Bina 'kapal perang' bantu kempen Mohd. Amar

Bina ‘kapal perang’ bantu kempen Mohd. Amar

REPLIKA kapal perang yang menjadi bahan kempen untuk Mohd. Amar Nik Abdullah di DUN Panchor, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemuda Pas kawasan Pulau Belanga bertungkus-lumus membina replika kapal perang sebagai ‘bahan’ membantu kempen calon parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil Pemuda Pas Pulau Belanga, Irwan Hanafi, 28, berkata, ahli Pas di DUN Panchor mengeluarkan belanja sebanyak RM1,000 untuk membina kapal perang itu sejak sebulan lalu.

Katanya, seramai 20 pemuda Pas di kawasan itu menghasilkan replika kapal tersebut dengan menggunakan bahan seperti buluh, kayu dan kain rentang terpakai dengan gambar pemimpin Pas Kelantan.

“Kapal ini dihasilkan bagi memeriahkan suasana PRN kali ini. Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kami menghasilkan kapal selam untuk membantu kempen Pas.

“Kapal perang ini turut dihiasi dengan binaan meriam. Orang ramai boleh naik ke atas kapal itu untuk mengambil gambar dalam beberapa hari sahaja lagi sebelum tempoh kempen tamat,” katanya ketika ditemui semalam.

Irwan memberitahu, replika itu adalah tarikan utama di DUN Panchor, lebih-lebih lagi untuk mengekalkan Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Katanya, kapal perang itu juga adalah markas Pas Pulau Belanga dan menjadi tarikan penduduk apabila menghadiri ceramah di kawasan tersebut.

“Kapal perang ini menjadi tarikan ramai terutamanya pada waktu malam apabila ia dihiasi dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) di sekelilingnya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×