Kelab Rukun Negara: Apa kesannya pada anak-anak kita hari ini?

Kelab Rukun Negara: Apa kesannya pada anak-anak kita hari ini?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INISIATIF Kementerian Pendidikan (KPM) yang bercadang memperluaskan penubuhan Kelab Rukun Negara di sekolah-sekolah di seluruh negara termasuk sekolah swasta bagi memperkukuh usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda sangat wajar dan tepat pada masanya. Ironinya, sekolah adalah platform dan medan terbaik untuk kita memupuk dan terus menerapkan semangat perpaduan dalam diri anak-anak, umpama melentur buluh biar dari rebungnya.

Walaupun negara meniti usia kemerdekaan 66 tahun, namun soal perpaduan kaum terus diperdebatkan kerana masih terdapat banyak ruang kosong yang perlu diisi bagi memugarkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Secara zahirnya mungkin kelihatan semuanya elok dan nampak bersatu padu, namun hakikatnya kita masih terus diancam masalah polarisasi kaum yang agak serius. Misalnya, keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, baru-baru ini dengan jelas mendedahkan wujudnya masalah polarisasi kaum sangat ketara sekali gus menunjukkan negara berdepan budaya politik tidak sihat yang akhirnya dikhuatiri boleh memporak-perandakan kesepaduan rakyat.

Justeru, usaha untuk memupuk perpaduan kaum tidak boleh dilakukan secara bermusim atau bila perlu sahaja, sebaliknya perlu dilipatgandakan dan dilaksanakan sebagai agenda tetap demi mempateri kemas jambatan perpaduan yang diwariskan kepada kita oleh generasi bapa kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman putra Alhaj, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan. Mereka ini adalah antara figura ‘lambang perpaduan’ yang sering kita jadikan contoh dan rujukan serta dijulang sebagai arkitek yang membina jambatan perpaduan diwariskan kepada kita.

Sebagai rakyat di bumi bertuah ini, sudah tiba masanya untuk setiap seorang daripada kita dengan jujur dan ikhlas membuang jauh-jauh segala masalah perbezaan ideologi politik, budaya prasangka negatif, rasis dan prejudis terhadap kaum lain. Marilah kita dengan lapang dada memikirkan apalah nasib anak cucu kita dalam tempoh 10, 20 atau 50 tahun akan datang jika masalah perhubungan kaum yang ada sekarang masih berterusan.

NAFAS BAHARU

Jujurnya, kita perlu akui negara sedang berhadapan masalah polarisasi kaum serius dicetuskan oleh golongan tidak bertanggungjawab yang gagal menghayati objektif dan falsafah di sebalik pembentukan ideologi kebangsaan, iaitu Rukun Negara serta kewujudan kontrak sosial yang dijadikan sumber rujukan dan panduan hidup masyarakat majmuk sejak merdeka.

Justeru, demi mencorak dan membina masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara dalam kerangka membangun Malaysia Madani, usaha untuk menangani masalah polarisasi kaum melalui inisiatif memperkasa perpaduan kaum perlu terus diligatkan di semua peringkat, khususnya memberi perhatian serius kepada kelompok anak muda bermula di bangku sekolah.

Maka dalam konteks ini kewujudan Kelab Rukun Negara di sekolah dilihat antara platform terbaik yang boleh membantu merealisasikan agenda perpaduan nasional ini. Untuk rekod, dilaporkan sudah ada 6,849 Kelab Rukun Negara di seluruh negara dan amat wajar diperluaskan ke semua sekolah termasuk sekolah swasta.

Dalam hal ini, diharap dua kementerian penting yang terlibat secara langsung iaitu KPM dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dapat berganding bahu secara strategik bagi menjayakan inisiatif penting ini.

Secara prinsipnya, Kelab Rukun Negara di sekolah telah lama wujud, justeru kita perlu menilai dan meneliti terlebih dahulu sejauh mana pengendaliannya selama ini memberi kesan dan impak yang diharapkan.

Untuk itu, teliti apa aktiviti dilaksanakan selama ini sebagai program wajib setiap sesi persekolahan dan adakah ia benar-benar memberi impak yangdihasratkan. Misalnya, adakah terdapat program yang terancang dan berjadual yang dilaksanakan pada setiap tahun atau kebanyakan program dibuat lebih bersifat one-off semata-mata? Lebih penting untuk dinilai, adakah peserta yang terlibat dalam program dianjurkan oleh kelab ini benar-benar melibatkan semua komposisi kaum yang ada?

KPI

Perkara seperti ini perlu diteliti supaya kita bukan sahaja mahu memperluaskan penubuhannya ke semua sekolah tetapi turut memberi nafas baharu supaya pada akhirnya, Kelab Rukun Negara dapat memainkan peranan penting bagi memperkenalkan serta menerapkan lima prinsip terkandung dalam Rukun Negara dalam sanubari setiap anak muda negara ini yang bakal mewarisi kepimpinan negara suatu hari nanti.

Secara idealnya, kita mahu Kelab Rukun Negara menjadi peneraju perpaduan di sekolah yang kemudiannya menyumbang kepada aspek pemerkasaan perpaduan nasional.

Jadi, sekolah dan kelab ini perlu sedar tanggungjawab berat yang diletakkan di bahu mereka bagi memecahkan isu polarisasi kaum yang sedang mengancam anggota masyarakat kita. Dalam hal ini, kita memohon agar KPM dapat memberikan arahan yang jelas kepada pihak pentadbir sekolah supaya memberi perhatian lebih serius kepada program anjuran kelab ini. Untuk memudahkan proses tersebut, disaran KPM dan KPN membangunkan garis panduan pengurusan Kelab Rukun Negara mencakupi aspek jenis-jenis program yang perlu dianjurkan sebagai agenda tetap dalam kalendar persekolahan setiap sekolah berserta prasyarat berkaitan komposisi peserta serta panduan pelaksanaannya.

Bagi menzahirkan keseriusan agenda ini, jadikan penganjuran program kelab ini sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) setiap pengetua dan guru besar selain pegawai perpaduan daerah yang sewajarnya membentuk dan mewujudkan kolaborasi strategik bagi merencana, merangka dan melaksanakan program di sekolah melalui kelab ini.

Jujurnya, kita tidak mahu agenda memupuk perpaduan nasional dalam kalangan anak-anak dipandang enteng atau hanya dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga. Kita juga tidak mahu Kelab Rukun Negara di sekolah umpama mati segan hidup tak mahu. Sudah tiba masanya kita memperkasa sekolah dan Kelab Rukun Negara sebagai platform utama untuk memupuk semangat perpaduan nasional dalam kalangan generasi muda negara ini. Semoga inisiatif dan kerjasama strategik antara KPM dan KPN dapat merealisasikan hasrat murni ini. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu semasa & pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×