perniagaan kepada salah seorang anak, maka adik-beradik mungkin akan bergaduh. Dengan itu, perniagaan keluarganya mungkin gulung tikar.
Di Kumpulan Lee Rubber, anak-anak Kong Chian hanya dilantik ke lembaga pengarah syarikat manakala kerja-kerja operasi diserahkan kepada pengurus-pengurus profesional. Ini merealisasikan konsep pembahagian kuasa dalam amalan pentadbiran perniagaan moden.
Yayasan Lee menggunakan dividen diperoleh daripada Kumpulan Lee Rubber untuk membantu golongan memerlukan. Sehingga kini, berbilion ringgit disumbangkan untuk membantu kumpulan sasaran tanpa mengira kaum sejak penubuhannya.
Kong Chian meninggalkan satu legasi yang sukar ditandingi ahli-ahli perniagaan lain. Walaupun sudah lama meninggalkan kita, namun jasa beliau sebagai dermawan agung sentiasa dikenang.
Sesungguhnya, usahawan-usahawan Cina yang lain mempunyai cara dan strategi tersendiri untuk mengekalkan perniagaan dan kerjaya keluarga masing-masing. Salah satu penyelesaiannya ialah memberikan pelajaran terbaik untuk setiap anak. Berbekalkan ilmu dan kemahiran di dada, anak-anak boleh memilih sama ada menyambung perniagaan diwarisi ataupun memulakan perniagaan baharu.
Kesimpulannya, harta pusaka paling bernilai merupakan kemahiran dan semangat perjuangan nenek moyang. Generasi baharu harus digalakkan untuk mengumpulkan harta sendiri jika mereka mahu hidup senang.-UTUSAN
PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.











