Permohonan pinjaman turun, penggunaan kad kredit meningkat

Permohonan pinjaman turun, penggunaan kad kredit meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Mei lalu memberi kesan kepada jumlah permohonan pinjaman bank pada Jun 2023 apabila turun 11 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, permohonan pinjaman bank turut turun sembilan peratus bagi Jun tahun ini berbanding bulan sama tahun lalu.

Menurut beliau, penurunan berkenaan berkemungkinan disebabkan permohonan terpendam pada bulan-bulan sebelumnya berikutan faktor bermusim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada Mei lalu memberi kesan kepada jumlah permohonan pinjaman bank pada Jun.

Ujarnya, tindakan diluar jangkaan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang menaikkan OPR pada Mei menyebabkan kadar pinjaman bank ditetapkan semula meningkat.

“Ini mungkin menyebabkan bakal peminjam menjadi lebih selektif dengan permohonan mereka sambil meninjau kepada tawaran yang lebih kompetitif,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, Chua berkata, sistem pinjaman berkembang 4.4 peratus pada Jun lalu selari dengan unjuran firma penyelidikan berkenaan di antara 4.0 hingga 4.5 peratus.

Katanya pinjaman isi rumah juga turut meningkat 5.3 peratus dengan transaksi kad kredit menunjukkan pertumbuhan terbesar sebanyak 14 peratus.

“Pinjaman perniagaan meningkat sebanyak 3.0 peratus menyaksikan kenaikan terbesar daripada segmen perkhidmatan kewangan sebanyak 12 peratus dengan akaun pembuatan merosot 4.0 peratus berkemungkinan disebabkan rantaian bekalan bertambah baik.

“Dari segi bulan ke bulan, pinjaman isi rumah meningkat sebanyak 0.5 peratus namun pinjaman perniagaan susut 0.2 peratus disebabkan aliran masuk mungkin dirancang untuk membendung perbelanjaan perayaan,” katanya.

Chua berkata, pinjaman terjejas kasar (GIL) pada Jun 2023 mereda kepada 1.76 peratus daripada 1.80 peratus pada Mei lalu dan 1.81 peratus berbanding Jun 2022.

“Kami telah menjangkakan bacaan bulan sebelumnya menjadi sedikit tinggi disebabkan oleh faktor terlepas pembayaran disebabkan keutamaan kepada perbelanjaan musim perayaan.

“Bagaimanapun GIL pada Jun masih kekal pada paras normal yang kami tetapkan iaitu di antara 1.6 hingga 1.8 peratus pada asas sistem,” katanya.

Menurut Chua, persepsi yang lebih lemah didorong oleh prestasi mata wang tempatan yang tidak menggalakkan serta bilangan pengeluaran secara amnya kurang menaik menyebabkan landskap sektor domestik menjadi kurang menarik.

“Namun begitu, kami terus mempunyai keyakinan terhadap sektor perbankan untuk pendapatannya yang berdaya tahan dengan purata hasil dividen sebanyak enam peratus dan menyediakan tempat perlindungan yang menarik untuk pelabur jangka panjang di tengah-tengah minat yang berkurangan.

“Oleh itu kami mengekalkan unjuran ‘Overweight’ ke atas sektor perbankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN