Selaras kenaikan gaji penjawat awam 30 peratus

Selaras kenaikan gaji penjawat awam 30 peratus

UiTM
Kerajaan diminta menaikkan gaji sehingga 30 peratus sebagai satu usaha untuk melakukan pela­rasan gaji pensyarah dan penjawat awam. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta untuk menaikkan gaji sehingga 30 peratus sebagai satu usaha untuk melakukan pela­rasan gaji pensyarah serta penjawat awam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Kesatuan-Kesatuan Universi­ti Awam Malaysia (Gakum), Zulkifli Mohammad berkata, kenaikan itu amat wajar dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.

Beliau berkata, walaupun pendapatan penjawat awam pernah diselaraskan semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, kadar ketika ini sudah di luar kemampuan kumpulan penjawat awam tidak kira pensyarah mahupun pentadbir.

“Pelarasan kenaikan gaji antara 30 peratus diharapkan penjawat awam kerana gaji sekarang yang tidak disemak hampir 15 tahun tidak sesuai pada masa kini.

“Kumpulan Gred 40 ke bawah sememangnya menghadapi isu sara hidup yang cukup tinggi dengan pendapatan yang tidak dapat menampung sedang­kan kos mereka hanya bergantung kepada gaji semata-mata.

“Oleh itu, dengan Perdana Menteri yang prihatin (sering) sebut soal gaji penjawat awam serta isu kos sara hidup, kita harap ada pengumuman yang menggembirakan Oktober ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi Temu Anwar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor dilaporkan berkata, kerajaan akan melakukan pelarasan gaji pensyarah, profesor serta penjawat awam dalam Belanjawan Madani yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berkaitan skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.

“Saya tengok pelarasan gaji pensyarah, profesor dan penjawat awam sudah 10, 12 tahun tidak dikaji, tidak dinaikkan. Padahal mengikut peruntukan, setiap 10 tahun perlu ada pela­rasan (gaji)… jadi saya arahkan tubuhkan jawatankuasa untuk kaji masalah ini,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Zulkifli ber­kata, kerajaan juga diminta mempertimbang kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) ke satu kadar yang lebih berse­suaian.

Katanya, ini kerana pelarasan gaji tidak akan mempengaruhi kadar KGT kecuali ia diubah oleh kerajaan.

“Kadar KGT paling rendah RM80 bagi mereka yang Gred 11. Memang ada kenaikan RM100 sebelum ini, tetapi itu one off saja.

“Jadi, kalau di peringkat bawah berubah, maka gred-gred yang di atas akan sama berubah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Presiden Persatuan Akademik Universiti Awam (MPPA), Dr. Mazlan Che Soh turut berpandangan, pelarasan itu diharap dapat menyamai pela­rasan yang pernah dinikmati beberapa tahun sebelum ini.

“Mungkin terlalu awal untuk peratusan, tetapi kalau boleh pelarasan itu dibuat signifikan terhadap kedudukan ekonomi serta peningkatan kos sara hidup.

“Jadi, kami amat mengalu-alukan dan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk melakukan pelarasan terhadap gaji pensyarah dan kakitangan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×