Cabar adrenalin di Gopenghagen - Utusan Malaysia

Cabar adrenalin di Gopenghagen

White water rafting wajib anda cuba dalam kunjungan ke Gopeng.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG bukan nama biasa satu ketika dahulu. Nama daerah ini menjadi terkenal selepas menjadi pusat aktiviti perlombongan bijih timah terbesar satu ketika dahulu.

Gopeng atau nama hipsternya, Gopenghagen sering dikaitkan dengan si Raja Buah ‘deghoyan’ (durian), sehingga sisi lasak sebagai lubuk cabaran adrenalin belum banyak diketahui umum.

Bagi anda yang masih mencari tempat menarik untuk bercuti sama ada bersama keluarga, rakan-rakan atau untuk melakukan aktiviti lasak, di sini ada jawapannya.

Antara sebab daerah Gopeng atau lebih dekat dengan panggilan Gopenghagen perlu menjadi pilihan anda yang mahu bercuti dan lari daripada kesibukan bandar ialah jaraknya dekat.

TANGGA antara salah satu laluan utama terdapat dalam Gua Tempurung. – GAMBAR/MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

Ia terletak hanya kira-kira dua jam perjalanan dari ibu kota Kuala Lumpur. Itu nyata menjimatkan masa dan mengurangkan keletihan.

GUA TEMPURUNG
Ini kedua kali saya ke sini. Memesrai lokasi ini amat mencabar, terutama pada musim tengkujuh.

Kami perlu meredah laluan yang menjadi salah satu aliran daripada sungai berhampiran.

Laluan sempit, sarat dengan stalagmit dan stalaktit di dalam gua, turut mencabar keberanian individu.

Sesi menggeledah gua tidak terhenti di situ.

Fizikal kami diuji dengan perlu merangkak dalam laluan dan lubang sempit serta meluncur di kawasan curam di sepanjang laluan sejauh 1.9 kilometer (km). Bukan lima minit, tetapi hampir lima jam!

Pemilik dan pengurus Gua Tempurung Extreme Ventures, Mohd Firdaus Halime berkata, ada empat tahap bagi individu yang ingin menerokai Gua Tempurung.

Bermula dengan biasa, hinggalah ke tahap paling mencabar yang memerlukan individu memiliki stamina tinggi.

Dengan kata lain, peserta yang berminat mencuba aktiviti ini tidak boleh mempunyai kecederaan fizikal serius.

“Setiap peserta perlu memakai pakaian sesuai termasuk menggunakan kasut getah jika anda memilih untuk menerokai gua ini dan perlu membawa head lamp serta beberapa bekalan makanan ringan seperti coklat sebagai sumber tenaga,” katanya melontar pesanan.

SUNGAI KAMPAR
White water rafting menyulusuri Sungai Kampar antara mesti di cuba.

Sebabnya, sungai ini pernah terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah satu ketika dahulu.

Jadi sewaktu menyelusuri, hati anda akan terpahat rasa bangga menjejaki sejarah dan khazanah negara.

Aktiviti ini memakan masa kira-kira dua jam.

Untuk lebih merasai cabaran, anda digalakkan datang ke sini ketika musim hujan kerana waktu itu, anda bakal berdepan dengan arus deras yang mungkin mencapai tahap tiga!

Pendek kata, tidak lengkap kunjungan anda ke Gopeng tanpa aktiviti ini.

Hasil temu ramah penulis dengan orang lama, saya difahamkan Gopeng memiliki sejarah yang masih belum disingkap sepenuhnya.

Saya akan cuba kongsikan serba sedikit hasil pertemuan saya dengan ‘orang lama’ semasa melawat Gopeng pada masa akan datang!.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×