- Utusan Malaysia
MARGARET THATCHER bersama suaminya, Denis Thatcher. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN sudah lebih 30 tahun sejak Margaret Thatcher meninggalkan bidang politik, beliau tetap menjadi antara tokoh paling berpengaruh di Britain.

Thatcher bukan sahaja menjadi Perdana Menteri wanita pertama di Britain yang berkhidmat dari tahun 1979 hingga 1990. Malah, beliau juga merupakan Perdana Menteri wanita pertama di benua Eropah.

Thatcher adalah satu-satunya Perdana Menteri Britain pada abad ke-20 yang memenangi tiga penggal secara berturut-turut dalam pilihan raya.

Semasa peletakan jawatannya, beliau adalah perdana menteri paling lama yang berkhidmat di Britain sejak tahun 1927.

Thatcher merevolusikan ekonomi Britain kepada liberal dan menjadi pemimpin politik paling terkemuka negara itu selepas bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Winston Churchill.

Beliau meninggalkan dasar ekonomi yang lebih kepada pasaran bebas yang menjadi panduan kepada kebanyakan negara sehingga hari ini.

Ada yang melihat Thatcher berjaya menyelamatkan negara daripada kemerosotan ekonomi manakala segelintir pula percaya beliau menjejaskan mata pencarian golongan pekerja.

Namun, tidak boleh dinafikan Thatcher memainkan peranan penting dalam melakar sejarah negara.

Beliau juga memimpin Britain melalui era perang apabila melancarkan perang dengan Argentina apabila negara itu menuntut kedaulatan ke atas Kepulauan Falklands.

Thatcher mendapat jolokan ‘Wanita Besi’ daripada Soviet Press selepas mengkritik ideologi komunis ketika berucap dalam satu majlis pada 1976.

Pemimpin wanita itu dikenali dengan sikap yang tegas, keazaman tinggi dan gaya kepemimpinannya tanpa kompromi.

Beliau juga dilihat sebagai individu berkarisma dan patriotik serta dianggap mempunyai pemikiran tersendiri.

Keupayaan Thatcher menggalas tanggungjawab besar mengetuai jentera pentadbiran negara turut memberi inspirasi kepada ramai wanita untuk menduduki jawatan tertinggi dalam syarikat.

 

MARGARET THATCHER melambaikan tangan ke arah penduduk Moscow ketika lawatan rasmi ke Rusia pada 29 Mac 1987. – AFP

Berikut adalah biografi dan peristiwa penting berlaku dalam kehidupan Thatcher:

LATAR BELAKANG

• Margaret Hilda Roberts dilahirkan di Grantham, di sebuah bandar kecil di Lincolnshire, England pada 13 Oktober 1925.

• Anak perempuan kepada pasangan Alfred Roberts dan Beatrice Ethel Stephenson.

• Ayahnya merupakan peniaga dan ahli politik yang berkhidmat sebagai ahli majlis perbandaran selama 16 tahun sebelum menjadi Datuk Bandar Grantham dari 1945 hingga 1946.

PENDIDIKAN

• Thatcher belajar di Sekolah Perempuan Grantham.

• Pada tahun 1943, Thatcher mengikuti program ijazah sarjana muda kimia di Oxford University.

• Beliau juga menjadi presiden wanita pertama Persatuan Konservatif Oxford University.

• Dari tahun 1951 hingga 1954, Thatcher mengambil jurusan undang-undang yang mengkhusus dalam pengajian undang-undang cukai.

KERJAYA

• Selepas tamat pengajian, Thatcher bekerja sebagai ahli kimia penyelidikan namun minat sebenarnya adalah dalam bidang politik.

PERKAHWINAN

• Pada Disember 1951, Thatcher berkahwin dengan ahli perniagaan, Denis Thatcher.

• Dua tahun kemudian, beliau melahirkan pasangan kembar yang bernama Carol dan Mark.

POLITIK

• Beliau terus terlibat dalam politik termasuk menghadiri persidangan Parti Konservatif pada tahun 1948.

• Pada tahun 1950, Thatcher bertanding untuk kerusi Parlimen di kawasan Dartford yang dikuasai parti Buruh, tetapi gagal dalam pilihan raya tersebut.

