PADANG BESAR: Usaha komuniti Perlis Climber membangunkan Bukit Keteri di sini, sebagai lokasi aktiviti memanjat dinding batu sejak 2009, membuahkan hasil apabila kawasan itu kini menjadi tumpuan peminat sukan lasak.
Usaha berkenaan turut dipelopori Zainol Din, 47, iaitu individu cukup dikenali bagi aktiviti memanjat dinding batu yang mempunyai peminatnya tersendiri.
Zainol berkata, berkat usaha kumpulan berkenaan menjadikan Bukit Keteri yang merupakan antara laluan mendaki paling sukar di Asia, bukan sahaja menjadi tumpuan peminat sukan tersebut dari negara ini malah menarik perhatian pendaki dari seluruh dunia.
Katanya yang lebih dikenali sebagai Pak Non, selain berperanan menyediakan laluan pendakian dan melatih pendaki baharu, Perlis Climber bertanggungjawab menitikberatkan aspek keselamatan.
“Berkat usaha kumpulan ini menjadikan Bukit Keteri kini bertaraf dunia untuk aktiviti memanjat dinding batu. Terdapat lebih 63 laluan pendakian di Bukit Keteri daripada paling mudah hingga paling sukar.
“Selain Bukit Keteri, antara kawasan rock climbing di negeri ini yang dibangunkan persatuan ini ialah seperti di Gua Kelam, Bukit Jernih, Bukit Semadong dan Guar Sami,” katanya semalam.
Sementara itu, ahli persatuan berkenaan, Muhammad Amirul Baharti,32, berkata, Bukit Keteri menjadi lokasi pendakian wajib disinggahi kerana beberapa laluan mendaki tersebut bertaraf dunia yang mempunyai pelbagai tahap kesukaran.
“Laluan memanjat yang disediakan itu sesuai bagi setiap peringkat dengan sistem keselamatan yang diselia oleh Perlis Climbers termasuk dari beberapa pendaki terkemuka dunia yang berkesempatan singgah bagi menyemarakkan aktiviti rock climbing,” katanya. – UTUSAN











