JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka peratusan keluar mengundi melebihi 70 peratus bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, hari ini.
Justeru, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menasihati pengundi supaya menyusun jadual mereka bagi memudahkan pergerakan keluar mengundi.
“Untuk sasaran peratusan keluar mengundi, kalau lihat trend terkini kita harap Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dapat lebih 70 peratus, walaupun sebelum ini agak rendah.
“Jangkaan jumlah pengundi itu dibuat ekoran rasa tanggungjawab rakyat negara ini dalam memilih pemimpin dan semangat tinggi yang ditunjukkan semasa kempen pihak-pihak bertanding selama ini,” katanya selepas meninjau proses semakan akhir PRK Pulai di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini, semalam.
Menurut Abdul Ghani, SPR berharap keputusan pengundian bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dapat diperoleh seawal pukul 9 malam.
“Pilihan raya sebelum ini kita keluarkan keputusan awal. Jadi, InsyaAllah selepas waktu Isyak kalau tiada apa-apa aral, kita keluarkan keputusan awal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi supaya menyesuaikan waktu keluar mengundi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Waktu mengundi bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan sebanyak 294 jumlah saluran di 47 pusat mengundi di Parlimen Pulai, manakala 68 jumlah saluran di 14 pusat mengundi bagi DUN Simpang Jeram.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN











