SEREMBAN: Bulan kemerdekaan yang disambut dengan pelbagai aktiviti ketika ini memberi pulangan rezeki kepada seorang suri rumah yang menjalankan perniagaan menyewa pakaian kanak-kanak dengan tema tersebut.
Nurfatimah Abu Bakar, 40, dari Bandar Sri Sendayan di sini berkata, pakaian-pakaian itu disewakannya pada harga serendah RM30 kepada ibu dan bapa yang mahu menyediakan pakaian bertemakan kemerdekaan untuk anak-anak mereka bagi sambutan hari kebangsaan di sekolah.
“Tahun lalu, saya lihat di Facebook ada penjual yang mencari orang untuk khidmat drop-ship (pesan hantar) untuk jualan baju merdeka. Bermula daripada situ saya mencuba perniagaan yang hanya untuk dua bulan sahaja iaitu Ogos hingga September.
“Saya juga mula terfikir tidak semua ibu bapa mampu membeli pakaian yang hanya dipakai sekali dan tahu harganya mampu mencecah sehingga lebih RM100 sepasang. Saya mula menjahit dan menyewakan baju tersebut selain niat untuk membantu golongan keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Nurfatimah, dia menyediakan pelbagai jenis rekaan pakaian untuk kanak-kanak berusia lima sehingga 12 tahun seperti baju Melayu, baju pahlawan, kebaya, gaun kembang dan baju kurung moden.
“Saya bermula dengan hanya ada 13 pasang baju dan kini meningkat kepada 32 pasang. Saya turut menjual pakaian kemerdekaan bersama dengan aksesori lain secara drop-ship,” katanya yang memberitahu hanya membuat iklan menerusi Facebook dan WhatsApp. – UTUSAN










