Kembar tiga curi tumpuan daftar kolej, jurusan sama

Kembar tiga curi tumpuan daftar kolej, jurusan sama

FAKHRUL Amri Mohd. Razaki (kiri), Fakhrul Adli (tengah) dan Fakhrul Asri ketika mendaftar masuk di Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL), Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tiga kembar seiras mencuri tumpuan selepas menjadi antara 334 pelajar yang mendaftar dan melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL), di sini semalam.

Pasangan kembar itu iaitu Fakhrul Amri Mohd. Razaki, Fakhrul Adli dan Fakhrul Asri masing-masing berusia 18 tahun tiba seawal pukul 8 pagi bagi menghadiri sesi pendaftaran.

Suasana di Dewan Dato’ Haji Sidek itu bertukar riuh selepas tiga beradik tersebut hadir dengan berpakaian sedondon dengan berkemeja jalur hijau dan berseluar coklat.

Tiga beradik dari Puchong itu turut memilih jurusan sama iaitu Sijil Teknologi Maklumat dan bercita-cita mahu menjadi ahli perniagaan.

Fakhrul Amri berkata, mereka sentiasa bersama dan jarang berpisah sejak kecil.

“Kami juga berkongsi minat sama iaitu dalam bidang teknologi maklumat dan gemar bermain permainan video di telefon bimbit. Saya bersyukur kerana hubungan kami sehingga kini kekal erat malah belajar di tempat pengajian sama,” katanya ketika ditemui.

Kembar tiga seiras itu adalah anak kelima, keenam dan bongsu daripada tujuh beradik.

Bagi Fakhrul Asri, dia dan dua abangnya sebulat suara memilih jurusan sama kerana mahu memudahkan lagi proses pembelajaran.

“Selain bersama mengulangkaji pelajaran, kami dapat bertukar idea dan pendapat masing-masing. Saya juga berharap kami dapat merealisasikan impian menjadi ahli perniagaan kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah KKKL, Suhairi Ismail berkata, kesemua pelajar baharu berkenaan melibatkan satu program diploma dan tujuh sijil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×