PRN: Lebih 95 peratus pengundi awal tunaikan tanggungjawab

PRN: Lebih 95 peratus pengundi awal tunaikan tanggungjawab mengundi

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika meninjau proses pengundian awal di Pusat Pengundian Awal Dewan D’Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam semalam. – Utusan/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peratusan keluar mengundi awal direkodkan mencapai purata 95 peratus di semua enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, sekali gus memberi gambaran positif jumlah pemilih yang akan turut turun menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 12 Ogos ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan jumlah keluar mengundi awal itu semalam di enam negeri adalah sebanyak 72,554 orang. Kedah dan Terengganu merekodkan jumlah ter­tinggi peratusan keluar mengundi masing-masing 96.02 dan 95.91 peratus.

Peratusan undi awal di Ne­geri Sembilan dan Selangor pula masing-masing menca­tatkan 94.05 dan 95.87 peratus, manakala Kelantan dan Pulau Pinang masing-masing 93.90 dan 95.01 peratus.

Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pula yang diadakan serentak dengan PRN kali ini turut merekodkan jumlah 95.47 peratus.

Sejumlah 97,388 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama penentuan mandat kerajaan negeri dalam PRN di enam negeri dalam proses pe­ngundian awal.

Jumlah itu terdiri daripada 49,660 tentera serta pasangan, 47,728 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuang undi di 260 pusat mengundi awal melibatkan 377 saluran mengundi diguna pakai.

Golongan pengundi awal ini adalah merangkumi kira-kira satu peratus daripada keseluruhan 9.77 juta pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Mengikut pecahan, jumlah pemilih dalam kalangan anggota keselamatan itu di Selangor adalah direkodkan tertinggi meliputi 26,557 orang, diikuti Negeri Sembilan (26,079 orang); Pulau Pinang (11,294 orang); Kelantan (11,205 orang) dan Terengganu (6,957 orang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×