Ketahui pecahan dalam faraid - Utusan Malaysia

Ketahui pecahan dalam faraid

HARTA dan aset seperti emas, tanah, kereta dan wang ringgit tertakluk kepada undang-undang faraid apabila berlaku kematian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kefahaman yang jitu tentang mengurus dan mengira faraid adalah sangat penting dalam agihan sesuatu harta pusaka. Setiap harta pusaka perlu diurus dengan sebaik mungkin dan disegerakan pembahagiannya kepada waris yang berhak berpandukan hukum faraid.

Di pihak waris, pengetahuan asas tentang agihan harta pusaka bermula dengan maklumat berkaitan pecahan dalam pembahagian faraid.

Hal ini kerana, ilmu faraid itu sendiri merupakan satu disiplin ilmu berkaitan pembahagian harta pusaka si mati dari sudut fiqh dan pengiraan.

Aspek pengiraan yang ditonjolkan berkait secara langsung dengan ilmu ini ialah penentuan pecahan-pecahan tertentu bagi menunjukkan bahagian kepada waris yang berhak.

Ia dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah). (al-Nisa’: 7)

Ayat ini menjelaskan setiap waris mempunyai bahagian masing-masing daripada harta peninggalan ahli keluarga yang meninggal dunia.

Bahagian yang bersifat umum ini kemudiannya dihuraikan melalui penentuan pecahan-pecahan tertentu berserta waris yang memperolehi menerusi ayat 11, 12 dan 176 daripada surah al-Nisa’ secara khususnya. Pecahan-pecahan nombor yang selalu dipelajari dalam matematik menjadikan ilmu faraid bersifat unik dan tersendiri.

Enam pecahan yang khusus berkaitan perundangan faraid ialah satu perdua [1/2], satu perempat [1/4], satu perlapan [1/8], dua pertiga [2/3], satu pertiga [1/3] dan satu perenam [1/6].

Setiap waris yang mendapat pecahan-pecahan ini akan digelar dengan waris ashab al-furud iaitu mereka yang memperoleh harta pusaka secara tetap.

Waris ashab al-furud terdiri daripada 12 orang yang meliputi empat lelaki dan lapan perempuan. Empat orang lelaki ialah bapa, datuk yang sah, saudara lelaki seibu dan suami.

Sementara lapan orang perempuan ialah ibu, nenek, anak perempuan, cucu perempuan (anak perempuan daripada anak lelaki), saudara perempuan kandung (seibu sebapa), saudara perempuan sebapa, saudara perempuan seibu dan isteri.

Persis hukum lain dalam Islam yang bersifat nombor, keperluan untuk akur dan taat kepada peraturan faraid sangat penting. Mungkin sehingga kini ada yang masih tertanya secara logik tentang perbezaan bilangan rakaat dalam solat yang akhirnya kita perlu patuh tentang kewajipan hukum solat tersebut.

Dari sudut lain, di situlah keunikan Islam yang bukan bersandarkan logik akal semata-mata, bahkan elemen wahyu sentiasa wujud di sebalik pensyariatan ajaran Islam itu sendiri.

Dalam agihan faraid secara pecahan dapat difahami keanjalan hukum Islam itu sendiri kerana meraikan kepelbagaian kondisi keluarga si mati dan perbezaan nilai harta yang ditinggalkan.

Ini kerana setiap keluarga mempunyai konflik pusaka yang berbeza. Walaupun waris antara dua individu berkemungkinan sama, tetapi nilai harta pusaka juga berbeza. Oleh itu, penentuan dalam bentuk pecahan dapat mengagihkan nilai harta pusaka sebenar kepada setiap waris.

Sebagai contoh dalam Jadual 1, dua orang (si mati A dan si mati B) meninggal dunia meninggalkan waris yang sama iaitu ibu, seorang isteri dan seorang anak lelaki.

Penyelesaian faraid untuk kedua-dua si mati ialah sama iaitu ibu mendapat 1/6 (menyamai 4/24), isteri mendapat 1/8 (menyamai 3/24) dan anak lelaki mendapat baki iaitu sebanyak 17/24.

Dengan andaian si mati A meninggalkan harta sebanyak RM12,000 dan si mati B meninggalkan RM36,000, maka setiap waris akan memperolehi habuan yang berbeza walaupun pecahan asal adalah sama.

 

JADUAL1

PECAHAN SATU PERDUA [1/2]

Satu perdua ialah separuh atau setengah harta pusaka yang diberikan kepada lima orang waris iaitu suami, seorang anak perempuan, seorang cucu perempuan (anak perempuan daripada anak lelaki), seorang saudara perempuan kandung (seibu sebapa) dan seorang saudara perempuan sebapa.

Suami si mati akan mendapat satu perdua apabila isterinya meninggal dunia dan tidak meninggalkan sebarang anak atau cucu daripada anak lelaki dan ke bawah.

Anak perempuan dapat satu perdua jika bilangannya seorang dan bapa atau ibunya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan yang lain.

Cucu perempuan pula dapat satu perdua jika bilangannya seorang dan datuk atau neneknya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki daripada anak lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki lebih daripada seorang.

Seorang saudara perempuan seibu sebapa akan mendapat satu perdua apabila saudara seibu sebapanya meninggal dunia dan tidak meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan, bapa, saudara lelaki seibu sebapa, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa yang lain atau datuk sebelah bapa.

Adapun saudara perempuan sebapa mendapat satu perdua apabila saudara sebapanya meninggal dunia dan tidak meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan, bapa, saudara lelaki atau perempuan seibu sebapa, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki, saudara lelaki sebapa, saudara perempuan seibu sebapa yang lain atau datuk sebelah bapa.

