Sampai bila nak ulang isu petani, pesawah?

Sampai bila nak ulang isu petani, pesawah?

PESAWAH lazimnya tidak mempunyai pengaruh untuk menetapkan harga sebaliknya ia ditentukan orang tengah. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Sampai bila kita nak dihadapkan dengan isu-isu yang berulang-ulang me­libatkan petani, pesawah? Kerajaan kena bertegas, hapuskan segera manipulasi kartel, orang tengah yang dikhuatiri telah ‘merosakkan’ keterjaminan makanan negara.”

Demikian tegas Felo Perun­ding, Laboratori Kajian Polisi Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Dr. Fatimah Mohamed Arshad.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, golongan petani dan pesawah sering terdedah kepada eksploitasi orang te­ngah sekali gus menyaksikan mereka tersepit kerana keputusan meletakkan harga kebiasaannya berada di tangan orang tengah.

Katanya, ini berlaku kerana golongan petani dan pesawah lazimnya tidak terdedah atau memiliki jaringan maklumat selain ketinggalan dengan kemajuan teknologi dan digital yang diimplementasi dalam pasaran kini.

“Kerajaan harus menangani isu ini kerana seiring zaman, golongan petani dan pesawah juga harus beradaptasi dengan kerangka pasaran berteknologi berbanding konvensional. Petani lazimnya terpencil daripada maklumat pasaran, sama ada kerana lokasi berjauhan atau tiada akses kepada maklumat.

“Disebabkan itu, mereka terdedah kepada eksploitasi orang tengah yang sudah beradaptasi dengan jaringan maklumat meluas. Benar, kerajaan telah menubuhkan agensi badan berkanun untuk menjaga kebajikan petani kecil seperti Felda, Felcra dan RISDA bagi menguruskan pembangunan tanah, pengeluaran serta pemasaran komoditi pekebun kecil.

“Tetapi, bagaimana pula dengan kewujudan orang-orang yang tidak terkawal? Selepas beberapa dekad, agensi-agensi ini menjadi besar dan memiliki pelbagai subsidiari atau anak syarikat. Namun, peneroka misalnya, masih berstatus pekebun kecil serta menerima pendapatan rendah.

“Malah, turut didapati, ada subsidiari ditubuhkan yang tidak berkaitan dengan kepen­tingan petani seperti melabur di pasaran saham dan beberapa penyelewengan besar berlaku,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas isu yang me­landa golongan pesawah dan petani yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini yang mampu menggugat ke­terjaminan makanan.
Isu-isu itu termasuk orang tengah selain melibatkan baja dan benih.

Selain itu, Fatimah mencadangkan agar kerajaan membuat peruntukan dana awam yang besar pada setiap tahun kepada agensi-agensi tersebut dalam usaha membantu pekebun kecil yang gagal meningkatkan pendapatan.

Tidak cuma itu, beliau juga melihat pemusatan agihan bahan input seperti baja mi­salnya, memberikan impak yang membimbangkan.

“Saya lihat, monopoli ini menghalang peserta pasaran baharu seperti usahawan, swasta dan koperasi untuk menceburi bidang ini. Dengan monopoli, pembangunan input tempatan hampir tiada dan semuanya perlu diimport.

“Apabila gejala ini berlaku, ia menyaksikan negara bergantung penuh kepada input import. Apabila banyak bahan yang diimport, ia bukan soal masalah inflasi diimport semata, tetapi juga akan meningkatkan kos pengeluaran dan mengecilkan margin keuntu­ngan. Ini menjadikan industri tidak kompetitif,” katanya.

Ketua Ekonomi dan Kewa­ngan Sosial Bank Muamalat, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, manipulasi harga termasuk aktiviti haram kartel bahan mentah mungkin dapat dihapuskan jika kerajaan berupaya mencari punca dan mematahkan rantaian perniagaan seperti itu dalam negara.

“Sekiranya rantaian perniagaan ini dapat diselenggara de­ngan melalui punca kuasa yang sesuai, saya percaya segala akti­viti haram seperti kartel, mani­pulasi harga, perbuatan sorok dan sebagainya dapat dibanteras.

“Sekali gus menyaksikan manfaatnya dapat dinikmati kedua belah pihak iaitu para petani dan golongan pengguna. Namun ini tidak berlaku kerana disebabkan peranan orang tengah.

“Seharusnya kerajaan perlu berusaha untuk memastikan mekanisme pasaran yang cekap baik dari segi pengeluaran dan penentuan harga dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau juga optimis pembangunan sektor pertanian dapat dirangkum dan dilestarikan melalui beberapa faktor pemboleh ubah.

“Isunya disini adalah ba­gaimana kita nak memba­ngunkan sektor pertanian agar ia bersifat terangkum dan les­tari. Pertamanya, negara kita banyak mengimport makanan sedangkan negara kita mempunyai sumber seperti tanah serta iklim yang sesuai untuk aktiviti pertanian.

Pakar Ekonomi, Dr. Nungsari Ahmad Radhi menyifatkan, kebanyakan pemilik tanah sawah lebih cenderung untuk membenarkan pihak lain yang menguruskan tanah mereka.

Justeru katanya, jika sebarang perkara terjadi, pemilik tanah sawah harus berani menanggung risiko.

“Tuan punya sawah ramai jadi tuan tanah sahaja dan beri pada orang lain kerjakan tanah mereka. Tetapi mereka kena tanggung risikolah kalau padi tak menjadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×