PETALING JAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memeterai perjanjian persefahaman dalam usaha meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan khususnya berkaitan kebajikan pelajar.
Pada majlis pemeteraian perjanjian itu, UMT diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Mazlan berkata, UMT bersetuju untuk bekerjasama dalam membuat penyelidikan dan membangunkan beberapa idea baharu bagi meningkatkan kefahaman pelajar dan staf terhadap kepentingan perkhidmatan yang ditawarkan agensi pembiayaan pendidikan negara itu demi kelangsungan masyarakat dalam mencatur masa depan yang lebih baik.
Beliau berkata, MoU bertujuan membudayakan penabungan simpanan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dalam kalangan warga UMT.
Ia juga untuk memberi kesedaran pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan memperkasakan pembangunan penyelidikan serta pendidikan tinggi untuk melahirkan graduan yang berkualiti sebagai generasi pelapis dan pemimpin negara.
“UMT sentiasa bersedia dalam memberi sokongan dan kerjasama dengan menyediakan insfrastruktur dan tenaga kerja bagi mengembangkan usaha tersebut,” katanya berucap pada majlis itu.
Menurut Mazlan, perjanjian juga melibatkan program bersifat tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran bersama kedua-dua agensi tersebut yang akan memberi manfaat kepada graduan universiti serta untuk kesejahteraan masyarakat.
Tambah beliau, kerjasama itu menyokong inisiatif UMT sebagai universiti yang memperkasakan bidang akademik dan penyelidikan, di samping mengambil pelbagai peluang untuk melengkapkan kecemerlangan akademik.
Pada majlis itu, dua pelajar UMT iaitu Nur Hafizah Bahru Anuar, penuntut Sarjana Muda Perakaunan dan Raja Halimatun Fikriyah Raja Khairuddin (Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim) dalam kategori asnaf, menerima tablet sumbangan PTPTN. Sumbangan bagi meringankan beban golongan memerlukan. – UTUSAN










