Pisah kuasa AG, Pendakwa Raya dinilai Jawatankuasa Pilihan Khas

Pisah kuasa AG, Pendakwa Raya dinilai Jawatankuasa Pilihan Khas

ANWAR Ibrahim menyantuni sebahagian jemaah kanak-kanak selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya sudah dibincangkan oleh Kabinet dan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk mendapat panda­ngan dan juga sokongan.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan masih diteruskan dan belum ada keputusan dibuat.

“Kami telah merujuknya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan ia akan menelan belanja yang banyak (jika diasing) (tetapi) berbaloi (sebab) jika ia perlu dilakukan, ia akan dilakukan.

“Namun, tolong jangan katakan cadangan itu belum diputuskan. Cuma, perkara itu tidak boleh dilaksana secepat mungkin dalam beberapa minggu… perlu mempunyai majoriti dua pertiga,” katanya.

Beliau mengulas sama ada isu berkaitan individu berpengaruh yang dilepas daripada pertuduhan mahkamah akan memotivasikan kerajaan untuk menga­singkan kuasa AG dan Pendakwa Raya.

Sementara itu, Anwar menafikan beliau memberi arahan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk menghentikan prosiding perbicaraan sekali gus menyaksikan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan.

Menurut Perdana Menteri, Idrus yang bertegas mahu ‘menjalankan tanggungjawab’ berkaitan kes berkenaan sebelum perkhidmatannya tamat.

“Kalau tanya saya, kalau saya ada kuasa, saya nak tangguh. Sebab apa? Saya nak lepaskan dulu semua pilihan raya ini tetapi Peguam Negara tidak bersetuju.

“Beliau (Idrus) kata tarikh awal mahkamah ialah empat hari bulan dan lima hari bulan ialah hari akhir beliau (sebagai Peguam Negara), jadi beliau mahu menjalankan tanggungjawab, dia tidak mahu melepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain, jadi saya tidak boleh menghalang,” katanya.

“Mereka nak tohmah, tohmah lah tapi saya bercakap di sini untuk menjelaskan bahawa tidak ada arahan (kepada) Peguam Negara, masa itu Tan Sri Idrus Harun (yang) terlibat dalam meneruskan pendakwaan,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×