Manuskrip ulama serlah kehebatan bahasa Melayu

Manuskrip ulama serlah kehebatan bahasa Melayu

MANUSKRIP ulama Melayu yang ditulis dengan tulisan Jawi sangat wajar diberi perhatian untuk dimanfaatkan, bukan hanya tersimpan dalam arkib. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA merupakan salah satu elemen penting yang menunjukkan identiti sesuatu bangsa. Kehebatan sesuatu bangsa yang mampu mencipta kegemilangan peradaban unggul mempunyai perkaitan rapat dengan aspek bahasa dijadikan tonggak utamanya. Tidak ada sesuatu bangsa yang berjaya mencapai kegemilangan peradaban dengan hanya bergantung kepada bahasa orang lain.

Sesungguhnya kepentingan bahasa tidak dapat disangkal kerana ia juga merupakan salah satu daripada bukti kekuasaan Allah SWT. Firman-Nya dalam al-Quran bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan.” (Surah ar-Rum, ayat 22)

Dalam konteks bahasa Melayu, ia sebenarnya berfungsi sebagai agen penyatuan rumpun Melayu di Kepulauan Alam Melayu sejak sekian lama. Kegemilangan Kepulauan Alam Melayu yang memiliki bahasa tersendiri terus berkembang dengan kedatangan Islam. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, disebabkan Islam maka bahasa Melayu terus tersebar ke seluruh pelosok Kepulauan Alam Melayu serta menyatukan kelompok bahasa-bahasa yang dapat digelar ‘Melayu’ agar menjadi satu bahasa bagi bangsa Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kehebatan bahasa Melayu dengan fungsinya yang sangat signifikan dalam membentuk keunggulan peradaban bangsa perlu dilestarikan. Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu disemarakkan terutama di pusat pengajian tinggi memandangkan ia bukan sahaja berfungsi sebagai tempat untuk menimba ilmu tetapi juga menjalankan penyelidikan yang memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

Inisiatif Menteri Pendidikan Tinggi yang memberi perhatian khusus terhadap agenda memartabatkan pengajian Melayu dilihat tepat pada masanya. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam syarahannya bertajuk Pemerkasaan Pengajian Melayu Untuk Pembinaan Negara dan Pengisian Tuntutan Globalisasi di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada 30 Mei lalu menggariskan tiga perkara yang salah satunya berkaitan keperluan pengajian Melayu dilengkapi rangkaian sumbangan yang jelas dan terlihat kepada bangsa dan negara.

Saranan tersebut dilihat sejajar dengan kepentingan ‘ilmu pengetahuan’ dan ‘kearifan tempatan’ digariskan dalam kerangka Malaysia Madani. Dengan kata lain, pengajian Melayu mesti berusaha menyerlahkan kepentingannya dalam usaha membentuk masyarakat yang memiliki ketamadunan dan peradaban unggul dan boleh dicontohi oleh bangsa lain di peringkat global. Penerimaan bahasa Melayu sebagai salah satu bidang pengajian di institusi luar negara seperti China dan Korea adalah satu perkara amat membanggakan dan perlu diperkasakan lagi.

Usaha menghargai khazanah ilmu yang sememangnya diwarisi oleh sarjana dan ulama Melayu perlu dijadikan antara asas penting dalam usaha pemerkasaan pengajian Melayu menerusi pemartabatan bahasa Melayu. Hasil penulisan sarjana dan ulama Melayu sebelum era kini perlu dimanfaatkan sebagai bukti kukuh menunjukkan wujudnya kegemilangan ilmu oleh bangsa Melayu suatu masa dahulu. Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan tanpa terikat dengan budaya bangsa lain.

PENDIGITALAN
Hasil penulisan para sarjana dan ulama Melayu terdahulu bukan sahaja merujuk kepada bidang agama semata-mata tetapi mencakupi aspek perundangan, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Ledakan teknologi dan kepesatan globalisasi pada hari ini menuntut usaha proaktif bagi memastikan khazanah ilmu daripada kearifan tempatan dapat memberi input bermanfaat sekali gus menawarkan sumbangan jelas kepada bangsa dan negara.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengorak langkah memartabatkan bahasa Melayu menerusi kajian melibatkan manuskrip ulama Melayu. Usaha pendigitalan manuskrip ulama Melayu merupakan antara inisiatif UniSZA bagi membuktikan keperluan bahasa Melayu diperkasa untuk faedah bangsa dan negara.

Manuskrip ulama Melayu yang ditulis dengan tulisan Jawi sangat wajar diberi perhatian untuk dimanfaatkan, bukan hanya tersimpan dalam arkib. Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), selaku sekretariat Projek Pendigitalan Manuskrip UniSZA telah melibatkan beberapa jaringan kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sebenarnya usaha pendigitalan manuskrip ulama Melayu oleh UniSZA bukan sahaja bertujuan memelihara khazanah ilmu berharga tetapi juga untuk menyebar luas ilmu terkandung dalam manuskrip melalui capaian sistem yang dibangunkan. Hasilnya, generasi muda hari ini akan dapat mengenali ketokohan dan keilmuan para ulama Melayu seperti Tok Ku Tuan Besar (m. 1295), Tok Pulau Manis (m. 1736), Tok Syeikh Duyung (m. 1889), Tok Ku Paloh (m. 1917) dan seumpamanya. Para ulama Melayu tersebut merupakan golongan cendekiawan yang bukan sahaja memiliki kewibawaan dalam bidang ilmu pengetahuan tetapi juga berkeupayaan membangunkan masyarakat pada zaman mereka.

Usaha ini akan diteruskan dengan sokongan semua pihak termasuk para penyelidik, masyarakat setempat dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Tambahan pula usaha ini sejajar dengan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030 yang antara lain menggariskan objektifnya untuk memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing. Bahasa Melayu akan kelihatan hebat apabila ia mampu menjadi bahasa pengantar dalam bahan-bahan ilmiah untuk dijadikan rujukan oleh semua orang.

Kehebatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak boleh dipertikaikan lagi kerana sememangnya ia mampu menjadi wadah penyebaran ilmu pengetahuan sepertimana dimanfaatkan para ulama Melayu generasi terdahulu. Malah bahasa Melayu akan terus relevan sebagai bahasa ilmu pengetahuan sekiranya bangsanya sendiri bertindak memperkasa dan memartabatkannya di tanah kelahirannya dan di persada dunia.-UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Fadzli Adam ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×