BARANGKALI dia dilihat seperti seorang manusia yang tidak punya masalah. Senyuman dan tawanya menjadi topeng wajah. Siapa yang tidak kenal dengan Ropie? Pelawak yang kini menjadi dambaan ramai pengkarya.
Namun bukan mudah untuk dia berdiri dalam ruang hidupnya kini. Segala kenikmatan harus dibayar dahulu dengan jerih perih. Sukarnya hidup sebagai anak seni. Itu permulaan bicara insan yang cukup berjiwa hamba ini.
Memulakan langkah sebagai anak seni sekitar tahun 1997, anak kelahiran Taiping, Perak ini memahat nama sebagai salah seorang ahli kumpulan lawak, Cecupak. Namun, ketika itu mereka bersaing hebat dengan Senario.
“Ketika itu, nak kais pagi makan pagi pun susah. Saya pernah kecewa dengan industri dan diri sendiri sehingga pulang ke kampung halaman. Balik-balik tengok ada seguni tin depan pintu. Rupanya arwah abah dan mak kutip tin untuk dijual.
“Ketika itu, jiwa saya hancur. Saya seperti tidak berguna. Tetapi segala kesusahan hidup di ibu kota saya telan seorang. Tidak mahu menyusahkan mereka. Jadi saya tolong kutip tin, bateri lama dan macam-macam lagi.
“Kalau ingat semula, berderai air mata. Nikmat yang dimiliki sekarang adalah rezeki terhebat Tuhan. Benar kata orang, bersusah dahulu, senang kemudian. Tidak akan saya pernah lupa keperitan hidup ketika itu,” katanya perlahan.
PENANGAN NAYAN, PAK KODI
Namanya memuncak sekitar tahun 2017 selepas menjawakan watak Nayan dalam filem pecah panggung, Hantu Kak Limah. Ramai yang mula perasan bakat sebenar Ropie yang mungkin sebelum ini dipandang sepi.
Malah, watak Pak Kodi menerusi sitkom JKKK benar-benar meletakkan Ropie dalam liganya tersendiri. Di usia lima dekad, dia berjaya merealisasikan impian. Tidak mudah ya. Jauh perjalanannya.
“Saya pernah sahaja sapu semua tawaran yang ada. Asal ada duit. Ketika itu, bayaran RM50 sehari pun saya sapu. Walaupun di sudut hati, bayaran itu tidak setara kudrat yang dicurah. Namun, itu kan rezeki?
“Sekarang, saya sudah mula fikir faktor usia. Kalau hendak berlari-lari, watak aksi itu mungkin kena fikir dua tiga kali. Kalau dulu semua watak saya belasah tetapi sekarang kasihan dekat tulang belulang semua. Sakit.
“Malah sebelum berlakon, saya akan lebih banyak mendiamkan diri, kumpul tenaga. Takut nanti tercungap-cungap. Bagi tenang diri dan fikir apa yang hendak dilakukan. Hendak berjenaka ini tidak mudah,” katanya.
Diaju soalan, tidakkah dia mahu mencuba watak berbeza selain komedi, bagi Ropie, nikmat Tuhan yang kini dinikmati harus disyukuri. Bukan tidak pernah mencuba, namun lebih baik andai dia terus di liganya sendiri.
Dia pernah berdoa, semoga Allah memakbulkan impian untuk bergelar pelawak dan punya nama pentas berbeza selain nama asalnya. Maka, apa yang dinikmati adalah anugerah Tuhan atas doa-doanya.
ROPIE KEREPEK? BOLEH SAHAJA
Siapa sangka, di tangga usia 54 tahun, dia masih kekal relevan dan dilantik sebagai duta kepada produk kerepek keluaran Misabitez. Itu tanda Ropie bukan artis sembarangan. Punya pengaruh dan tempat tersendiri.
Malah, seandainya ada yang menggelarkan dia sebagai Ropie Kerepek pun pelawak ini tidak kisah. Itu tandanya dia buat kerja dengan baik dan mana tahu, daripada kontrak berbulan boleh jadi bertahun.
“Sebagai artis, saya menerima banyak tawaran untuk review makanan. Tetapi saya jenis yang kena rasa dahulu. Kalau sedap saya beritahu. Kalau tidak, saya akan beri pendapat. Saya jujur orangnya.
“Cuma bila dapat tawaran daripada Misabitez, saya tertarik. Mula-mula rasa memang tak cukup sebalang. Lepas bincang dengan isteri, saya bersetuju. Lihat rekaan pembungkusan pun sangat menarik.
“Lepas ini kalau ada yang gelar Ropie Kerepek pun saya okay. Baguslah itu tandanya peminat suka dan secara tidak langsung, ada chance lah kontrak disambung untuk 10 tahun!” selorohnya.
BANTU TAMBAH PENDAPATAN
Tidak menyangka masih ada yang melihat dia mempunyai aura duta, Ropie sangat berterima kasih kepada duo pemilik Misabitez, Muhamad Faiz dan Khairul Amin yang memberi peluang untuknya.
Malah apa yang lebih menarik perhatiannya adalah kesungguhan dua pemilik Misabitez itu untuk membantu ramai orang menambah pendapatan. Apatah lagi, di kala pandemik melanda dunia, ramai yang terkesan.
Dia juga menolak manja dakwaan nakal yang bertebaran kononnya dia menerima bayaran yang tinggi sebagai duta. Namun sejujurnya, andai kata dia dibayar tinggi maka itu bukan satu kesalahan tetapi rezeki.
“Bila berjumpa Faiz dan Amin, saya tertarik melihat cara mereka berniaga. Niat mereka mahu membantu mereka yang dalam kesusahan. Ada ramai yang diberhentikan kerja dan pelbagai lagi masalah berkaitan kewangan.
“Jadi mereka membuka peluang perniagaan untuk sesiapa yang mahu mencuba. Itu satu usaha baik dan sangat dialu-alukan. Saya juga akan cuba mempromosikan produk kerepek yang mempunyai 23 jenis itu,” katanya.











