PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP mengingatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa beliau lupa akan semangat setia kawan dan dukungan yang pernah diberi DAP kepada parti itu sebelum ini.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, dukungan itu bermula ketika proses pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tahun lalu.
Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, disebabkan semangat setia kawan itulah mengapa MUDA akhirnya masing-masing mempunyai satu kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
“Syed Saddiq tahu akan hal ini.
“Meskipun ia (setia kawan dan dukungan) tidak semestinya menjadi faktor utama, Syed Saddiq patut sedar bukan sedikit yang telah DAP lakukan hingga Johor melahirkan kerusi tunggal untuk MUDA di peringkat DUN dan Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Saddiq semalam dilaporkan mendakwa DAP sebagai hipokrit, gila kuasa, tiada prinsip dan ‘lapdog’ kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dakwaan itu dibuat susulan kenyataan Kor Ming yang menasihatkannya adalah lebih profesional untuk Syed Saddiq berbincang dengan kepemimpinan kerajaan sebelum mengugut menilai semula sokongannya.
MUDA baru-baru ini mengancam keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika tiada penjelasan terperinci daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada pertuduhan rasuah.
Sebelum keluar daripada kerajaan, MUDA akan menggerakkan kempen protes di jalanan dan juga di media sosial jika beberapa tuntutannya tidak ditunaikan.
Dalam pada itu, Sheikh Umar berkata, Syed Saddiq tidak sepatutnya tergamak melemparkan tohmahan terhadap DAP khususnya kepada Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming.
“Seorang ahli Parlimen yang sama mendukung Kerajaan Perpaduan, sewajarnya menggunakan saluran dalaman untuk mendapatkan penjelasan. Bukan melakukan serangan hendap secara terbuka,” katanya. – UTUSAN











