Tahun 2017 memahatkan memori indah dalam kamus kehidupan Nur Aisyah Mohd. Razip, 23 apabila beliau dinobatkan sebagai Top Lifestyle Influencer sempena Influence Asia 2017.
Masih setahun jagung ketika dinobatkan sebagai individu berpengaruh Asia itu benar-benar mengejutkan dirinya namun itulah hasil yang dituai selepas kerja kerasnya dari kecil menghasilkan video-video vlog seperti solekan dan aktiviti menarik untuk tontonan umum.
Mengakui memboloskan diri terlalu awal ke dalam dunia alam maya, namun gadis berusia 23 tahun ini matang dalam menguruskan dirinya agar tidak terpalit dengan sebarang kontroversi yang boleh menggoyahkan namanya.
Memiliki lebih 500,000 pengikut di Youtube dan 492,000 di Instagram menjadikannya lebih berhati-hati dalam setiap langkah yang diambil.
Paling penting, adalah menjaga kesihatan mentalnya memandangkan dirinya kini menjadi antara individu yang dikenali.
“Saya biasanya tidak membiasakan diri untuk membaca komen terutamanya yang negatif kerana bagi saya, saya tidak patut membacanya.
“Tapi saya sudah membuat video daripada kecil dan sudah lama dalam bidang ini, jadi komen sebegitu (negatif) tidak begitu memberi kesan kepada saya,” katanya mengulas mengenai ramai pempengaruh yang burnout pada ketika ini disebabkan oleh kecaman daripada warganet.
Mengulas lanjut, gadis yang petah berbicara dalam Bahasa Inggeris ini juga lebih gemar menjadi diri sendiri dan tidak terlalu mengikuti trend.
“Tidak terlalu ikut trend sebab tidak mahu menjadi orang lain, cukuplah sekadar menjadi diri sendiri.
“Malah, ia membuatkan saya tidak terlalu stres dan menjalani kehidupan dengan lebih tenang,” katanya yang melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Komunikasi dan Media Digital di Westminster School, London, United Kingdom.
Biarpun sudah berkecimpung selama 11 tahun sebagai pencipta kandungan, Aisyah masih merasa dirinya sama seperti dia bermula.
Dia hanyalah gadis kecil yang gemar bercakap di hadapan kamera dan berkongsi aktiviti yang dilakukan di platform internet.
Tidak pernah sekalipun menganggap dirinya sebagai popular dan dikenali, dia dengan rendah diri mengatakan dirinya hanya sebagai Youtuber.
“Saya tidak pernah rasa popular atau rasa diri sebagai Instafamous, saya anggap diri saya hanya seorang Youtuber yang gemar membuat vlog.
“Tidak memberi perubahan apa-apa kepada diri saya. Memang ada yang mengenali saya ketika terjumpa di mana-mana dan saya okay sahaja dengan perkara itu,” ulasnya lanjut.
Bagi dirinya, dia hanya mahu berkongsikan aktiviti menarik dan tempat-tempat menarik bersama pengikutnya.
Perkongsian itu diharapkan dapat menghiburkan dan memberi inspirasi serta pengetahuan secara tidak langsung kepada para penonton.
Gemar energi positif
Gadis yang tampak matang daripada usianya ini juga gemar berada dalam kelompok yang positif terutamanya dalam kalangan ahli keluarga untuk mendapatkan energi yang positif.
Sebagai seorang pempengaruh yang sering berkongsikan vlog aktivitinya dia perlu sentiasa berfikiran positif dan minda yang tenang.
Bercakap mengenai penghasilan vlognya pula, kata Aisyah kebanyakan idea vlog datang daripada pengikut-pengikutnya.
“Saya sering bertanya kepada penonton apa yang ingin mereka lihat seterusnya dan saya akan tunaikan jika berkesempatan.
“Selain itu, saya juga ada brainstorming bersama ahli keluarga untuk menjana idea-idea yang lebih menarik untuk kandungan seterusnya,” katanya yang juga gemar berkongsikan vlog percutian di luar negara.
Video-video itu seringkali mendapat tontonan ratusan ribu hingga jutaan kali tontonan setiap kali dimuatnaik di akaun Youtube miliknya.
Nama Cupcake bawa tuah
Setiap kejayaan pasti datang daripada sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ahli keluarga.
Tidak menafikan perkara itu, kata Aisyah, ibunya adalah sistem sokongan yang paling kuat terhadap kariernya ini.
“Ibu adalah orang yang paling kuat menyokong saya selama ini.
“Dia sentiasa menyokong dan membantu dalam setiap apa yang saya lakukan. Ibu adalah penyokong saya yang paling kuat,” katanya sambil tersenyum.
Gadis yang berorientasikan keluarga ini juga gemar menghabiskan masa bersama keluarga sekiranya tidak melakukan penggambaran video.
Bagi dirinya, keluarga adalah entiti penting dalam hidupnya sekaligus dia mahu terus mengekalkan kemesraan dan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarganya.
Malah, gelaran ‘Cupcake’ juga bermula daripada keluarga yang menggelarnya kerana suka-suka.
Gelaran itu kini membawanya menempa nama sebagai individu yang berpengaruh terutamanya dalam kalangan remaja di negara ini.
Enggan berada dalam zon selesa terlalu lama, Aisyah berkata dia suka mencuba perkara-perkara baharu untuk menambah nilai kepada dirinya.
Berkongsikan perkembangan dirinya, katanya dia ada mencuba belajar berlakon pada ketika ini.
Namun, ketika ditanya adakah dia bakal menceburkan diri ke dalam dunia hiburan, katanya perkara itu belum diketahui lagi.
“Saya cuma suka melakukan sesuatu yang baharu dan mencuba untuk keluar daripada zon selesa,” jelasnya lanjut.
Sempat berkongsikan tips kecantikannya sebelum menghabiskan bicara, kata Aisyah minda yang positif dan murah dengan senyuman antara rahsianya untuk kekal menawan.
Ketenangan dalaman akan memancarkan aura yang menarik pada wajah.
Paling penting katanya, yakinlah kepada diri sendiri kerana keyakinan yang menjadikan seseorang itu mempunyai pesona dan menawan.










