Vaksinasi pengakhir Covid-19? - Utusan Malaysia

Vaksinasi pengakhir Covid-19?

Vaksin telah diuji keberkesanan sebelum diluluskan oleh penilaian badan saintifik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI persoalan timbul tatkala Malaysia sudah merancang Program Imunisasi – Covid-19 yang akan bermula hujung bulan ini.

Biarpun negara sudah pasti melaksanakan program ini bagi membendung penularan pandemik, suara-suara sumbang masih ada hingga ia dilihat seolah-olah mempertikaikan keberkesanannya.

Ada juga yang bertanya adakah vaksin ini selamat untuk bayi, kanak-kanak, wanita mengandung atau warga emas?

Pakar Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M Singaraveloo berkata, penyakit Covid-19 disebabkan jangkitan varian koronavirus dikenali sebagai SARS-CoV-2.

Virus itu boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan yang mungkin menyebabkan gejala daripada selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk.

“Vaksin bertujuan merangsang sistem imun supaya jika kita terdedah kepada koronavirus SARS-CoV-2, tubuh badan boleh bertindak balas terhadap jangkitan Covid-19.

“Pelbagai platform seperti jujukan genetik RNA, viral vektor, virus nyahaktif dan sub-unit protein digunakan untuk menyediakan vaksin koronavirus yang selamat dan berkesan.

“Ia memberikan anda perlindungan terbaik terhadap Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Singaraveloo berkata, semua vaksin telah diuji keberkesanan dan kesan sampingan sebelum ia diluluskan oleh penilaian badan saintifik yang dikhususkan dalam membangunkan vaksin ini.

Kajian meluas dilakukan sebelum ia diberikan kepada orang ramai.

Tambahan pula, kesan sampingannya adalah kecil seperti lengan sakit dan kemerahan dan demam. Ia adalah perkara biasa dan kesan sampingan lain jarang berlaku.

“Kepentingan vaksin adalah lebih besar daripada risiko,” katanya.

Covid-19 tidak mengenal usia malah ia boleh dijangkiti pelbagai peringkat termasuk bayi malah ia boleh menjadi lebih teruk.

Justeru katanya, semua peringkat umur disaran mengambil vaksin tersebut.

KANAK-KANAK, WARGA EMAS PERLU DILINDUNGI

Ujian keberkesanan vaksin bagi kanak-kanak sedang dilakukan oleh Universiti Oxford. Ia melibatkan 300 kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun menggunakan vaksin astraZeneca. Keputusan keberkesanannya belum diketahui hingga kini.

Dr. M Singaraveloo berkata, sehingga kini tiada penemuan vaksin Covid-19 bagi peringkat umur bawah 16 tahun.

Malah tiada ujian dilakukan kepada ibu hamil. Namun katanya, adalah lebih baik memberikan vaksin kepada mereka agar lebih dilindungi.

 

DR. M SINGARAVELOO

“Begitu juga bagi wanita menyusukan anak. Mereka tiada masalah menerima vaksinasi. Namun, golongan ini boleh membuat pilihan untuk menerima atau tidak. Dalam hal ini, ia memerlukan nasihat daripada pakar perubatan,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menyarankan golongan warga emas 85 tahun ke atas mendapatkan rujukan pakar perubatan terlebih dahulu.

KEKAL SOP

Walaupun program tersebut bakal dilaksanakan, orang ramai dinasihatkan untuk terus patuh prosedur operasi standard (SOP) dalam memerangi penyebaran virus.

“Kekalkan penjarakan sosial dan elakkan himpunan ramai walaupun dalam kalangan ahli keluarga.

“Lindungi bahagian wajah kerana bahagian mata, hidung dan mulut bertindak sebagai laluan virus memasuki badan. Topeng dan pelindung muka adalah cara terbaik melindungi virus Covid-19,” jelasnya.

Orang ramai juga tidak boleh terlalu memberi harapan kepada vaksin kerana ia memerlukan masa untuk bertindak ke atas tubuh badan, meskipun diberikan dua kali suntikan.

Dr. Singaraveloo berkata, ia memerlukan masa untuk diketahui.

“Selain itu, kita perlu yakin dan ingat bagaimana melindungi diri daripada beberapa penyakit berjangkit, sebahagiannya kita telah hampir berjaya mengawal seperti penyakit cacar (small pox) dan virus polio,” jelas beliau.

MAKANAN SUNAH

Pengambilan produk makanan tambahan termasuk makanan sunah tidak dapat membantu menambah baik kualiti tahap kesihatan.

Sebaliknya orang ramai disaran mengamalkan langkah pencegahan seperti menjaga aspek kebersihan diri dan vaksinasi.

Ditanya mengenai segelintir berpandangan tiada kepentingan dalam pengambilan vaksin sama ada sebagai langkah pencegahan mahu pun rawatan, Dr. Singaraveloo berkata, golongan berkenaan barangkali memiliki persepsi makanan sunah mampu mengelakkan gejala.

Namun katanya, makanan sunah adalah baik diambil dalam bentuk asli berbanding yang sudah diproses dalam bentuk makanan tambahan.

Dalam pada itu, katanya, golongan yang mengutamakan pengambilan produk makanan sunah menjadi antara faktor keengganan mereka menjalani rawatan pemulihan dan melengahkan proses mendapatkan bantuan daripada doktor bertauliah.

Bahkan jauh lebih ekstrem, terdapat pesakit memberhentikan ubat-ubatan moden yang dipreskripsikan oleh doktor kerana memilih produk makanan sunah.

Hal ini kerana golongan tersebut merasakan makanan tambahan dan produk makanan sunah lebih selamat dan boleh menggantikan ubatan moden dalam merawat penyakit.

“Persepsi dan salah faham dalam masyarakat harus diperbetulkan dengan kesedaran dan pemahaman yang lebih jelas tentang konsep makanan sunah.

“Amalan pemakanan dan konsep usaha adalah perlu dalam penjagaan kesihatan dan perawatan sesuatu penyakit,” katanya.

Sehingga kini tiada penemuan vaksin Covid-19 bagi peringkat umur bawah 16 tahun termasuk bayi. – Gambar hiasan
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×