Jurutera berhenti kerja, jual bantal - Utusan Malaysia

Jurutera berhenti kerja, jual bantal

SITI Natasha Nordin dan suami Mohamad Azli Che Azhar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengambil keputusan berhenti sebagai jurutera atas alasan menjaga anak, tidak bererti Siti Natasha Nordin,38, duduk di rumah goyang kaki.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Pusat Pengajian Tinggi tempatan ini sebaliknya mengatur strategi menjalankan perniagaan dalam talian.

Sebelum berhenti kerja pada tahun 2013, beliau berjinak-jinak menjual produk kesihatan dan makanan tambahan.

Malah pernah menual barut bayi bersama ibu di medium media sosial.

“Ingin memantapkan ilmu saya, menghadiri kelas persediaan perniagaan, pengurusan kewangan dan pemasaran untuk berjualan.

“Sampai bila kita nak menjual produk orang lain sedangkan kita bercita-cita memiliki perniagaan sendiri,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujaranya, bukanlah mudah membuat keputusan berhenti kerja jika bukan disebabkan situasi yang mendesak ketika itu.

“Pada awalnya saya akui selesa tetapi lama-kelamaan terasa tidak seronok tidak berbuat apa-apa.

“Lagipun pada waktu itu saya dan suami pasangan jarak jauh kerana suami bekerja dengan sebuah syarikat minyak dan gas,” kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Selepas yakin mempunyai bakat sebagai usahawan dan bercadang melahirkan lebih ramai yang mempunyai pendapatan sampingan seperti dirinya, Siti Natasha mengajak suami Mohamad Azli Che Azhar bersama-sama dengannya memajukan perniagaan menjual bantal Leyna, menerusi syarikat Flenaz Synergy Sdn. Bhd.

“Apabila perniagaan berkembang, suami juga berhenti kerja dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan bersama-sama berjuang dalam bidang yang kami pilih. Paling penting dekat dengan anak-anak dan sama-sama mencipta kejayaan sebagai usahawan,” katanya.

SUKA DEKORASI

Idea menjual bantal muncul lantaran Siti Natasha sangat menitikberatkan keselesaan, kebersihan dan dekorasi di dalam bilik tidur.

“Saya gemarkan suasana dalam bilik tidur cantik dan selesa dengan kelengkapan yang mudah diurus. Misalnya bantal yang kami perkenalkan mempunyai corak dan mudah dibasuh dibandingkan ramai di antara kita sekadar menukar sarungnya sahaja dan bertahun-tahun menggunakan bantal yang sama.

“Apabila konsep tersebut diperkenalkan ia sekali gus menggalakkan orang lain menjalani kehidupan yang sihat kerana ramai yang kurang prihatin untuk memiliki bantal yang bersih,” katanya.

Ada sembilan jenis bantal dijual di dalam talian serta media sosial dengan tawaran bantal altenatif kepada isian kekabu dan isian bulu itik.

Jenis bantal berbeza daripada segi saiz dan kegunaan seperti bantal kepala, bantal peluk, bantal bersaiz kecil dan kusyen dengan harga bermula daripada RM23 sehingga RM150.

Atas alasan manusia memerlukan tidur lebih enam jam sehari menyebabkan beliau terfikir bahawa kita perlu memiliki bantal bersih dan boleh dibasuh.

“Ilham menjual bantal ini turut timbul bila saya sedar pada masa itu tidak ada lagi barangan keperluan rumah dijual secara dalam talian dengan menggunakan sistem reseller. Lazimnya orang ramai akan keluar ke pusat membeli-belah dan kadang-kala dalam keadaan yang bersesak-sesak justeru saya nampak situasi tersebut sebagai satu peluang kami yang baik dengan memperkenalkan produk yang selalu dicari,” katanya.

TIGA JUTA LAKU

Hingga kini bantal Leyna, terjual lebih tiga juta unit dalam tempoh lima tahun beroperasi.

“Bantal ini mempunyai keunikan tersendiri kerana apabila kita tidur keselesaan bantal akan mempengaruhi kenikmatan rehat. Alasan itu yang menyebabkan saya lebih fokus menghasilkan satu produk yang mampu membantu menyelesaikan masalah pengguna.

“Seperti kehendak kita yang mahukan bantal gebu dan selesa, jadi bantal yang saya hasilkan juga mesti diperbuat daripada material berkualiti tinggi serta memberikan keselesaan maksimum pada pengguna.

“Penting juga untuk memasarkan dengan harga berpatutan dengan tawaran mampu milik. Bagaimana pun untuk kegunaan lebih lama, bantal mesti boleh di basuh dan kekal dalam bentuk sempurna selepas proses pengeringan. Maknanya bahan yang digunakan tidak akan mudah rosak walaupun dibersihkan menggunakan mesin basuh,” katanya yang kini dalam proses membuka kilang sendiri dalam tempoh masa lima tahun akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×