BILA pengundi Cina dan India menjadi majoriti di Parlimen Pulai dengan kadar 53.1 peratus berbanding 46.7 sahaja pengundi Melayu, logiknya hampir mustahil untuk calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu pada 9 September ini.
Seperti disebut Profesor Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semua pemboleh ubah di Pulai (dan Simpang Jeram) memihak kepada PH kerana berdasarkan rekod dalam pilihan raya negeri (PRN) baru lalu, PH dan Barisan Nasional (BN) mudah menang di kerusi majoriti pengundi Melayu bawah 65 peratus.
Apa yang menjadi persoalan sekarang, sebanyak manakah undi yang akan diperoleh calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifli Jaafar dalam PRK ini? Apakah beliau mampu melipatgandakan undi calon PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 berjumlah 20,677 dengan mencuri 31,726 undi calon BN, Datuk Nur Jazlan Mohamed?
Jika Zulkifli mampu meningkatkan undi PN menjadi 40,000 atau 50,000 daripada keseluruhan 78,119 undi Melayu di Pulai, maka itu sudah menjadi kejayaan besar kepada PN kerana dengannya ia boleh mendakwa gelombang hijau sudah memasuki Johor. Sebab itu kita lihat pemimpin UMNO bersungguh-sungguh memastikan pengundinya mengundi calon PH dalam PRK ini.
Nur Jazlan selaku Ketua UMNO Bahagian Pulai contohnya, menyebut beliau akan memujuk ahli parti itu di peringkat akar umbi yang keberatan untuk menyokong Suhaizan supaya mengundinya. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad pula mengakui wujud boikot dalam kalangan ahli akar umbi tetapi hanya membabitkan golongan berusia.
Dalam usahanya untuk menarik pengundi Melayu menyokong calon PH, Nur Jazlan menyatakan masalah yang beliau hadapi, iaitu majoriti pengundi Melayu masih sukar menerima PH kerana masih terikat dengan tanggapan parti itu adalah totok orang Cina serta masih trauma dengan sentimen negara sekular dan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.
Sebab itulah, kata Nur Jazlan, dalam keadaan landskap politik hari ini, bukan hanya UMNO yang perlu berubah tetapi semua pihak dalam gabungan kerajaan perpaduan juga mesti berubah jika mahu diterima oleh orang Melayu. Dengan DAP digesa membuat perubahan besar untuk menggugurkan agenda negara sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaannya.
Malangnya, gesaan Nur Jazlan ini tidak mendapat maklum balas baik daripada pemimpin DAP. Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer sekadar berkata, DAP mengambil maklum tentang apa yang dinyatakan oleh Nur Jazlan sambil menambah bahawa mungkin ada persepsi salah tentang agenda negara sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaan DAP.
SINGAPURA
Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Sheikh Omar Ali pula menolak gesaan Nur Jazlan itu dengan berkata, ia lebih berbentuk serangan politik untuk memberi imej dan gambaran buruk terhadap DAP dan juga PH serta kerajaan perpaduan secara keseluruhannya sambil menambah bahawa konsep Malaysian Malaysia tidak melanggar mana-mana prinsip dalam perlembagaan negara.
Maklum balas begini tidak bagus. Setelah hampir 60 tahun konsep Malaysian Malaysia diperkenalkan, masanya sudah tiba untuk ia dinilai semula sejajar walaupun ia telah sebati dengan DAP seperti terdapat dalam penegasannya bahawa the DAP is committed to the struggle for a free, democratic socialist Malaysian Malaysia.
Konsep Malaysian Malaysia adalah berakar umbi dari deklarasi bersama parti-parti pembangkang yang bergabung dalam Konvensyen Solidariti Malaysia (MSC) di Singapura pada 9 Mei 1965. Dalam deklarasi yang dikeluarkan oleh MSC, terdapat definisi Malaysian Malaysia sebagai ‘negara dan negeri tidak diidentifikasikan dengan ketuanan, kesejahteraan dan kepentingan mana-mana masyarakat atau kaum tertentu’ (the nation and the state is not identified with the supremacy, well-being and the interests of any one particular community or race).
Berdasarkan konsep Malaysian Malaysia inilah DAP menyertai PRU3 pada 11 Mei 1969 dengan menggunakan manifesto bertajuk Tiga Matlamat Kita: Ke Arah Sebuah Malaysian Malaysia yang antara lainnya menjanjikan pemberian hak politik, ekonomi dan sosial yang sama kepada semua rakyat Malaysia dan pemberian taraf rasmi kepada bahasa-bahasa Cina, Tamil dan Inggeris.
Dalam kempen PRU3 ini, Tan Sri Lim Kit Siang direkodkan menyebut kepada penduduk Sungei Way pada 7 Januari 1969, “Kempen untuk satu Malaysian Malaysia baru sahaja bermula. Negara Malaysia baru kita semua mahu ialah negara di mana ada kesaksamaan dan keadilan untuk semua kaum dan kelas, di mana tidak ada warganegara Malaysia kelas pertama dan kelas kedua dengan memisahkan mereka kepada bumiputera dan bukan bumiputera.”
Lebih mutakhir, Kit Siang menyebut di Bintulu pada 15 September 1995 dan di Bagan pada 20 September 1995, “DAP mendesak pemisahan rakyat Malaysia kepada bumiputera dan bukan bumiputera dihapuskan segera” manakala Lim Guan Eng pula menyebut di Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-40 Cawangan Batu 14 DAP Puchong pada 10 Disember 2006, “Perlembagaan Merdeka 1957 mendiskriminasi rakyat Malaysia kepada bumiputera dan bukan bumiputera, yang memisahkan rakyat Malaysia kepada warganegara kelas pertama dan kelas kedua.”
Perjuangan beginilah yang menyebabkan majoriti orang Melayu menolak DAP. Banyak lagi ucapan pemimpin DAP yang menyentuh isu-isu sensitif yang dibacakan oleh Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri di Parlimen pada 3 Mac 1971 yang semuanya dibuat atas konsep Malaysian Malaysia.
Nur Jazlan betul, selama mana slogan Malaysian Malaysia (dan agenda negara sekular) terus diperjuangkan, maka PH sukar menarik sokongan orang Melayu. – UTUSAN
DR. MOHD. FUAD MOHD. SALLEH ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Strategik Lestari.