 

KEBANGKITAN DALAM POLITIK

• Selepas gagal dipilih sebagai calon Konservatif pada pilihan raya negeri tahun 1955 bagi menggantikan ahli Parlimen, Sir Waldron Smithers yang meninggal dunia, Thatcher mengundur seketika daripada politik untuk memberi tumpuan terhadap keluarganya.

• Empat tahun kemudian, Thatcher dipilih sebagai ahli Parlimen Konservatif bagi Finchley di utara London.

• Selepas itu, Thatcher memegang pelbagai jawatan politik secara konsisten yang menarik perhatian dengan menjadi wanita paling muda dalam politik termasuk menyuarakan pandangan kontroversi seperti sokongannya terhadap hukuman mati.

• Pada 1970, Thatcher dilantik sebagai Setiausaha Pendidikan dan Sains kerajaan Baru Konservatif setelah parti itu kembali berkuasa di Britain.

• Thatcher secara rasmi terpilih sebagai pemimpin parti Konservatif pada 1975.

• Pada 3 Mei 1979, parti Konservatif pimpinan Thatcher menang besar dalam pilihan raya sekali gus beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri wanita pertama Britain.

 

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) ke-41, George H. W. Bush dan Margaret Thatcher menaiki buggy dari lokasi pendaratan helikopter di Kem David dalam satu lawatan kerja pada 24 November 1989. – AFP

SUMBANGAN

PENGGAL PERTAMA:

• Kerajaan di bawah pimpinan Thatcher menurunkan cukai langsung sambil meningkatkan cukai perbelanjaan.

• Menjual perumahan awam, melakukan langkah berjimat-cermat dan melakukan reformasi lain walaupun masalah kenaikan inflasi dan pengangguran di Britain menyebabkan populariti Thatcher merosot untuk sementara waktu.

• Pada April 1982, tentera Argentina melancarkan serangan ke atas Kepulauan Falklands sehingga Thatcher terpaksa mengerahkan pasukan tentera ke kawasan itu untuk mempertahankan kedaulatan pulau tersebut.

• Pada Mei 1982, kapal selam Britain secara kontroversinya menenggalamkan kapal penjajah Argentina yang berada di luar zon pengecualian rasmi dengan membunuh kira-kira 300 orang dalam kapal itu.

• Tentera Britain mendarat berhampiran Teluk San Carlos di Falkland Timur dan berjaya menawan ibu kota Port Stanley meskipun terdapat serangan udara berterusan.

• Argentina menyerah diri dan berundur dari Falkland sekali gus melonjakkan populariti Thatcher di Britain.

PENGGAL KEDUA

• Perang dan prestasi ekonomi yang semakin meningkat mendorong Thatcher menang besar buat penggal kedua.

• Pentadbiran Thatcher melaksanakan beberapa pendekatan untuk melemahkan keupayaan kesatuan pekerja mengadakan mogok sehingga mewajibkan mereka mengadakan undian rahsia sebelum mogok.

• Beliau juga enggan memenuhi sebarang tuntutan kesatuan termasuk membuat konsesi terhadap isu mogok pelombong yang berlangsung selama setahun.

• Pada 1984, tentera Republik Irish melancarkan serangan bom terhadap Persidangan Tahunan parti Konservatif di Brighton sehingga hampir membunuh Thatcher dan beberapa pegawai kerajaan.

• Thatcher juga menswastakan British Telekom dan sebahagian besar syarikat milik kerajaan yang lain.

• Berhubung dasar luar negara pula, Thatcher antaranya pernah menandatangan deklarasi bersama untuk menyerahkan kembali Hong Kong kepada China.

• Membantu pemerintahan minoriti kulit putih di Zimbabwe berakhir namun menentang sekatan terhadap Aparteid Afrika Selatan.

PENGGAL KETIGA

• Pada 1987, Thatcher mengetuai Konservatif untuk kemenangan kali ketiga parti itu dalam Pilihan Raya Britain.

• Kerajaan di bawah kepimpinan Thatcher menurunkan kadar cukai pendapatan menjadi rendah selepas perang.

• Cubaan untuk menetapkan cukai pengundian pada tahun 1989 menyebabkan tunjuk perasaan bahkan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam parti Konservatif. Ia adalah cukai berkadar tetap dengan setiap warganegara membayar jumlah sama dan beberapa rebat untuk golongan miskin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×