‘Pengalaman merdeka saya’

‘Pengalaman merdeka saya’

MAJLIS pengisytiharan kemerdekaan negara oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka yang penulis hadiri masih segar dalam ingatannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA berumur 12 tahun, dalam hujan hadir awal pagi di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 dan menyaksikan laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Masih berkumandang di minda, badan dan jiwa sehingga kini. Perasaan dan emosi ini sentiasa menjadi sumber kebanggaan, kerendahan hati dan kehormatan peribadi dalam hidup saya.

Alhamdulillah, kini pada usia 78 tahun, saya dikurniakan Allah SWT dengan rezeki untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-66, hari ini. Di kesempatan ini, saya terdorong untuk merenung dan berkongsi perjalanan ‘kebebasan’ negara kita seperti terkandung dalam perkataan keramat ‘merdeka.’ Setiap rakyat Malaysia tidak kira asal usul dan warisan bangsa harus menghargai, melindungi, mencintai dan sentiasa menjunjung tinggi atas semangat kekitaan dan kemerdekaan yang sangat berharga.

Dari sudut Asia Tenggara dan juga dikenali Nusantara, nyata membuktikan dan memiliki generasi penempatan hidup manusia yang tidak terkira dan diperkayakan dengan sejarah dan warisan pelbagai budaya unik yang mungkin mengatasi tamadun dunia serantau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemerdekaan Tanah Melayu daripada kolonialisme British pada 1957 adalah satu kemuncak komitmen dan usaha murni nenek moyang kita daripada masyarakat pelbagai yang tinggal, bekerja, berjuang dan mengurus rantau demi kesejahteraan muktamad rakyatnya yang pelbagai etnik, kepercayaan agama, strata sosial dan dilengkapi pencapaian sosioekonomi berbeza-beza. Oleh itu, banyak pengorbanan darah, peluh dan air mata telah dilakukan oleh semua lapisan warga pendahulu kita.

Usaha murni mereka yang tidak mementingkan diri dilakukan melalui kepercayaan rohani yang wujud dan berterusan untuk keadilan sosial yang berperikemanusiaan, penerimaan, toleransi, rasa hormat dan nilai dalam perbezaan dan integrasi rakyat untuk perpaduan bersama serta kelangsungan hidup sebenar untuk negara.

Bapa saya, Abdul Majid Ismai ialah seorang pegawai polis. Beliau merupakan Pegawai Perhubungan yang terlibat dalam penggubalan Perlembagaan Tanah Melayu dengan Suruhanjaya Reid (1956-1957) bersama penjawat awam lain seperti Abdul Kadir Shamsuddin, telah memberi saya alasan untuk menghargai dan menghormati negara ini dalam kenangan indah sumbangan mereka yang tidak ternilai. Oleh itu, wajarlah kita mengingati dan merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka semua.

Dalam tempoh 66 tahun lalu dan mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Rukun Negara (1970), negara ini telah mendapat manfaat secara progresif melalui 10 kepimpinan dengan pencapaian sosioekonomi mencerminkan keadaan tempatan dan global yang dinamik dan dirancang. Cabaran hari ini tidak berbeza, namun objektif dan penyelesaian mestilah inovatif, membina, positif serta mencerminkan norma baharu.

MENARA MERDEKA 118

Sepanjang hidup, semua aspirasi dan tindakan saya didorong dan diilhamkan ke arah memartabatkan dalam apa juga secara kecil ke arah mencapai kesejahteraan harmoni rakyat berbilang kaum.

Alhamdulillah, saya berada di Stadium Merdeka dan Stadium Negara pada hujung minggu lalu bersama kira-kira 100 peserta pertandingan lakaran bagi mendokumentasikan hubungan antara dua bangunan bersejarah itu dengan ikonik baharu, Menara Merdeka 118 yang akan diiktiraf sebagai bangunan kedua tertinggi di dunia – satu lagi pencapaian yang sesuai dalam perjalanan 66 tahun negara sejak merdeka pada 1957.

Ia adalah saat paling nostalgia apabila saya berdiri tepat di stadium itu pada 1957 yang membawa banyak kenangan dan renungan semasa membesar, hidup dalam kalangan rakan sekolah berbilang kaum di Sekolah Inggeris Pasar Road, Victoria Institution dan pendedahan kepada pelbagai aktiviti sosial, seni dan hobi. Pengalaman zaman kanak-kanak itu telah berkembang menjadi kerjaya seni bina saya seperti yang terbukti oleh kepelbagaian bangunan direka dan dibina sebagai refleksi kepuasan dan kesyukuran atas peluang menyumbang ke arah pembinaan negara.

Walaupun begitu banyak perubahan sosiopolitik, ekonomi dan pencapaian membanggakan di negara ini, perubahan lain yang tidak menyenangkan sudah pasti berlaku, yang baik dan buruk. Namun, dalam nafas yang sama, kita harus sentiasa ingat dan memastikan bahawa maruah manusia dan kebanggaan kewujudan kita mesti sentiasa diutamakan, dilindungi dan tidak dikompromi.

Oleh itu, inti pati dalam kehidupan ini terkandung dalam peribahasa Melayu, maruah manusia perlu dijaga dan maruah tidak boleh dijual beli atau digadai. Begitulah asas sensitiviti dalam konteks pembinaan negara dan kita mesti sentiasa berhati-hati terhadap apa jua ancaman, ujian dan tribulasi (kesengsaraan) yang sentiasa berhadapan dan boleh mengelirukan rakyat dan negara.

Pemikiran kritis untuk menghormati dan keterlibatan semua rakyat di negara ini adalah paling utama dalam usaha kita untuk mencapai kejayaan, kelangsungan hidup dan pencapaian manusia yang lebih besar kerana tanpa sumbangan lampau, maka tiada rezeki di situasi semasa dan masa depan.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua rakyat Malaysia semperna ulang tahun kemerdekaan negara ke-66 yang mulia ini. Semoga Allah SWT memelihara, memberkati dan melindungi negara kita tercinta ini, Malaysia.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! – UTUSAN

Datuk Dr. Hajeedar Abdul Majid ialah bekas Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×