Struktur semula ekonomi Malaysia

Struktur semula ekonomi Malaysia

BARJOYAI BARDAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu menstruktur semula ekonomi­nya bagi mencapai sasaran 30 ekonomi terbesar di dunia dan tangga ke-12 teratas dunia bagi Indeks Daya Saing Global dalam tempoh 10 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, tindakan itu pen­ting kerana ekonomi negara sejak hampir 70 tahun dahulu sangat bergantung kepada modal atau pelaburan langsung asing (FDI).

Katanya, asas pemacuan ekonomi yang mengharap kepada FDI perlu diubah dengan memberi keutamaan kepada aspek kemahiran dan produktiviti tenaga kerja.

GANTI

“Maksudnya kita perlu de­ngan segera mewujudkan barisan tenaga kerja yang mahir dan berkepakaran yang dapat memacu ekonomi menggantikan modal (FDI).

“(Langkah) Ini dilakukan oleh Hong Kong. Mereka memilih untuk memacu ekonomi de­ngan meningkatkan kepakaran dan kemahiran tenaga kerja berbanding Singapura yang menggunakan FDI.

“Ini boleh dilakukan sebelum 10 tahun. Hong Kong juga melakukannya kurang daripada lima tahun. Memang kita perlu mengatasi banyak negara besar seperti Kanada, Norway, Belgium dan Finland, tetapi boleh lakukan jika betul-betul tumpu kepada tenaga kerja.

“Ini mungkin memerlukan modal seperti perlu melabur dalam kemahiran, tetapi ia akan mewujudkan kesan besar. Misalnya jika melabur dalam kumpulan tenaga muda, maka mereka ada sekurang-kurang­nya 50 tahun lagi untuk berbakti kepada negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan tujuh penanda aras melalui Ekonomi Madani sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, peningkatan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja juga membantu ekonomi lebih lestari kerana mereka tidak berpindah dan bergerak.

Katanya, ini kerana mereka yang mahir itu merupakan warganegara yang akan terus ber­khidmat sehingga bersara.

“Jadi bagaimana kita mahu membangun tenaga kerja dalam masa singkat, dengan lebih 70 peratus daripada 16.5 juta pekerja dilaporkan hanya mempunyai kelayakan (setakat) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), itulah cabaran sebenar.

“(Namun) Ini boleh dilakukan. Kita ada 22 universiti awam dan lebih 400 universiti swasta, jadi kita boleh buat program intensif antara industri dan universiti untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja,” katanya.

Beliau menambah, langkah meningkatkan tenaga kerja itu turut membantu meningkatkan pengagihan kekayaan dan pendapatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×