PETALING JAYA: Kerajaan tidak harus mengetepikan semua pihak yang akan terlibat dengan sesi persekolahan untuk turut menerima vaksin bagi menjamin sesi persekolahan dapat diteruskan tanpa risiko dijangkiti Covid-19.
Bercakap dengan Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, pengusaha bas sekolah juga secara tidak langsung tergolong sebagai pekerja barisan hadapan.
“Saya menyokong sepenuhnya jika pihak kerajaan membuka ruang supaya golongan pemandu bas sekolah tersenarai sebagai penerima vaksin secepat mungkin untuk menjamin keselamatan pemandu bas dan ahli keluarganya serta para pelajar.
“Tidak dinafikan pemandu bas sekolah sentiasa peka dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) namun dengan suntikan vaksin Covid-19, keselamatan kami akan lebih terjamin,” ujarnya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan tahun ini akan disambung secara berperingkat bermula awal Mac ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan golongan pendidik dicadangkan dalam fasa pertama program vaksinasi terbesar negara selepas pihaknya menerima senarai daripada Kementerian Pendidikan.
Senada dengan Mohd. Rofik, Pengerusi Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan berkata, staf sekolah yang bekerja rapat dengan para-pelajar dan guru-guru juga harus diutamakan untuk mendapat vaksin tersebut.
“Saya berpendapat kerajaan boleh juga memberi tumpuan kepada isu ini iaitu mempertimbangkan untuk memberi vaksin kepada staf, pembantu makmal, staf gred BG dan keutamaan kepada mereka yang berisiko.
“Sudah tentu pemberian vaksin ikut keutamaan berdasarkan ketetapan Kementerian Kesihatan namun elok juga diberi kepada yang bertugas di kawasan zon merah wabak Covid-19,” ujarnya.- UTUSAN











