87.5 peratus panggilan lif rosak di kuarters Putrajaya  - Utusan Malaysia

87.5 peratus panggilan lif rosak di kuarters Putrajaya 

Anggota bomba mengumpil pintu lif bagi membawa keluar mangsa yang terperangkap di dalam lif .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kejadian lif rosak kerap berlaku di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan apartmen kos rendah terutama melibatkan bangunan banyak tingkat.

Apatah lagi dengan kepadatan penduduk, kekerapan penggunaan lif boleh menyebabkan pengangkutan itu cepat rosak selain kerosakan juga berpunca daripada vandalisme.

Kejadian tersebut sudah pasti menyusahkan penduduk kerana ia kemudahan asas untuk pergerakan turun naik ke rumah masing-masing. Lebih merisaukan jika secara tiba-tiba berlaku pula kejadian mencemaskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Masalah sama turut menimpa kuarters perumahan kerajaan. Mengikut rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam tempoh 2016 hingga 2020, sebanyak 87.5 peratus panggilan kecemasan membabitkan masalah lif diterima di Putrajaya adalah melibatkan kuartes perumahan kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, antara panggilan kecemasan itu seperti pintu lif tidak boleh dibuka, lif tidak berfungsi secara tiba-tiba atau lif turun ke tingkat bawah secara berperingkat.

Selain itu, sistem brek lif automatik berhenti secara tiba-tiba, masalah sensor lif dan bekalan elektrik di dalam lif terputus.

Menurut beliau, JBPM hanya membuat kerja-kerja menyelamat tanpa membuat siasatan punca kerosakan kerana ia melibatkan pengurusan bangunan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP).

“Kami hanya menyelesaikan masalah dan melakukan kerja-kerja menyelamat jika berlaku kes kecemasan.

“Pihak JKKP akan membuat pengujian pengoperasian lif secara tahunan. Dari sudut penyelenggaraan lif pula ia melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) bangunan dan pihak kontraktor lif,” kata beliau di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, JBPM merekodkan sebanyak 555 panggilan berkaitan lif bermasalah di Putrajaya pada 2016 hingga 2020 dengan 11 mangsa cedera manakala satu kematian.

Katanya, dalam tempoh itu, seramai 1,473 mangsa diselamatkan.

Selain itu, menurut beliau, dalam tempoh sama JBPM menerima sebanyak 4,027 kes membabitkan lif di Kuala Lumpur dengan 10 kes mangsa cedera manakala tiga kematian selain 5,006 mangsa diselamatkan.

“Di Selangor pula sebanyak 2,009 kes direkodkan, dengan 23 mangsa cedera dan 25 kematian serta 2,132 mangsa diselamatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penjagaan lif perlu dilakukan bagi mengelak kerosakan iaitu melalui penyelenggaraan asas yang dibuat secara berkala dan teratur.

Katanya, ini termasuk membuat pengujian kebolehfungsian berjadual selain memeriksa ujian penuh ‘alarm’ supaya tidak mudah berlaku kerosakan.

“Kita tidak menolak kemungkinan kes vandalisme yang menyebabkan kerosakan lif seperti menendang pintu dan alat sensor selain merosakkan suis bomba di luar pintu lif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×