Hakam ‘tangkap muat’ jejas perdamaian suami isteri

Hakam ‘tangkap muat’ jejas perdamaian suami isteri

JIKA tiada ahli keluarga berkelayakan untuk dilantik sebagai hakam, teruslah kepada mahkamah kerana hakim boleh melantik hakam panel atau mana-mana pihak berkredibiliti untuk membantu menyelamatkan masalah keluarga yang dihadapi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI orang tengah dalam kes pertikaian suami isteri dan hal ehwal kekeluargaan merupakan suatu perkara mencabar. Manakan tidak, seringkali perbincangan tersebut diselaputi pelbagai rasa dan emosi yang dikumpul semenjak sekian lama. Malah perkara titik bengit juga digembar-gembur bagi menjustifikasikan pendirian masing-masing.

MENDAMAIKAN
Islam menerusi ayat 35, surah al-Nisa’ menggariskan agar pasangan yang bertelingkah melantik hakam bagi mewakili diri masing-masing. Allah SWT berfirman: “Dan jika kamu khuatir perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri), maka lantiklah hakam (untuk mendamaikan mereka, iaitu) seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan.”

Selain memutuskan pertelingkahan dan memastikan majlis tahkim berjalan secara terhormat, hakam juga berperanan untuk mengelakkan perbuatan zalim daripada mana-mana pihak serta berfungsi melindungi kaum wanita daripada teraniaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majoriti di negeri seluruh negara, peruntukan berkenaan hakam dikanunkan menerusi Seksyen 47 (14) dan 48, akta/enakmen undang-undang keluarga Islam, iaitu berhubung permohonan perceraian. Permohonan pembubaran perkahwinan lainnya seperti fasakh, taklik, khuluk, li’an, anggapan kematian, pertukaran agama dan farak nikah hendaklah melalui prosiding perbicaraan.

DOMINASI
Sungguhpun hanya kes perceraian memerlukan pihak-pihak melantik hakam, sebenarnya kes tersebut merupakan pecahan terbesar dalam kategori pembubaran perkahwinan difailkan oleh masyarakat. Malah permohonan perceraian juga mendominasi keseluruhan kes di mahkamah syariah.

Menurut Seksyen 47, pasangan hanya akan diperintahkan untuk melantik hakam masing-masing apabila pegawai di jabatan/pejabat agama Islam yang mempengerusikan jawatankuasa pendamai melaporkan kepada mahkamah bahawa terdapat syiqaq atau pertelingkahan berlanjutan antara pasangan terbabit.

Seksyen 48 seterusnya menyatakan dalam urusan pelantikan hakam tersebut, keutamaan hendaklah diberikan kepada saudara karib yang mengetahui hal keadaan kes berkenaan. Di Selangor, kaedah 4 (2), Kaedah-kaedah Hakam 2014 memperincikan kriteria ‘saudara karib’ hendaklah merupakan seseorang yang mempunyai pertalian nasab, persemendaan atau susuan yang tahu akan hal keadaan kes itu.

Selain itu, kaedah 8 berkenaan turut memperuntukkan seseorang hakam hendaklah memenuhi kriteria lainnya seperti beragama Islam, lelaki, berakal dan baligh (mukallaf), adil dan amanah serta mempunyai pengetahuan asas dalam hal ehwal kekeluargaan dan hukum syarak. Kebiasaannya, hakam ini dikenali sebagai hakam keluarga.

Sekiranya hakam keluarga tidak dapat mencapai persetujuan atau mahkamah tidak berpuas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan, maka mahkamah boleh melantik hakam lain bagi menggantikan mereka.

Di Selangor, hakam lain (kedua) boleh dilantik daripada hakam panel yang disahkan perkhidmatan serta diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), atau mana-mana pegawai syariah atau pegawai hal ehwal Islam dalam perkhidmatan awam am Persekutuan atau negeri atau mana-mana pegawai majlis yang mahir dalam bidang kekeluargaan dan hukum syarak. Menariknya, hakam ini dilantik oleh mahkamah dan diberikan kuasa penuh sehingga boleh melafazkan talak atau menerima khuluk bagi pihak prinsipal masing-masing (suami atau isteri).

Kebanyakan masyarakat masih tidak menyedari perbezaan kesan talak yang dilafazkan oleh suami dan hakam. Sebenarnya bagi talak diucapkan oleh suami, perceraian tersebut merupakan talak raj’i yang membolehkan pasangan berkenaan kembali rujuk dalam tempoh idah. Malah sekiranya salah satu pihak meninggal dunia dalam tempoh idah berkenaan, masing-masing berhak untuk mewarisi antara satu sama lain.

Namun sekiranya hakam yang melafazkan talak tersebut, maka talak berkenaan dikategorikan sebagai talak bain sughra yang diharamkan rujuk walaupun masih dalam tempoh idah. Bagaimanapun, jika pasangan tersebut masih berhasrat untuk kembali semula sebagai pasangan suami isteri, maka mereka hendaklah diakadnikahkan dengan mas kahwin yang baharu.

TANGKAP MUAT
Menurut statistik, terdapat 143,211 kes permohonan perceraian di mahkamah syariah seluruh negara sepanjang 2018 hingga 2022. Ini bermakna bagi mendamaikan pasangan yang bertelingkah, sekurang-kurangnya memerlukan 286,422 orang hakam keluarga yang mewakili plaintif dan defendan.

Isunya, adakah hakam keluarga yang mewakili pasangan tersebut kompeten atau sekadar tangkap muat?

Menurut kajian yang saya lakukan terhadap 669 kes perceraian di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, laporan hakam keluarga sangat klise dengan hampir 95 peratus menggunakan ayat hampir sama seperti “Saya bersetuju dengan apa sahaja keputusan plaintif/defendan” dan “Saya berharap pasangan ini dapat berbaik semula, namun jika plaintif/defendan masih ingin meneruskan perceraian, maka saya sentiasa menyokong hasrat tersebut.”

Malah tidak kurang juga terdapat hakam berkenaan mencadangkan agar pasangan tersebut diberikan peluang untuk berbincang bersama seseorang yang dihormati bagi menyelesaikan konflik tanpa menyedari pada ketika itu dirinyalah yang dilantik sebagai ‘orang yang dihormati’ untuk menyelesaikan persengketaan tersebut.

Lebih malang apabila hakam dilantik tidak mengetahui hal ehwal konflik yang berlaku. Senario ini bukanlah suatu perkara yang menghairankan kerana dapatan kajian juga menunjukkan hanya lima peratus atau 33 pasangan daripada 669 kes mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama keluarga bagi menyelesaikan persengketaan. Justeru, jika ahli keluarga tidak mengetahui duduk berdirinya permasalahan berbangkit, manakan mungkin solusinya akan dapat dicapai?

Sadisnya lagi apabila terdapat hakam keluarga mengemukakan cadangan agar isteri membayar khuluk sebagai syarat untuk memutuskan ikatan perkahwinan, walaupun sebenarnya punca perceraian adalah disebabkan kegagalan suami menjalankan tanggungjawab.

Meneliti pola peningkatan kes perceraian dan trend pemilihan hakam keluarga, maka adalah dinasihatkan agar pasangan yang bertikai tidak memperjudikan nasib rumah tangga dan anak-anak.

Jika tiada ahli keluarga berkelayakan untuk dilantik sebagai hakam, teruslah kepada mahkamah. Ini kerana hakim boleh melantik hakam panel atau mana-mana pihak berkredibiliti untuk membantu menyelamatkan keluarga anda!-UTUSAN

DR. Roziana Mat Amin ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×