Manis didengar belum tentu akan ditunaikan

Manis didengar belum tentu akan ditunaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUTAKHIR ini, di mana-mana sahaja ramai yang berlumba-lumba berbicara tentang untung nasib dan masa depan orang Melayu. Apatah lagi di musim pilihan raya kali ini, ramai yang tidak mahu ketinggalan memainkan isu ini.

Kalau dahulunya ada yang memperlekehkan isu Melayu, tetapi kini keadaannya sudah berubah sama sekali. Ramai pula mahu dilabelkan sebagai pejuang Melayu yang tegar. Malah, mereka yang dahulunya cuak untuk melafazkan perkataan Melayu pun kini tidak lagi segan untuk dilihat sebagai ultra Melayu.

Namun, malang sekali apabila ada dalam kalangan mereka yang lantang mendakwa diri mereka sebagai pembela Melayu, tetapi pada masa sama dilihat seakan-akan tidak mengenali dan memahami adab, adat serta sejarah bangsa sendiri. Budaya Melayu penuh sopan dan santunnya, tutur bahasanya indah dan halus serta tinggi nilai budi pekertinya. Orang Melayu ini beradab dan bukannya biadab. Kalau marah mereka berkias supaya rasa amarah itu tidak menguasai akal yang waras. Mereka menggunakan pantun, seloka, gurindam dan syair untuk menegur agar yang ditegur tidak mendapat malu atau berkecil hati.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak turun temurun orang Melayu merupakan rakyat raja-raja Melayu. Mereka amat sayang serta taat kepada raja, begitu juga raja-raja Melayu yang sangat sayang akan seluruh rakyat baginda. Raja dan rakyat berpisah tiada, begitu indahnya hubungan di antara raja dan rakyat di negara kita. Malah, sebelum terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu, negeri-negeri Melayu sangat makmur di bawah pemerintahan raja-raja Melayu tanpa berhadapan suasana hiruk piruk sistem politik moden seperti hari ini.

Rakyat yang taat kepada negara mesti memahami konsep pemerintahan raja berperlembagaan yang digariskan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini juga turut tertulis di dalam prinsip kedua Rukun Negara iaitu, Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Ia membuktikan betapa tingginya kedudukan raja-raja Melayu di dalam sistem kenegaraan kita.

Hakikat ini mesti difahami dan dipegang oleh mereka yang mendakwa diri sebagai pejuang nasib Melayu. Rakyat mesti sedar bahawa kedudukan raja-raja Melayu adalah lebih tinggi daripada politik, atau dengan kata lain raja-raja Melayu berada di atas politik. Sehebat mana pun para pemimpin politik, mereka tetap tidak boleh menderhaka kepada raja. Kita tidak mahu rakyat diajar bersikap biadap dan tidak menghormati institusi diraja. Jangan menjadi ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Pemimpin politik akan datang dan pergi tetapi raja-raja Melayu tetap menjadi tonggak kepada pemerintahan negara. Jawatan dalam politik, waima Perdana Menteri sekali pun tidak mempunyai tempoh tetap. Dalam tempoh penggal Parlimen ke-14, kita menyaksikan Perdana Menteri bertukar ganti dalam satu tempoh Parlimen yang sama. Begitu juga dengan kedudukan jemaah menteri yang turut bertukar ganti.

 

 

KEMBALILAH kepada sejarah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan fahamilah betapa besarnya pengorbanan raja-raja Melayu demi membentuk negara kita.

SIMBOL
Rakyat harus dididik tentang asas kenegaraan agar tiada lagi yang terkhilaf tentang kedudukan raja-raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara kita. Amat menyedihkan apabila masih ada dalam kalangan rakyat yang beranggapan raja-raja Melayu hanyalah sekadar simbol dan tidak mempunyai apa-apa kuasa pemerintahan. Kembalilah kepada sejarah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan fahamilah betapa besarnya pengorbanan raja-raja Melayu demi membentuk negara kita.

Berbeza dengan sesetengah negara beraja lain, raja- raja Melayu mempunyai kuasa eksekutif di dalam sistem pemerintahan negara. Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Utama negara sementara baginda-baginda sultan ialah ketua tertinggi bagi negeri-negeri. Malah, pelantikan Perdana Menteri sendiri adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Betapa besarnya peranan raja-raja Melayu jelas terbukti sepanjang krisis politik yang melanda negara setelah Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) yang lalu. Tanpa kuasa eksekutif dan kebijaksanaan Seri Paduka, negara sudah tentu berhadapan suasana kacau-bilau setelah peletakan jawatan secara mengejut oleh Perdana Menteri ketujuh pada 2020 akibat persengketaan politik dalaman gabungan partinya.

Hal hampir sama berlaku lagi dan Seri Paduka sekali lagi menstabilkan keadaan di kala berlaku kelompongan jawatan Perdana Menteri. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada negara jika kita bukan sebuah negara beraja? Maka, janganlah bermain api, nanti buruk padahnya. Mereka yang tidak menjunjung kedaulatan raja-raja Melayu tidak layak dipilih sebagai pemimpin di negara ini.

Kempen pilihan raya bukanlah masa bagi berpesta fitnah dan mengadu domba. Kerana sedar akan betapa besarnya pengaruh raja terhadap rakyat, maka ada yang mengambil kesempatan untuk memancing undi dengan cara yang sangat tidak beretika dan bermoral. Mengheret institusi istana ke dalam kancah politik merupakan satu perbuatan salah di sisi undang-undang negara dan mencemarkan kemuliaan institusi diraja.

Rakyat harus memilih pemimpin-pemimpin politik yang bermaruah dan bukannya memilih mereka yang sanggup meruntuhkan struktur pemerintahan negara demi mengejar dan mempertahankan kuasa. Janji orang politik, memang manis didengar tetapi belum tentu akan ditunaikan setelah mereka menang pilihan raya nanti. Ibarat orang menjual, ada yang amanah, ada yang tidak. Kerana mahukan keuntungan, buah yang masam sanggup dikatakan manis. Begitu jugalah orang yang memancing undi.

Berfikirlah dengan panjang sebelum membuat pilihan kerana jika tersilap pilih, maka buruk padahnya. Jangan sampai menang sorak kampung tergadai. Berhati-hatilah supaya kita tidak menjadi mangsa mainan persepsi dan mudah terpedaya dengan kemanisan gula-gula politik. Selamat mengundi dan semoga kita semua akan membuat pilihan betul.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×