MELAKA: Pergerakan Pemuda UMNO menyokong hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengembalikan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, khusus bagi membanteras sindiket perjudian terutama judi dalam talian yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat termasuk generasi muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan dilontarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain itu dilihat relevan dengan situasi semasa yang mana pengaruh judi dalam talian kian berkembang disebabkan tekanan ekonomi di hadapi majoriti rakyat berpendapatan rendah.
Beliau berkata, sindiket berkenaan juga pastinya beroperasi dalam keadaan terancang dan kebiasaannya dikelolakan dari luar negara, lantas membuatkan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 tidak mampu melumpuhkan kegiatan itu.
“Kalau kita hendak bercakap (pembanterasan) judi dalam talian ini digunakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, judi dalam talian tidak ada premis. Ini pun menjadi satu daripada permasalahan dan kekeliruan. Kalau kita masukkan judi dalam talian ini dalam salah satu elemen POCA, sudah tentu kita boleh basmi secara besar-besaran.
“Kita melihat bahawa POCA adalah untuk jenayah yang berat dan terancang dan sebenarnya kalau lihat balik judi, judi dalam talian terutamanya dekat negara kita adalah sangat terancang.
“Kadang-kadang, judi ini datang dari luar negara, kita mohon kerajaan menilai semula supaya boleh masukkan judi dalam talian ini dalam salah satu kategori jenayah di bawah POCA,” katanya ketika dihubungi.
Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, PDRM memerlukan POCA bagi memerangi aktiviti jenayah terancang terutama sindiket perjudian yang semakin berleluasa di negara ini.
Pelaksanaan POCA digantung sementara susulan keputusan mahkamah yang membawa kepada pembebasan beberapa tahanan di bawah akta tersebut ketika itu.
Razarudin berkata, polis memerlukan POCA bagi memudahkan penguatkuasaan memerangi pelbagai jenayah terancang seperti judi yang sindiket itu ketika ini sedang mengaut keuntungan besar. – UTUSAN










