Selepas 66 tahun, wanita kita masih belum ‘merdeka’?

Selepas 66 tahun, wanita kita masih belum ‘merdeka’?

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditubuhkan pada 2001 melaksanakan pelbagai inisiatif untuk pemerkasaan golongan wanita dan keluarga. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA biasa mendengar peribahasa tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Peribahasa ini selalunya dikaitkan dengan kemampuan wanita berdepan cabaran sehingga mengubah banyak tanggapan yang selama ini skeptikal terhadap golongan itu.

Dahulu wanita ‘terkurung’ di rumah dengan rutin harian sama – mendidik anak dan menjaga kebajikan keluarga tanpa diberikan peluang untuk bersekolah sehingga ke peringkat tertinggi, apatah lagi bekerja jauh dari keluarga di kota-kota besar dalam sektor formal. Sampai waktu berkahwin, mereka akan dijodohkan dengan calon pilihan keluarga. Bahkan kebanyakan wanita sebelum merdeka merupakan suri rumah tangga sepenuh masa dan amat mentaati suami.

Hari ini, keadaan wanita Malaysia yang merdeka, 360 darjah sudah berbeza. Mereka diberikan peluang untuk menceburkan diri dalam pelbagai arena termasuk politik, pentadbiran, pendidikan, perubatan, perkhidmatan, perkilangan, perindustrian dan sebagainya.

Malah wanita di negara ini menjawat jawatan tinggi dalam bidang profesional, kemahiran, teknologi maklumat dan perniagaan setanding lelaki. Jurang sosial golongan wanita dapat diatasi selepas 66 tahun merdeka.

Perbezaan ketara boleh dilihat apabila kajian pada 2022 mendapati jumlah wanita mendaftar di institusi pendidikan tinggi (IPT) awam mewakili 61 peratus daripada jumlah mahasiswa yang mendaftar, manakala hampir 53 peratus mahasiswa wanita mendaftar di IPT swasta.

Bahkan dengan cabaran ekonomi keluarga yang semakin ‘tenat’, golongan Hawa terutama ibu semakin rancak membantu menambah pendapat keluarga dan sentiasa mempunyai misi untuk keluar dari kepompong kesusahan. Namun, dalam masa sama tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab di rumah walaupun kudratnya tidaklah sehebat golongan adam.

PEMERKASAAN

Oleh kerana itu amat penting memastikan hak-hak wanita tidak dipinggirkan. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditubuhkan pada 2001 melaksanakan pelbagai inisiatif untuk pemerkasaan wanita dan keluarga melalui polisi dan undang-undang, program kekeluargaan dan keibubapaan dalam menyeimbangkan kehidupan seharian.

Antara inisiatif yang disediakan ialah kemudahan penjagaan kanak-kanak berkualiti, pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja, persekitaran kerja yang kondusif dan selamat, waktu bekerja fleksibel, bantuan geran berbentuk perniagaan, bantuan khas kepada suri rumah, polisi melibatkan wanita sebagai pembuat dasar dan sebagainya. Peruntukan berkenaan perlindungan gangguan seksual dan juga permohonan bekerja fleksi pula digazetkan dalam Akta Kerja 1955 pada Januari 2023.

Walaupun hak yang diberikan tidak bersifat mutlak (kerana persetujuan diperlukan daripada majikan), namun ia secara tidak langsung menyediakan inisiatif baik terutama bagi wanita yang memerlukan fleksibiliti dalam bekerja dengan kekangan kesihatan dan tanggungjawab lain terutama penjagaan anak-anak.

Pun begitu, Pensyarah Kanan di Kolej Pendidikan Berterusan, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Dr. Nurulbahiah Awang ketika bercakap kepada Utusan Malaysia berpendapat, walaupun telah berusia 66 tahun, usaha pemerkasaan wanita merdeka masih perlu giat dilaksanakan kerana peranan golongan itu amat penting dalam pembentukan masyarakat madani demi melahirkan masyarakat yang lebih mampan dan makmur.

Tambahnya, pemerkasaan wanita dilihat lebih penting dalam kehidupan era globalisasi teknologi maklumat.

“Walaupun wanita bergiat aktif di lapangan, namun wanita berperanan besar agar dapat mendidik anak-anak dengan adab sopan yang tinggi dan ilmu yang bermanfaat serta menghormati orang lebih tua.

“Wanita merdeka perlu menghayati dan memahami kelima-lima prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.

“Kelima-lima prinsip Rukun Negara ini perlu dibawa bersama dalam menempa kejayaan agar tidak terpengaruh dengan budaya luar yang terpesong dari landasan agama, budaya, dasar dan peraturan masyarakat setempat,” katanya.

Jelas Nurulbahiah lagi, janganlah dilupa bahawa kejayaan yang dicapai merupakan usaha yang dikongsi bersama bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Namun, kejayaan yang hakiki bukan hanya diukur dengan pencapaian dari sudut kebendaan semata-mata bahkan perlu dihayati serta diaplikasi dalam bentuk akhlak, adab, moral serta nilai baik dan buruk dalam semua perkara.

Oleh itu, wanita yang merdeka perlu berani mempertahankan maruah diri sendiri daripada ditindas, dinodai dan ditipu disebabkan oleh kejahilan dan kealpaan sendiri.

Wanita merdeka harus bijak memilih cara hidup yang lebih lestari iaitu dengan berpegang kepada sesuatu yang kekal abadi daripada sesuatu yang bersifat sementara.

Wanita merdeka juga mengambil cakna kepentingan masyarakat, tidak pentingkan diri sendiri dan sentiasa positif serta proaktif untuk kemajuan. Menjadi wanita yang berjati diri mulia, berilmu dan bijak adalah ciri-ciri wanita merdeka yang cemerlang dan lestari.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×