‘Perpaduan’ yang betul-betul mantap atau terpaksa?

‘Perpaduan’ yang betul-betul mantap atau terpaksa?

KERAJAAN perpaduan adalah kata kunci yang indah pada bahasanya tetapi adakah ia menepati falsafah dan objektif politik? – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASAS atau dasar teras sesebuah kerjasama dibentuk antara parti-parti politik mempunyai hubungan dan kesan besar kepada kestabilan politik negara. Falsafah asas sesebuah parti politik biasanya dinyatakan dalam perlembagaannya.

Bila merujuk kepada perlembagaan, maka kita dapat memahami falsafah asas sesebuah parti. Ia mempunyai hubungan rapat dengan sejarah latar belakang dan matlamat utama penubuhannya. Perlembagaan ini dibina sedemikian rupa penuh teliti dan tidak boleh dipinda dengan mudah oleh kepimpinan semasa dan dengan tujuan bersifat jangka pendek.

Walaupun ada kemungkinan falsafah asas dan perlembagaan ini dipinda, ia mestilah melalui satu proses dipersetujui majoriti ahli selaras perlembagaan. Walaupun begitu, pindaan itu tidak sekali-kali boleh menyentuh atau mengubah falsafah asas dan teras utama sesebuah parti politik.

Sebarang kerjasama yang dibentuk oleh parti-parti politik mestilah pada dasarnya dilakukan berasaskan falsafah asasnya. Ia mungkin boleh berbeza asas utama falsafah, tetapi akan menimbulkan masalah dalaman dan tentangan daripada ahli bawahan secara keseluruhan. Kerjasama ini tidak mungkin dapat bertahan lama dan dalam jangka panjnag akan ditentang oleh majoriti ahli parti. Mereka tidak akan menyokong parti dalam pilihan raya atau lebih radikalnya menyatakan pendirian keluar parti sebagai protes terbuka.

Sesebuah parti politik akan menjadi lemah (walaupun pada asalnya sebuah parti besar yang menguasai politik negara) dan kemungkinan besar hilang pengaruh. Jika proses ini berlaku berterusan, sesebuah parti itu akan hilang dalam lipatan sejarah politik sesebuah negara. Daripada asas ini kita dapat katakan bahawa falsafah sesebuah parti politik itu mempunyai peranan besar yang tersirat dalam membuat sebarang keputusan besar seperti membentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik.

Melihat kepada perkembangan politik negara sekarang, sejauh manakah kerjasama parti-parti politik yang menguasai Kerajaan Persekutuan dilakukan atas asas falsafah sama atau secara kasarnya ‘bertentangan’?

Kerajaan perpaduan adalah kata kunci yang indah pada bahasanya, tetapi sejauh manakah ia menepati falsafah dan objektif politik? Perpaduan adalah asas yang sangat penting dalam membina kestabilan politik sesebuah negara. Selama ini pun sejak kita merdeka, kestabilan politik yang terbentuk adalah kerana asas perpaduan yang dibina antara parti-parti politik utama khususnya UMNO, MCA, MIC dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Cuma perkataan ‘perpaduan’ itu tidak dinyatakan secara tersurat. Secara tersiratnya falsafah ‘perpaduan’ itu telah sekian lama diamalkan. Pada umumnya tiga parti utama ini bersifat liberal dan sederhana dalam tindak-tanduk dan keputusan politiknya sejak negara merdeka (bahkan lebih awal dari tarikh kemerdekaan – unsur-unsur perpaduan ini dijelmakan dalam pilihan raya kerajaan tempatan di bandar-bandar utama di Tanah Melayu).

PRU

Pilihan Raya Umum (PRU) 1964 dilihat ada satu perkembangan baharu dalam politik negara apabila kerjasama tiga parti utama ini mula digugat oleh sebuah parti baharu berasal dari selatan tanah air dengan meletakkan calon-calonnya di kawasan majoriti kaum Cina (yang pada prinsip umum persetujuan hanya diwakili oleh calon Perikatan dari MCA). Prinsip asas perlembagaan yang dibentuk dan dipersetujui oleh tiga parti utama mula disentuh oleh PAP pimpinan Lee Kuan Yew.

Persoalan berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan kontrak sosial juga mula disentuh. Persoalan ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan (khususnya Perkara 153) dan Akta Hasutan 1948. Walaupun PAP hanya berjaya memenangi satu kawasan Parlimen (Parlimen Bangsar), tetapi ia memberi kesan besar kepada konsep perpaduan yang diamalkan sejak awal merdeka.

Kesan dari PRU 1964 terus berlanjutan kepada perpaduan politik dan mempunyai hubungan dengan pertembungan antara pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Kuan Yew yang akhirnya membawa kepada pemisahan Singapura dari Malaysia pada Ogos 1965. Adakah warisan konflik antara Tunku Abdul Rahman dan Kuan Yew masih berlanjutan hingga kini? Apakah masih ada parti politik yang mempunyai asas falsafah yang sama dengan PAP dalam politik negara kini? Adakah parti politik itu masih mempunyai asas yang sama atau telah berubah perlembagaannya dan benar-benar selari dengan Perlembagaan Persekutan dan tidak bercanggah dengan kontrak sosial dipersetujui bersama oleh tiga parti utama?

Adakah keputusan PRU 1969 mempunyai pola yang sama dengan PRU 1959? Adakah majoriti pengundi Cina memberi sokongan kepada parti Perikatan atau mula beralih arah kepada parti lain yang tidak benar-benar menjunjung perpaduan antara kaum dan prinsip kontrak sosial? Apa hubungannya keputusan PRU 1969 dan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969?

Persoalan yang saya kemukakan ini perlu dikaji dan difahami dengan mendalam oleh semua pimpinan utama parti-parti politik dan warganegara yang cintakan kestabilan. Adakah parti-parti politik dalam kerajaan perpaduan sekarang benar-benar satu gabungan yang betul-betul mantap atau sekadar gabungan ‘terpaksa’ yang perlu dibentuk bagi keperluan semasa jangka pendek?

Adakah antara UMNO dan DAP boleh terbentuk satu kerjasama yang betul mantap dan berterusan dalam jangka panjang? Bolehkah pertembungan ‘tajam’ antara UMNO dan DAP dilembutkan bagi membina kerjasama yang lebih boleh diterima orang Melayu dan pengundi Cina?

Saranan dan cadangan oleh beberapa orang UMNO supaya DAP menggugurkan perkataan ‘sekular’ dan Malaysian Malaysia itu wajar dan mungkin berlaku? Adakah wajar bagi UMNO menyentuh isu-isu dalaman dan prinsip asas perjuangan DAP yang sekian lama diperjuangkannya? Mungkinkah DAP akan mendapat sokongan besar pengundi Cina jika membuat perubahan dasar, falsafah dan perlembagaannya? Adakah UMNO telah membuat keputusan silap dengan membentuk kerjasama dengan parti politik yang sangat ‘tajam’ perbezaannya dengan perjuangan asal UMNO? Adakah tindakan ahli dan penyokong UMNO mengubah pendirian dengan menolak UMNO dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos lalu mempunyai hubungan rapat dengan kerjasama UMNO-DAP?

Perpecahan parti-parti politik Melayu mempunyai kesan besar kepada kestabilan politik negara. Sebagai kumpulan penduduk majoriti, sokongan pengundi Melayu kepada sebuah parti politik utama yang boleh diterima oleh keseluruhan secara majoriti oleh bangsa Melayu adalah asas penting. Sebarang keputusan mana-mana parti politik Melayu mesti didasarkan kepada kepentingan umum orang Melayu dan kepentingan serta kestabilan negara. – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×