RASANYA sudah berminggu-minggu UMNO ‘ditembak’ kiri dan kanan oleh pelbagai pihak, kawan, lawan, pemerhati politik dan rakyat biasa, sama ada secara berdepan ataupun dalam media massa. Mesejnya ialah satu sahaja iaitu menuntut perubahan total dalam UMNO dan perubahan ini semestinya bermula dengan perletakan jawatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sebagai figura politik penting dalam UMNO, beliau dikatakan punca utama kepada pergolakan politik yang sedang berlaku dalam parti tersebut. Rata-rata ahli UMNO yang ditemui menyatakan bahawa mereka rasa seperti tertipu dengan janji-janji yang telah ditabur oleh beliau sebelum PRU15 yang lalu menerusi slogan ‘No Anwar, No DAP’.
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini yang menyaksikan UMNO/BN kalah teruk di beberapa buah negeri juga jelas sekali tidak menimbulkan rasa serik bagi parti tersebut untuk berbuat sesuatu bagi menstabilkan kedudukannya sebagai parti keramat orang Melayu.
Secara umumnya, kita boleh katakan bahawa UMNO telah pun kehilangan kepercayaan penuh orang Melayu yang dahulunya pernah dipimpin oleh UMNO dan yang pernah dibantunya serta dilindunginya sejak merdeka selama lebih 60 tahun.
Hakikat yang mesti diterima oleh UMNO pada hari ini ialah ia bukan lagi sebuah parti politik utama di Malaysia. Malah demi survivalnya pun, UMNO terpaksa hidup menumpang dan berlindung di atas ehsan Pakatan Harapan (PH) yang sedang menerajui kerajaan persekutuan di Putrajaya.
Pun begitu, ada pemimpin dan ahli UMNO yang sayangkan parti tersebut masih lagi menaruh harapan mudah-mudahan dengan baki kuasa politik yang ada ini, parti itu dapat bangkit semula untuk membuat satu tindakan ‘comeback’ dalam arus politik nasional.
Terdapat tiga strategi penting yang boleh dipertimbangkan oleh UMNO demi memastikan kelangsungan survivalnya dalam politik Malaysia.
Strategi pertama ialah UMNO mesti menilai dan mempertimbangkan semula hubungan dan kerjasamanya dengan PH dalam Kerajaan Madani. Sekiranya hubungan dan kerjasama ini tidak elok untuk jangkamasa panjang, maka cara terbaik bagi UMNO ialah dengan bertindak memutuskan hubungannya dalam pakatan politik tersebut dan pada masa yang sama berusaha untuk membentuk pakatan politik baru yang lebih stabil dan memberikan keyakinan kepada kepimpinan, ahli dan rakyat yang masih menyokongnya.
Walaupun sesetengah pihak mungkin berpandangan bahawa kerjasama politik tersebut hanyalah bersifat seasonal sahaja dan semata-mata untuk survival jangka pendek UMNO, kita tidak boleh menafikan bahawa antara sebab kenapa wujudnya penolakan rakyat termasuk kepimpinan dan ahli UMNO terhadap parti tersebut ialah kerana ia membabitkan kerjasamanya dengan DAP.
STRATEGIK
Perspektif negatif yang telah lama melekat dalam minda dan pemikiran orang Melayu terhadap DAP dengan sebab hubungan asalnya dengan PAP di Singapura adalah punca utama penolakan orang Melayu terhadap parti tersebut selain daripada pandangannya yang sangat tidak konsisten dalam isu-isu membabitkan hal ehwal orang Melayu dan agama Islam di Malaysia.
Strategi kedua ialah UMNO mesti kembali kepada idealisme asal penubuhannya iaitu untuk berjuang demi orang Melayu dan agama Islam. Kita juga tidak harus lupa bahawa UMNO sebenarnya sebuah parti politik yang senantiasa memainkan peranan penting dalam mempertahankan isu-isu 3R iaitu raja, kaum dan agama Islam yang pada hari ini telah dijadikan sebagai alat politik oleh kerajaan Madani.
Dan strategi ketiga ialah UMNO bukan sahaja mesti bersih malah mesti nampak bersih. Matlamat ini boleh dicapai menerusi usaha pembersihan secara total dalam UMNO yang membabitkan penyingkiran pemimpin-pemimpin yang kotor dan mengorbankan beberapa kambing hitam yang boleh mencacatkan imej dan prestasi parti pada masa hadapan.
Ini sebenarnya ialah satu tanggungjawab yang paling berat untuk dilakukan kerana usaha pembersihan dalam UMNO mesti bermula daripada atas hierarki kepimpinan utama parti, Majlis Kerja Tertinggi (MKT), pemimpin di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.
UMNO mesti mengambil iktibar dari sambutan kemerdekaan negara dalam usahanya untuk memulihkan dirinya kembali supaya ia diterima oleh ahli dan rakyat Malaysia. Makna kemerdekaan bagi UMNO sebenarnya ialah rasa kembali bebas dan memiliki kemampuan untuk menentukan matlamat dan hala tujunya sendiri tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak lain yang mempunyai kepentingan mereka yang tersembunyi.
Malah, dalam usaha untuk menghadapi pilihan raya, UMNO masih mampu untuk bergerak solo tanpa memerlukan parti lain untuk mengajar cara untuk menulis manifesto sendiri untuk promosi pilihan raya.
UMNO perlu kembali lantang menyuarakan kepentingan orang Melayu dan agama Islam tanpa mengira sama ada ia akan bertentangan dengan matlamat perjuangan parti lain yang menjadi sahabatnya. UMNO juga perlu bersuara untuk memperbetulkan matlamat perjuangan parti sahabat yang tidak sehaluan dengan matlamat perjuangannya. Satu langkah tepat telah dibuat oleh Ahli MKT, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang menggesa pemimpin DAP membuat perubahan besar dengan menggugurkan dua agenda yang menjadikan orang Melayu trauma dan tidak boleh menerima perjuangan DAP, iaitu agenda Negara Sekular dan slogan Malaysian Malaysia. Kita tunggu apa reaksi pemimpin DAP ke atas gesaan Nur Jazlan ini.
Jika gesaan ini diterima baik maka hubungan dan kerjasama UMNO dengan PH dalam Kerajaan Madani perlu terus dimantapkan tetapi jika ia ditolak maka wajarlah UMNO memerdekakan dirinya demi memastikan kelangsungan survivalnya dalam politik Malaysia.-UTUSAN
Penulis ialah penganalisis politik.











