Salak jadi sumber pendapatan tambahan lumayan

Salak jadi sumber pendapatan tambahan lumayan

NORMAN ALI menunjukkan buah salak yang sudah matang di kebunnya di Lorong Tengah, Kampung Rimba Terjun, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Tanaman salak berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan bagi pekebun kerana mampu memberikan pulangan lumayan dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas ditanam.

Seorang pekebun, Norman Ali, 53, kini mempunyai 1,200 pokok salak yang di tanah seluas 0.4 hektar di kawasan kebun getahnya serta di sekeliling rumah.

Katanya, biji benih salak itu dibeli dari Kelantan pada 2020 dan memilih kebun getah bagi menanam pokok salak memandangkan tanaman tersebut memerlukan tahap keredupan 70 peratus pencahayaan.

“Selain pokok salak betina, pokok salak jantan juga perlu ditanam namun jumlahnya sedikit kerana perlu melakukan pendebungaan bagi mengeluarkan buah.

“Hanya pokok salak betina yang mengeluarkan buah setelah tiga hingga empat tahun ditanam dan buahnya boleh dimakan segar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Lorong Tengah, Kampung Rimba Terjun, dekat sini.

Norman menjadikan penanaman pokok salak sebagai sumber pendapatan tambahan kerana turut menjalankan perniagaan menjual roti canai pada waktu malam berhampiran rumahnya.

“Setiap minggu sebanyak 30 kilogram buah salak dapat di­tuai atau kira-kira 100 kilogram sebulan yang dipasarkan menerusi kaedah dalam talian de_ngan penghantaran terus kepada pembeli. “Pernah juga dalam tempoh seminggu dapat menghasilkan sebanyak 80 kilogram buah salak disebabkan banyak pokok mengeluarkan buah serentak dan dituai dalam masa yang sama,” jelasnya.

Setakat ini permintaan bagi buah salak mendapat sambutan baik daripada orang ramai sehingga tidak dapat memenuhi pesanan.

“Saya kini menjual terus buah salak kepada pelanggan dengan harga RM12 sekilogram dan berhasrat untuk menambah lagi kawasan penanaman pada masa akan datang,” katanya sambil memberitahu rasa buah dari kebunnya tidak jauh beza­nya dengan buah yang ditanam di Indonesia, iaitu manis atau masam-masam manis.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×