PETALING JAYA: Cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak akan menyelesaikan pendakwaan politik selagi pelantikan kedua-dua jawatan itu dibuat oleh badan eksekutif.
Justeru, pelantikan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu bebas campur tangan daripada mana-mana pihak berkepentingan agar mereka boleh berperanan dengan bebas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, cadangan agar diwujudkan satu badan khusus dalam hal ehwal pendakwaan perlu dibuat secara menyeluruh termasuk membabitkan pindaan Perlembagaan.
Menurut beliau, meskipun cadangan itu dilihat baik, namun ia tidak semudah disangka dalam memastikan proses pendakwaan bebas sepenuhnya daripada campur tangan politik.
Haniff berkata, cadangan agar Pendakwa Raya dipilih melalui Parlimen sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong juga masih belum mampu memastikan pendakwaan bebas campur politik jika Parlimen dikuasai blok kerajaan.
“Oleh itu bagi memastikan berlaku keseimbangan antara blok kerajaan dan pembangkang, cadangan nama Pendakwa Raya perlu dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Ini bagi memastikan cadangan nama Pendakwa Raya mendapat persetujuan semua wakil blok kerajaan dan pembangkang demi memastikan bakal penyandang jawatan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu kerajaan menyegerakan langkah pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memantapkan lagi sistem demokrasi dan proses undang-undang dalam negara kita.
Perkara itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin yang melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan.
Haniff berkata, Peguam Negara perlu menjawab pelbagai persoalan berhubung alasan menghentikan pendakwaan Ahmad Zahid sedangkan perbicaraan sedang berlangsung di peringkat pembelaan. – UTUSAN










