Tiga bulan pakai kopiah untuk bukti masakan halal

Tiga bulan pakai kopiah untuk bukti masakan halal

FIRDAUS Emir Chan Abdullah menunjukkan antara menu yang dijual di gerainya di Kampung Mersing Kanan, Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Pernah dipersoal tentang status masakannya, seorang pemuda mualaf di sini tidak pernah berputus asa mencari rezeki dengan menjual masakan Cina Muslim demi meraih wang halal untuk menikahi gadis idamannya.

Firdaus Emir Chan Abdullah, 27, yang memeluk agama Islam sejak setahun lalu berkata, dia memakai kopiah setiap kali berniaga supaya dapat menarik pelanggan Muslim dan ada juga pelanggan yang mahu melihat sijil akuan memeluk agama Islam sebelum membeli makanan jualannya.

“Selama tiga bulan berniaga masakan Cina Muslim ini, apabila lihat sahaja muka saya mereka tanya halal atau tidak. Ada juga yang mahu lihat sijil akuan memeluk agama Islam saya terlebih dahulu dan saya tunjuk kepada mereka melalui salinan yang saya bawa apabila berniaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bahkan sekarang setiap kali berniaga saya mengenakan kopiah agar pelanggan tahu saya adalah orang Cina Muslim. Saya tidak ambil hati walaupun ada juga yang mahu melihat saya masak dari awal hingga siap untuk kepastian mereka.

“Sebelum ini pelbagai kerja saya buat dan terakhir bekerja di kedai telefon bersama-sama abang sepupu, namun sejak bertunang saya fikir perlu lakukan sesuatu mencari rezeki yang halal dan berkat tambahan pula tidak lama lagi akan berumah tangga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Firdaus Emir Chan sudah lama meminati bidang masakan dan kini berniaga di Kampung Mersing Kanan bermula pukul 4 petang hingga 12 tengah malam.

Katanya, usaha menarik para pelanggan menerusi laman sosial Facebook turut membuahkan hasil apabila kini ramai yang mula mengenali masakannya.

“Saya belajar masak daripada ayah yang sangat suka memasak. Sejak kecil saya sudah didedahkan tentang cara memasak. Apabila sudah memeluk Islam, saya masih menggunakan kaedah yang sama masakan diajar ayah, cuma bezanya perlu menggunakan bahan yang halal,” katanya yang bersyukur kerana meraih pendapatan antara RM80 hingga RM100 sehari dengan kebanyakan pelanggannya ialah orang Melayu.

Dia yang merancang melangsungkan pernikahan pada tahun ini masih mengikuti kelas pengajian Islam yang dianjurkan di Pejabat Agama Islam Mersing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×