Kereta elektrik tingkat permintaan unsur nadir bumi - Utusan Malaysia

Kereta elektrik tingkat permintaan unsur nadir bumi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Permintaan bekalan unsur nadir bumi meningkat mendadak akhir-akhir ini apabila kebanyakkan negara beralih kepada penggunaan tenaga mesra alam serta ingin mengurangkan jejak karbon.

Contohnya dengan kemunculan, kereta elektrik yang memerlukan enam kali input mineral nadir bumi berbanding kereta petrol.

Dengan peralihan ke kereta elektrik, permintaan unsur nadir bumi ini akan meningkat setiap tahun.

Oleh itu, tidak dinafikan kenapa industri perlombongan unsur nadir bumi ini menjadi topik hangat kerana perlombongannya melibatkan alam sekitar, kehidupan masyarakat setempat serta kestabilan ekonomi sesebuah negara, termasuk Malaysia.

Permintaan untuk elemen ini dijangka meningkat apabila kerajaan, organisasi dan individu semakin melabur dalam tenaga mesra alam atau tenaga bersih.

Sebuah kereta elektrik memerlukan enam kali input mineral kereta konvensional, dan loji angin memerlukan sembilan kali lebih banyak mineral daripada loji yang menggunakan gas.

Dengan anggaran semasa, permintaan untuk unsur nadir bumi boleh meningkat enam kali ganda menjelang 2040.

Permintaan litium dan kobalt boleh meningkat sepuluh hingga dua puluh kali ganda menjelang 2050 disebabkan industri pembuatan kereta elektrik.

Permintaan untuk dysprosium dan neodymium dianggarkan meningkat tujuh hingga dua puluh enam kali ganda dalam tempoh 25 tahun akan datang akibat daripada kenderaan elektrik dan turbin angin.

Impak perlombongan

Walaupun ada yang menyatakan perlom­bongan unsur nadir bumi ini tidak melibatkan penebangan pokok mahupun pembukaan kawasan yang besar, tetapi ia memberi kesan kepada kualiti tanah dan air.

Kaedah pengestrakkan yang tidak mampan dan tidak dipantau pakar dalam tanah dan air, turut memburukkan lagi keadaan ini dalam jangka masa singkat.

Teknik larut-lesap merupakan teknik biasa digunapakai dalam kerja pengekstrakan bijih unsur nadir bumi.

Proses pengekstrakan menggunakan jumlah bahan kimia yang tinggi, boleh menyebabkan kualiti tanah menurun serta merosakkan akar pokok dan tumbuhan di kawasan terlibat.

Contohnya, lombong unsur nadir bumi di Bayan-Obo, China merupakan lombong unsur nadir bumi terbesar di dunia dan mempunyai sebanyak 70,000 tan thorium dan ia menjadi isu alam sekitar apabila kolam pelepasan tidak mempunyai sistem penapisan yang sempurna.

Akibatnya, sebahagian besar unsur tersebut larutlesap ke dalam air bawah tanah dan mencemarkan sungai dan sumber air bawah tanah berhampiran.

Data dikeluarkan Environment Programme di bawah Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), hanya 25 peratus daripada 1.8 juta tan e-sisa domestik dikitar semula atau digunakan semula setakat tahun 2018.

Lebih 53 juta tan e-sisa dijana pada 2019, dengan kira-kira AS$57 bilion bahan mentah yang mengandungi unsur nadir bumi dan logam berharga seperti platinum, emas dan perak.

Kebanyakan teknologi pengekstrakan unsur nadir bumi wujud dalam skala yang sangat kecil dan bukan semua negara mempunyai fasiliti yang lengkap dan bersesuaian untuk mengekstrak nadir bumi ini.

Oleh itu, kebanyakan negara akan mengeksport e-sisa mereka ke negara yang mempunyai fasiliti lengkap seperti China untuk pengekstrakan dan penulenan unsur nadir bumi ini.

Kajian diterbitkan Center for Green Chemistry & Engineering di Yale University mengesahkan pengekstrakan unsur nadir bumi daripada sisa domestik dan industri seperti bateri, peralatan elektronik terpakai boleh menjadi alternatif yang menjanjikan untuk menampung keperluan unsur nadir bumi untuk teknologi masa depan dan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar.

Negara Jepun dahulunya sangat bergantung kepada eksport unsur nadir bumi daripada China, beralih kepada pengurusan tapak pelupusan sampah perbandaran dan e-sisa untuk menangani maslaah kekurangan bekalan mineral unsur nadir bumi untuk keperluan industri mereka.

National Institute of Material Science, Jepun melaporkan bahawa sisa bandar mereka mengandungi lebih daripada 290,000 tan unsur nadir bumi.

Penemuan ini menggalakkan syarikat perlombongan yang bertanggungjawab membina kemudahan kitar semula dan mengekstrak bahan nadir bumi ini.

Agroperlombongan

Kaedah teknologi hijau yang digunapakai untuk menyerap bahan pencemar dalam tanah dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan dikenali sebagai fitoremediasi.

Terma agroperlombongan ini boleh digunapakai untuk memperolehi unsur nadir bumi dalam tanah tanpa merosakkan tanah.

Pemilihan spesies tumbuhan bersifat hiperakumulasi amat penting agar ia boleh menyerap unsur nadir bumi.

Selepas itu, tumbuhan tersebut boleh dituai dan diekstrak unsur nadir bumi yang terkumpul dalam bahagian-bahagian tertentu pada tumbuhan tersebut bagi mengasingkan nadir bumi kepada unsur-unsurnya yang tulen.

Penggunaan tumbuhan berciri hiperakumulasi adalah mesra alam dan kos rendah.

Teknik ini boleh digunakan untuk mengekstrak unsur nadir bumi yang terlarut dalam tanah di kawasan tapak pelupusan sampah dan ini membolehkan kita memaksimakan kitar semula unsur nadir bumi ini.

Selain itu, kawasan yang dikenal pasti mempunyai unsur nadir bumi perlu dikenalpasti dan dipantau aktiviti perlombongan dari masa ke semasa bagi memastikan perlombongan dijalankan mengikut perundangan ditetapkan.

Pembukaan kawasan untuk perlombongan unsur nadir bumi ini perlu mengambil kira faktor sosio-ekonomi penduduk berhampiran agar kehidupan seharian mereka tidak terjejas.

Adalah penting untuk kita membuat kajian terlebih dahulu spesies-spesies tumbuhan yang sesuai untuk digunapakai fitoremediasi dan bersifat hiperakumulasi.

Tumbuhan yang bersifat hiperakumulasi boleh menyerap unsur dalam kepekatan yang lebih tinggi.

Unsur nadir bumi yang diserap oleh tumbuhan biasanya tersimpan pada bahagian daun, batang atau akar.

Selain itu, adalah penting untuk pakar-pakar alam sekitar yang terdiri daripada saintis tanah, tumbuhan, perubahan iklim serta ekonomi disatukan dalam membantu memastikan perlombongan nadir bumi ini dilakukan secara mampan dan minima impaknya kepada alam sekitar.

Artikel ini disumbangkan Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Daljit Singh Karam Singh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×