KUALA SELANGOR: Anak Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.09 Permatang tekad mahu meneruskan legasi bapanya dengan memfokuskan isu kebajikan, pendidikan dan sosioekonomi rakyat.
Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tumpuan selepas diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semestinya membantu meningkatkan mutu pendidikan dan melahirkan lebih ramai usahawan di kawasan berkenaan.
Jelas Nurul, 35, beliau mahu membawa banyak perubahan terutama generasi muda dengan mendekati mereka untuk bersama membangunkan DUN itu.
“Saya juga mahu terus bekerja dan menjaga nama baik bapa (Noh) yang menjadi bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal.
“Ia bukan jalan pintas namun satu amanah berat dan saya wajib berusaha sehebat beliau atau lebih baik bagi menabur bakti serta membalas budi kepada rakyat,” katanya ketika ditemui, semalam.
Nurul Syazwani memenangi kerusi DUN Permatang selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Yahya Mat Sahri dengan majoriti 1,728 undi selepas mendapat undi 12,850 manakala Mohd. Yahya memperoleh 11,122 undi.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi itu dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rozana Zainal Abidin yang menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).
Mengulas kejayaan dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor, kata Nurul Syazwani, rakyat dilihat sudah matang menilai parti yang ikhlas menjadi ‘suara’ mereka pada masa depan.
“Tanjong Karang sebelum ini menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun kini beralih kepada Perikatan Nasional (PN). Saya mahu memastikan Parlimen ini yang meliputi dua DUN termasuk Sungai Burong akan terus kekal kepada PN,” ujarnya.
Tambah beliau, kemenangan itu tidak boleh disiakan kerana ia tanggungjawab besar yang digalas bagi membantu membela nasib rakyat.
“Permatang perlu dijadikan hab pengeluaran makanan kerana mempunyai kepelbagaian tanaman dan hasil pertanian termasuk sawah padi.
“#RestartPermatang menjadi simbolik hasrat utama saya melakukan pembaharuan kuasa dan pentadbiran lebih mesra rakyat serta berkebajikan demi generasi masa depan selain membina satu Keluarga Tanjong Karang di bawah satu bumbung,” jelasnya.- UTUSAN










