Buang jauh hasad politik demi Hari Kebangsaan

Buang jauh hasad politik demi Hari Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lalu saya berpeluang menghadiri persidangan Wikimania 2023 bersama-sama lebih 3,000 peserta dari seluruh dunia. Bertempat di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Singapura, ini merupakan julung kali Yayasan Wikimedia menganjurkan persidangan tahunannya di rantau Asia Tenggara. Menarik dan begitu banyak ilmu diperoleh melalui sesi latihan, ceramah dan bengkel sepanjang seminggu saya di sana.

Banyak pengalaman berharga dapat saya timba. Istimewanya ini merupakan Wikimania pertama saya. Paling menarik, semangat perpaduan dalam kalangan peserta sangat tinggi di mana para delegasi dari negara-negara berlainan berinteraksi dengan baik dan bekerjasama tanpa mengira umur dan warna kulit. Walaupun merupakan antara peserta termuda, namun saya tidak dipinggirkan oleh mereka yang jauh lebih dewasa.

Saya bersyukur atas rezeki menerima jemputan menyertai dua persidangan besar di luar negara pada tahun ini. Akhir Mei lalu menghadiri Forum Internet Stockholm (SIF) di Sweden atas jemputan sebuah agensi kerajaan Sweden. Pengendalian persidangan Wikimania lebih santai berbanding SIF yang sangat formal dan kedua-dua suasana berbeza itu memberikan saya peluang memperkayakan pengalaman.

Bagi saya, salah satu perkara paling menarik ketika berada di luar negara adalah memerhati persekitaran serta suasana berbeza, dari gaya hidup sehinggalah prasarana tempatan. Banyak boleh kita pelajari untuk memperbaiki diri serta menginsafi kelebihan yang kita nikmati di negara sendiri, namun sering kali tidak kita hargai. Sebagai contoh, soal infrastruktur. Walaupun sistem stesen kereta api di Sweden lebih canggih, namun ciri-ciri keselamatan ketika di platform di Malaysia adalah lebih baik.

Kebetulan pula ketika saya berada di Sweden dan Singapura, kedua-duanya sedang dalam suasana sambutan hari kebangsaan masing-masing. Di Singapura, hiasan bendera negara dan gegantung sambutan masih menghiasi jalan raya dan bangunan biarpun sambutannya sudah berlalu beberapa hari sebelumnya. Amat menarik kerana hiasan mereka umumnya amat seragam walaupun di bangunan dan di taman berbeza. Nampaknya tiada masalah bagi mereka mengekalkan keseragaman dan tiada pihak yang tampil mahu menggunakan reka bentuk berbeza.

Begitu juga pengamatan saya di Sweden. Lebih menarik lagi bagi rakyat Sweden, bendera negara bukan sekadar untuk dikibarkan pada hari-hari sambutan kenegaraan sahaja tetapi sambutan umum seperti hari graduasi turut dihiasi bendera negara. Sehinggakan di kedai-kedai di Stockholm, bendera Sweden dan hiasan biru-kuning (seperti warna bendera mereka) menjadi elemen penting di bahagian kelengkapan termasuk majlis graduasi kanak-kanak tadika. Begitu bangganya mereka akan bendera negara.

Hal berikutnya yang menarik perhatian saya ketika di Singapura ialah siaran rakaman perarakan hari kebangsaan disiarkan berulang kali di televisyen agar semangat sambutannya tidak mati walaupun telah berminggu berlalu. Bersemangatnya mereka dalam usaha menanam dan menyemarakkan lagi rasa sayang dan taat setia rakyat kepada negara.

JALUR GEMILANG

Kita juga bakal menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi. Sebaik sahaja tiba di tanah air pada 20 Ogos lalu, saya berasa begitu gembira tatkala melangkah memasuki terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, apatah lagi apabila melihat Jalur Gemilang berkibaran megah menghiasi terminal. Malah, sejak dahulu lagi akan tercetus perasaan indah yang sukar untuk diucapkan setiap kali dapat melihat kembali tanah air tercinta setelah berada di tempat orang. Bak kata pepatah, hujan emas perak di negeri orang, hujan keris lembing di negeri kita, baik juga di negeri kita.

Sudah tentu sambutan Hari Kebangsaan tidak kurang meriah sambutannya. Malah, pengangkutan awam di ibu kota akan melanjutkan perkhidmatan mereka sehingga pukul 2 pagi bagi memudahkan warganya menyambut malam ambang Hari Kebangsaan di lokasi pilihan sekitar Kuala Lumpur. Namun, sayangnya ada juga pihak seakan mahu mencipta polemik seolah-olah tidak mahu bersatu hati menerima semangat keseragaman sambutan hari bersejarah ini.

Apabila ditegur, ada pula pihak membangkitkan kenapa mahu diperbesarkan sangat isu ini? Bukankah hal ini pernah dilakukan oleh Pakatan Rakyat dahulu? Adakah ini pendirian yang mahu diterapkan ke jiwa generasi muda dalam menangani hal-hal penting sebegini? Kesalahan yang diulang tidak akan membenarkannya, ibarat pepatah Inggeris, two wrongs do not make a right. Jangan mengajar generasi muda dengan sifat-sifat angkuh dan sikap memberontak. Kita tidak mahu nantinya timbul pula isu bendera baharu dengan alasan ia pernah berlaku dalam satu demonstrasi suatu ketika dahulu.

Sudah-sudahlah bermain politik. Jangan menjadi ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Amatilah dan taatilah titah raja-raja yang menjadi payung negara. Ayuh kita berusaha mengetepikan hasad politik demi semangat kenegaraan serta kebersamaan. Jangan sampai kedengkian itu menghancurkan negara bangsa

Baik dahulu, sekarang, mahupun pada masa akan datang, perbuatan salah tetap salah walau siapa pun si pelakunya. Biar mati anak, jangan mati adat. Kita semua tidak sempurna dan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, tetapi janganlah asyik berkeras mahu menegakkan benang yang basah. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal, bukankah ini cara kita?

Hayatilah pengorbanan raja-raja Melayu yang sanggup menyerahkan kuasa dan tanah kerajaan baginda demi membentuk Persekutuan Tanah Melayu, seterusnya satu ikatan persaudaraan bersama Sabah dan Sarawak. Jangan jadi ibarat anjing dan bayang-bayang. Kelak nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Selamat Hari Kebangsaan ke-66 kepada seluruh rakyat Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×