PECAHAN SATU PEREMPAT [1/4]

Satu perempat ialah suku bahagian yang diberi kepada dua waris sahaja. Pertama ialah suami si mati apabila isterinya yang meninggal dunia meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki.

Waris kedua yang mendapat satu perempat ialah isteri si mati jika suaminya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau perempuan, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki.

PECAHAN SATU PERLAPAN [1/8]

Satu perlapan merupakan salah satu kadar fardu (tetap) diberikan kepada seorang waris sahaja mengikut syarat tertentu.

Waris yang dimaksudkan ialah isteri si mati iaitu apabila suaminya meninggal dunia dan turut meninggalkan zuriat (furu‘) sama ada anak lelaki atau perempuan, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki.

Pewarisan satu perlapan ini adalah secara perkongsian iaitu sekiranya terdapat lebih daripada seorang isteri, maka isteri-isteri akan berkongsi bahagian pusaka ini antara mereka.

PECAHAN DUA PERTIGA [2/3]

Dua pertiga ialah bahagian fardu yang diperolehi oleh waris-waris perempuan sahaja, iaitu anak perempuan, cucu perempuan, saudara perempuan seibu sebapa (kandung) dan saudara perempuan sebapa mengikut syarat tertentu.

Anak perempuan mendapat dua pertiga jika bilangan mereka ialah dua orang atau lebih, dan tiada bersamanya anak lelaki. Cucu perempuan pula dapat dua pertiga apabila bilangan mereka dua orang cucu perempuan daripada anak lelaki atau lebih, dan tiada bersamanya anak lelaki, dua atau lebih anak perempuan atau cucu lelaki daripada anak lelaki.

Bagi saudara perempuan kandung untuk mendapat dua pertiga ialah ketika terdapat dua orang saudara perempuan seibu sebapa atau lebih, dan tiada bersamanya anak lelaki atau anak perempuan, bapa, saudara lelaki seibu sebapa, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki, atau datuk sebelah bapa.

Adapun syarat saudara perempuan sebapa pula ialah terdapat dua orang saudara perempuan sebapa atau lebih, dan tiada bersamanya anak lelaki atau anak perempuan, bapa, saudara lelaki atau perempuan seibu sebapa, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki, saudara lelaki sebapa atau datuk sebelah bapa.

PECAHAN SATU PERTIGA [1/3]

Satu pertiga merupakan salah satu kadar tetap yang diberikan kepada tiga orang waris mengikut syarat tertentu iaitu iabu, saudara lelaki seibu dan saudara perempuan seibu. Ibu si mati dapat satu pertiga apabila anaknya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau perempuan, cucu lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki atau lebih daripada seorang adik beradik sama ada lelaki atau perempuan daripada hubungan seibu sebapa atau sebapa atau seibu.

Saudara lelaki dan saudara perempuan seibu iaitu adik beradik si mati atas ibu yang sama akan berkongsi bahagian satu pertiga apabila bilangan mereka dua orang atau lebih dan saudara seibunya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan, bapa, cucu lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki atau datuk.

PECAHAN SATU PERENAM [1/6]

Satu perenam adalah kadar tetap yang diberi kepada waris yang paling ramai iaitu lapan orang mengikut syarat tertentu. Mereka ialah bapa, datuk, saudara lelaki seibu, ibu, nenek, cucu perempuan, saudara perempuan sebapa dan saudara perempuan seibu.

Bapa mendapat satu perenam apabila si mati (anaknya) mempunyai anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki ke bawah. Datuk pula mendapat satu perenam si mati (cucunya) mempunyai anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki ke bawah dan sudah tidak mempunyai bapa.

Saudara lelaki seibu akan memperolehi satu perenam apabila bilangannya seorang sahaja dan mewarisi jika si mati (saudara seibunya) tiada anak lelaki atau anak perempuan, cucu lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki, bapa atau datuk.

Ibu si mati berhak mendapat satu perenam apabila si mati (anaknya) mempunyai anak atau cucu daripada anak lelaki atau mempunyai dua dan lebih adik beradik. Nenek si mati turut layak mendapat satu perenam jika si mati (cucunya) sudah tidak mempunyai ibu lagi.

Cucu perempuan dapat satu perenam ketika bersama seorang anak perempuan si mati dan tiada bersama mereka anak lelaki atau dua anak perempuan. Saudara perempuan sebapa pula mewarisi satu perenam ketika bersama seorang saudara perempuan seibu sebapa dan tiada bersama mereka anak lelaki, saudara lelaki seibu sebapa, dua atau lebih saudara perempuan seibu sebapa atau saudara lelaki sebapa.

Saudara perempuan seibu mendapat satu perenam dengan syarat yang sama kepada saudara lelaki seibu iaitu ketika bilangannya seorang sahaja dan mewarisi jika si mati (saudara seibunya) tiada anak lelaki atau anak perempuan, cucu lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki, bapa atau datuk.

PENEGASAN

Pecahan-pecahan berkaitan faraid disebut secara dominan dalam al-Quran iaitu enam pecahan daripada lapan yang disebut oleh Allah SWT. Penceritaan bernombor ini menjadi sebahagian bukti mukjizat al-Quran dalam kepelbagaian gaya penerangan sesuatu hukum.

Penguasaan pecahan faraid ini menggambarkan suatu bentuk formula yang memerlukan kepada kekuatan dan ketelitian ingatan dalam pembahagian setiap harta pusaka si mati.

  • Zahari Mahad Musa, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia [USIM]
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×