Jalur Gemilang yang menyelerakan - Utusan Malaysia

Jalur Gemilang yang menyelerakan

Nasi Lemak Jalur Gemilang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jalur Gemilang dihasilkan dalam bentuk pemanis mulut sememangnya ceria dan mengundang selera untuk menikmatinya. Sempena bulan kemerdekaan, Fazidatul Laily Sokeman, 40 tampil dengan idea makanan berasaskan Jalur Gemilang.

Wanita asal Sungai Sumun, Bagan Datuk, Perak dan kini tinggal di Muar, Johor, berkata setiap kali sambutan merdeka dia teruja untuk bersama-sama meraikan dalam versinya yang tersendiri yang diluahkan dalam bentuk hidangan pemanis mulut.

“Saya kira kemahiran mengubah bentuk menu tradisional kepada rupa moden dan versatil itulah erti merdeka yang sebenar buat saya.

“Bertuahnya dilahirkan sebagai warga Malaysia kerana kita bebas berkarya mengikut minat dan kreativiti masing-masing asalkan tidak menyinggung sesiapa,” katanya mengenai kehebatan air tangannya yang kreatif dan memukau.

Lebih dikenali sebagai Lily Azhary, minat menukar bentuk kuih-muih katanya bermula sejak tahun 2020 dengan mengulangkaji asas kandungan kemudian memulakan karya dalam keadaan santai dan perlahan-lahan.

Mewarisi bakat memasak daripada emaknya, kata Fazidatul proses menyediakan setiap hidangan bertemakan Jalur Gemilang yang menonjolkan warna putih, biru, merah dan kuning, tidak sukar tetapi memerlukan ketelitian.

“Kunci utama adalah kesabaran jika mahukan hasil yang diidamkan. Lagi pun bila saya memulakan sesuatu tugasan iaitu mengubah bentuk asal makanan tersebut, setiap detik sangat menyenangkan biar pun ada masanya perlu dilakukan berulang kali kerana percubaan pertama yang gagal,” katanya.

TIDAK TERGESA-GESA

Mengulas mengenai ramuan, katanya bahan asas kuih-muih dan makanan tradisi Melayu mudah diperolehi tetapi teknik yang betul dan bertepatan dengan tema yang diutamakan.

Dalam usaha berkenaan, Fazidatul berkata dia tidak pernah menghasilkan ramuan dalam keadaan tergesa-gesa sebaliknya mengambil sedikit masa bagi memastikan kualiti produk.

“Tidak perlu tergesa-gesa pun kerana menyediakan hidangan tersebut bukan bertanding dengan sesiapa tetapi lebih kepada kepuasan diri sendiri,” ujarnya.

Apa yang menjadikan karyanya lebih menarik kerana beliau mempunyai bakat mempotret hasil kuih-muih dan makanan tradisnya lebih hidup di lensa kamera.

Katanya asas fotografi sewaktu sekolah menengah banyak membantunya menghasilkan gambar yang menarik dan sering berlatih untuk meningkatkan kemahiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×