CYBERJAYA: Setelah hampir sembilan tahun bertolak ansur, flat-flat di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masih lagi kotor akan dikenakan tindakan tegas mulai awal tahun depan.
Demikian peringatan keras yang disuarakan oleh Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib.
Beliau yang ternyata tidak berpuas hati dengan tahap kesedaran para penghuni kediaman strata ini berkata, ia meliputi 2,033 badan pengurusan bersama (JMB) di dua wilayah itu.

“Sepatutnya penguatkuasaan sudah bermula 1 September 2015, namun pihak SWCorp beri kelonggaran tetapi tidak lagi mulai 1 Januari 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dianggarkan ada 5,500 skim strata di ibu negara mengandungi lebih 750,000 unit rumah di bawah pengurusan 1,978 JMB diperakui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sementara di Putrajaya pula, terdapat lebih 3,000 unit kediaman strata melibatkan 55 JMB termasuk kuarters untuk petugas Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
SWCorp yang terletak di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan itu mula ditubuhkan pada 2008 dengan kuasa di enam negeri dan dua buah Wilayah Persekutuan.
Mengulas lanjut, Ummi Kalthum berkata, berdasarkan pemerhatiannya, sebahagian besar kekotoran di kediaman tinggi itu disebabkan sikap penghuni mencampuradukkan sampah.
“Saya dapati 80 peratus sampah dalam beg plastik ada sisa tertentu yang sebenarnya ia boleh dikitar semula tetapi menjadi busuk sebab bercampur pelbagai jenis,” katanya kesal.
Justeru apabila dilantik menerajui SWCorp Wilayah Persekutuan pada 1 September 2021, beliau segera membentuk rangka kerja pantas dan menubuhkan Unit JMB di agensi itu.
Pasukan khas tersebut bertindak melawat semua kediaman berstrata sejak tahun lalu bagi melakukan pengauditan senario rumah sampah dan situasi kekotoran di kawasan terlibat.
Unit itu sepatutnya, ujar beliau, boleh sahaja mengeluarkan kompaun namun telah bertolak ansur dengan menyerahkan notis amaran keras kepada JMB untuk isu penambahbaikan.
Langkah berkenaan tambahnya, ekoran ada JMB yang memberikan alasan perlu bermesyuarat dengan pihak pemaju selain melaksanakan siri kempen kesedaran untuk penghuni.
Walau bagaimanapun, tegas Ummi Kalthum, sikap toleransi itu bakal berubah kepada sifar mulai 2024 dengan denda minimum RM1,000 akan dikenakan bagi setiap kali kesalahan. – UTUSAN











