IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia diminta mengeluarkan garis panduan mengenai kaedah pelaksanaan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dalam masa yang terdekat.
Ketua Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA, Cally Ting Zhao Song berkata, langkah itu selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang modul tersebut tidak akan melibatkan pelajar bukan Islam.
Menurut beliau, pihaknya juga menyarankan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying supaya menjalankan libat urus bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan.
“Garis panduan rasmi dengan arahan yang jelas mampu meraih keyakinan rakyat terhadap kelancaran pelaksanaan modul ini.
“Ia juga bagi membolehkan warga pendidik, ibu bapa dan pelajar memahami proses pelaksanaannya memandangkan modul 40 Hadis ini amat bermakna kepada pelajar Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, Cally menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan modul tersebut agar ia boleh dibincangkan semula di peringkat kabinet.
Sementara itu, Cally membangkitkan kurangnya komunikasi berkesan oleh menteri bukan Islam dalam Kabinet sehingga menjadi polemik terutama dalam kalangan penganut bukan Islam.
Katanya, isu modul penghayatan 40 Hadis perlu dijadikan pengajaran kepada barisan Menteri tentang pentingnya menyampaikan sesuatu berita yang boleh mencetus kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.
Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan perpaduan tidak pernah memaksa golongan bukan Islam untuk menghafal atau mendalami himpunan Hadis 40 Imam Nawawi.
Anwar berkata, sebaliknya modul penghayatan hadis itu hanyalah untuk guru serta pelajar beragama Islam dan inisiatif menerbitkan semula koleksi hadis berkenaan adalah usaha untuk memupuk kefahaman agama itu dalam kalangan umat Islam sendiri, terutamanya golongan anak muda. – UTUSAN










