Mutakhir ini, kedengaran isu berkaitan penerbitan jurnal pemangsa (predatory journals) melibatkan ramai ahli akademik di negara kita. Hal seumpama ini sebenarnya bukanlah suatu isu baharu.
Penetapan syarat penerbitan di jurnal berimpak tinggi sebagai pengukur kenaikan pangkat menjadikan ahli akademik mudah menjadi sasaran jurnal pemangsa.
Terdapat jurnal pemangsa yang mengenakan bayaran yang begitu tinggi dengan tempoh penerbitan yang singkat menyebabkan ahli akademik terjerat demi memenuhi syarat ditetapkan universiti.
Ahli akademik seharusnya berperanan sebagai jambatan antara masyarakat dan dunia keilmuan. Penekanan harus diberikan kepada ahli akademik untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat dalam apa jua medium penerbitan dan tidak hanya penerbitan di jurnal berimpak tinggi supaya tidak terbina jurang antara ahli akademik dan masyarakat.
Apabila ahli akademik terlalu ghairah untuk menerbitkan artikel di jurnal berimpak tinggi, dibimbangi penerbitan tersebut sekadar menjadi pencapaian peribadi semata-mata dan ilmunya tidak langsung mampu dimanfaat oleh masyarakat terbanyak.
Hal ini menjadikan ahli akademik cenderung untuk terlibat dalam isu boncengan gratis (menumpang secara percuma). Terdapat jurnal yang ditulis melebihi tiga orang yang kadangkala bidang kepakarannya langsung tidak berkait dengan kandungan artikel.
Pihak universiti seharusnya menjadikan aktiviti kemasyarakatan, ceramah agama di masjid atau surau oleh ahli akademik, aktiviti kesukarelawanan, penerbitan buku dan artikel di akhbar dan majalah yang diiktiraf sebagai syarat yang hampir setara pemberatan pemarkahannya dengan penerbitan di jurnal berimpak tinggi. Hal ini kerana, ilmu yang baik adalah ilmu yang mampu dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat dan bukan hanya ahli bidang tertentu sahaja.
Namun begitu, penerbitan jurnal berimpak tinggi bukanlah masalah tetapi harus diteliti semula kaedahnya. Justeru, ahli akademik yang menerbitkan artikel di jurnal dalaman universiti atau fakulti tertentu tidak harus dinilai sebagai bertaraf rendah dan tiada kualiti selagi mana artikel tersebut mampu dimanfaatkan oleh audien yang membacanya.
Istilah jurnal ‘cap ayam’ yang diberikan oleh sesetengah ahli akademik terhadap jurnal dalaman universiti atau fakulti harus dibuang sejauh-jauhnya agar ahli akademik tidak terlalu berkiblatkan jurnal berimpak tinggi yang sekaligus memungkinkan ahli akademik terjerat dalam isu jurnal pemangsa.
Ahli akademik harus membetulkan niat menyampaikan ilmu kepada masyarakat dan bukan semata-mata mencapai kepentingan karier peribadi agar roh ilmu itu tidak hilang.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Pahang, Kampus Raub.









