Bukan ‘berperang’, tapi carilah kebaikan - Utusan Malaysia

Bukan ‘berperang’, tapi carilah kebaikan

RAKYAT yang mengundi dalam pilihan raya mahu pembangunan berkesan, bukan lagi beribu alasan. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGANUTI politik kepartian yang berbeza, bukan semestinya perlu bertelagah sehingga memutus perhubungan, melerai persahabatan. Itu hakikat yang sepatutnya wujud.

Hidup terus mengimpi damai dan kesejahteraan. Dan syukurnya bumi Malaysia yang indah permai ini sentiasa menghidangkan pelbagai sumber untuk dinikmati bersama. Lalu, ada baik jika diterjemahkan kesyukuran dengan mengerat perpaduan, bukan melebar sengketa berpanjangan.

Justeru, tidak ada istilah ‘perang’ dalam menghadapi pilihan raya. Berpolitik tidak bermakna untuk bermusuhan, tetapi mencari titik kebaikan dan penyelesaian demi kebaikan semua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, adakala berbeza pendapat dan pandangan boleh dijadikan ramuan untuk diolah, dijalin dan disimpul menjadi rumusan sesuai bagi membina kekuatan kehidupan sebangsa, seagama dan senegara.

Berhujahlah pada kenyataan sebenar, bertuturlah pada fakta yang tepat dan meyakinkan. Gunakan bahasa beradab dan tingkah bersopan. Jangan anggap segala nilai kebaikan ini sebagai klise dan sudah lapuk ketinggalan zaman, atau melihat catatan sebegini sebagai tiada membawa makna apa-apa.

Sebaliknya, mengetepikan asas-asas murni yang menjadi acuan sejak kehidupan berzaman akan hanya berhadapan jalan buntu untuk menggapai harmoni.

Tutur kata yang bersalut caci-maki, cemuh-mencemuh, fitnah-memfitnah dan memburuk-burukkan peribadi tentu meninggalkan kesan berlarutan dalam ingatan dan akibatnya akan hanya menjarakkan perpaduan dan rasa persaudaraan.

Sikap keterlaluan menyerang lawan atau pihak yang bertentangan kadang-kadang boleh menjadi lantunan balik (backfired) terhadap individu atau pihak-pihak berkenaan.

Nilai intelek tetap dipandang masyarakat. Jangan remehkan (underestimate) tanggapan rakyat. Marah biar berpadan, bengis biar bertempat. Tidak perlu memasang niat untuk terlalu mencari populariti atau sokongan secara mudah dan murah.

Dalam hubungan yang diperkatakan ini, intisari ringkas Kuliah Subuh oleh Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Mohamed di Masjid Sultan Muhamad II, Telipot, Kota Bharu beberapa minggu lalu menarik dan sesuai untuk diadunkan bersama.

Penekanan beliau tertumpu kepada konsep amanah, bermusyawarah dan adil yang turut menepati kehendak Islam. Ketiga-tiga elemen ini patut dijadikan pegangan dan tanggungjawab bersama, baik di pihak pemimpin mahupun rakyat.

BIBIR

Bergelar pemimpin perlu bersikap amanah. Perlu jujur dalam membawa wadah perjuangan sebenar demi rakyat dan negeri atau negara. Berjanji bukan sekadar terungkap di bibir, tetapi ikhlas bersedia melaksanakan tugas dan perkhidmatan dengan sebaiknya.

Apabila mandat sudah diberi, perlulah berupaya mengurus pemerintahan negeri. Jangan biarkan rakyat kecewa menanti. Rakyat mahu pembangunan yang berkesan, bukan lagi beribu alasan.

Pun demikian halnya dengan janji pilihan raya. Kata mesti dikota, yakni bukan semata-mata untuk mengabui mata. Pada masa sama, rakyat juga perlu bersikap amanah dan jujur dalam membuat pilihan.

Jika kegagalan kerap berulang, untuk apa lagi diberi peluang? Mengeluh tidak mendatangkan hasil, menyesal tidak membuahkan keuntungan. Jadi, buatlah pilihan yang bijak dan tepat. Elak mengulangi kesilapan.

Amanah besar yang perlu dipikul bersama oleh pemimpin dan rakyat sebagai pemilih dalam pilihan raya ialah menentukan jaminan survival bangsa dan negara. Jadi, bertindak jujurlah dalam memastikan kebajikan terjaga, masa depan terpelihara.

Malaysia perlu kekal stabil, makmur membangun. Sementara, pilihan raya adalah sesuatu yang mempunyai kaitan tentang kuasa dan upaya. Ertinya, pilihan raya bukan sebagai pentas eksperimen atau dibiar berlalu secara bersahaja.

Aspek musyawarah juga penting dalam menelusuri kehidupan berpolitik dan seterusnya membawa kepada menerajui pemerintahan. Sebarang penggubalan dasar perlu mengambil kira keperluan dan aspirasi rakyat. Rakyat boleh mengemukakan pandangan dan rungutan melalui wakil-wakil yang mereka pilih melalui proses pilihan raya.

Tanggungjawab pemimpin pula perlu sedia berbincang dengan peringkat akar umbi sebelum diangkat ke dewan persidangan. Ertinya, semua keputusan dibuat secara kolektif dan konsensus.

Melalui sistem bermusyawarah juga, rakyat perlu akur dan sedia menerima dengan rasional terhadap sebarang keputusan munasabah setelah melalui proses perbincangan secara jelas dan terbuka.

Permintaan terlalu tinggi mungkin tidak termampu atau ditangguh masa untuk dipenuhi tetapi mana-mana janji yang terdiam tidak ditepati perlu digoncang dan ditanya, “Apa sudah jadi?”

Satu lagi aspek penting perlu dipegang oleh pemimpin dan rakyat ialah adil. Sebarang perancang kerajaan atau pemerintah perlu bersifat adil, yakni dapat memanfaatkan seluruh rakyat secara inklusif. Pastikan tiada yang terkecuali atau terpinggir di samping bersikap prihatin kepada semua golongan.

Yang susah dibantu, yang senang dihargai. Juga untuk bertindak adil pada hal-hal tertentu. Rakyat perlu bersyukur dengan apa yang ada, jangan terlalu mencari apa yang tiada.

Adil juga boleh diterjemahkan pada sudut keupayaan sebenar seseorang calon atau parti yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat. Tentulah tidak adil kepada rakyat atau pengundi jika hanya dengan berterus-terusan menabur janji sedangkan berganti dekad masih gagal mentadbir negeri.

Tidak adil bagi rakyat pula kalau sekadar mengundi hanya bersentimen melepas geram atau benci tanpa berpijak pada harapan sebenar yang mereka cari. Amalkan pendekatan secara sihat kerana sebarang tindakan menggarap berkat. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×