Politik ‘padan muka’ rosakkan negara - Utusan Malaysia

Politik ‘padan muka’ rosakkan negara

Setiap kali ada pilihan raya akan berlaku ‘perang’ politik yang mana serangan-serangannya boleh memberikan kesan kepada ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Di Malaysia sekarang, siapa pun jadi Perdana Menteri, siapa pun jadi kerajaan tidak akan tenang, tidak akan aman. Ada saja yang tidak kena. Susah rakyat nak cari makan.” Demikian luahan seorang pengusaha bengkel kereta yang kecewa dengan situasi politik sekarang yang langsung tidak membantu kepada usaha memulihkan ekonomi.
Kenyataan itu ada kebenarannya kerana sejak 2018 dua tunjang utama negara iaitu politik dan ekonomi tidak pernah stabil.
Daripada memiliki sebuah kerajaan yang mantap selama 22 tahun, negara kita akhirnya terjerumus ke dalam krisis politik hingga menyaksikan perubahan kerajaan bersilih ganti.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan buat pertama kali menumbangkan Barisan Nasional (BN), namunnya kerajaan yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya bertahan 22 bulan.
Selepas itu Perikatan Nasional ambil alih. Pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya bertahan 18 bulan dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob 14 bulan sebelum memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). PRU15 yang diharapkan menjadi peralihan untuk mengembalikan kestabilan politik negara tidak menjadi kenyataan kerana tidak ada parti yang berjaya memiliki majoriti mudah. Akhirnya BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PKR dan DAP) untuk membentuk kerajaan dengan disokong oleh rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.
Walaupun Kerajaan Perpaduan memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi fokus untuk memulihkan negara terus terganggu dengan pelbagai ancaman dan serangan politik pihak lawan.
Masing-masing mengambil pendirian tidak akan membiarkan lawan mentadbir negara dengan aman. Macam-macam perkara dilakukan supaya rakyat membenci parti memerintah terutama perdana menteri.
Ia bukan berlaku kepada Kerajaan Perpaduan sahaja. Sebelum ini ketika PH 22 bulan pun perkara yang sama berlaku. Sebab itu berlaku Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan.
Ketika Muhyiddin jadi perdana menteri pun hal sama berlaku. Daripada seorang perdana menteri yang popular dengan gelaran ‘abah’ hingga terpaksa melepaskan jawatan. Hal yang sama berlaku kepada Ismail Sabri. Serangan-serangan politik yang bersifat persepsi, tohmahan dan fitnah menyebabkan Malaysia gagal memiliki sebuah kerajaan yang stabil pasca PRU14.
Masing-masing mengamalkan prinsip politik ‘padan muka’ demi melihat lawan tumbang tanpa memikirkan kesan kepada negara. Kita sentiasa mendoakan sesuatu yang buruk dan tidak baik berlaku kepada negara supaya kerajaan memerintah tertekan peralihan kuasa dapat dilakukan.
Apa yang dilontarkan di pentas-pentas ceramah adalah kebencian terhadap parti dan pemimpin lawan hingga kadang-kadang perbuatan itu menjejaskan pandangan orang luar terhadap negara.
Apabila nilai ringgit jatuh perkataan yang akan keluar ialah ‘padan muka, kata pandai sangat urus ekonomi.’ Ketika pengangguran tinggi ayat yang muncul ialah ‘padan muka, biar rakyat benci kerajaan. Lagi ramai tidak ada kerja lagi baik, kita boleh pakat-pakat jatuhkan kerajaan.’
Ia menjadi amalan semua pihak yang bertelagah dalam politik Malaysia. Kuasa diletakkan di tempat pertama, negara dan rakyat bukan keutamaan. Kerana itu, suasana politik negara kita tidak pernah stabil dan sentiasa panas. Ini ditambah pula dengan pilihan raya demi pilihan raya yang kita tidak dapat elakkan. Semua ini memberi peluang kepada para pemimpin kita sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk berpolitik berterusan.
Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia, Zahid Hussein dalam tulisannya bertajuk ‘Bolehkah Ketidakstabilan Politik Menjejaskan Pertumbuhan Ekonomi? berkata, ketidakstabilan politik ialah kecenderungan kerajaan runtuh sama ada kerana konflik atau persaingan yang berleluasa antara pelbagai parti politik.
Seperti mana yang berlaku di Malaysia, walaupun sudah berlaku perubahan kerajaan, tetapi kemungkinan akan berlaku lagi perubahan terus ada. Ini memberikan ketidakstabilan berterusan.
Kata Zahid, ketidakpastian yang dikaitkan dengan persekitaran politik yang tidak stabil akan mengurangkan pelaburan dan kadar pembangunan ekonomi. Dan disebabkan prestasi ekonomi lemah berpunca daripada ketidakstabilan ini maka kerajaan runtuh disebabkan pergolakan politik.
Situasi ini yang berlaku di Malaysia sekarang. Kita tidak peduli jika ekonomi lemah, tidak ada pelaburan, pengangguran tinggi, inflasi meningkat dan sebagainya kerana ia membuka ruang untuk menjatuhkan kerajaan dan pihak lawan berpeluang untuk memerintah.
‘Padan muka kerana gagal urus ekonomi kini masa kami pula untuk jadi kerajaan.’ Dan kitaran ini tidak akan berterusan, tidak akan berakhir selagi semua pihak menganggap kelemahan negara akan memberi manfaat kepada mereka.
Perkara yang sama ditegaskan oleh Ari Aisen dan Francisco Jose Veiga dari Jabatan Asia Tengah dan Asia Barat Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam kertas kerja mereka bertajuk ‘Bagaimana Ketidakstabilan Politik Memberi Kesan Kepada Pertumbuhan Ekonomi’.
Kata mereka, ahli-ahli ekonomi melihat ketidakstabilan politik sebagai masalah serius yang membahayakan prestasi ekonomi sesebuah negara.
Menurut kedua-dua pakar itu, ketidakstabilan politik diukur berdasarkan perubahan Kabinet, iaitu, bilangan kali dalam setahun di mana kerajaan, perdana menteri atau menteri-menteri bertukar.
“Ketidakstabilan politik berkemungkinan memendekkan ufuk pembuat dasar yang membawa kepada dasar makroekonomi jangka pendek yang tidak optimum. Ia juga boleh membawa kepada penukaran dasar yang lebih kerap, mewujudkan ketidaktentuan dan dengan itu, menjejaskan prestasi makroekonomi secara negatif,” kata mereka.
Untuk mengatasinya, isu ketidakstabilan ini perlu ditangani daripada akar puncanya. Ia tidak boleh dibiarkan berterusan kerana amat berbahaya kepada pertumbuhan ekonomi negara kita. Oleh itu, bagi para pemain politik, bersainglah secara profesional supaya setiap tindak-tanduk yang dilakukan tidak memberi kesan buruk kepada imej negara.
Hentikanlah ‘politik padan muka’ ini kerana ia akan merosakkan negara sama ada untuk jangka pendek mahupun jangka panjang.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×