PETALING JAYA: Kumpulan Hamas mengucapkan salam takziah dan berdukacita di atas pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kerana menyifatkannya sebagai sahabat sejati Palestin.
Ketua Pejabat Perhubungan Arab dan Islam Hamas, Dr. Khalil al-Hayya berkata, sokongan Allahyarham yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan usahanya dalam memperjuang hak kebebasan mereka adalah sesuatu yang terpuji dan wajar dicontohi.
“Datuk Seri Salahuddin bukan sahaja seorang negarawan dan menteri tetapi juga sahabat sejati Palestin.
Berita berkaitan:
“Empati dan keprihatinan beliau yang tulus terhadap rakyat Palestin telah meninggalkan kesan yang berkekalan di hati rakyat Malaysia dan Palestin. Advokasi beliau untuk hak golongan yang tertindas dan terpinggir adalah bukti watak dan dedikasi beliau sebagai seorang pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam surat yang dikongsikan kepada Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Justeru beliau berkata, Hamas mendoakan keluarga Allahyarham supaya dikurniakan kesabaran, kekuatan, dan ketabahan buat mereka semua.
“Kami bersolidariti dengan seluruh rakyat Malaysia dalam tempoh yang menyedihkan ini.
“Semoga kebaikan Allahyarham dan komitmennya terhadap keadilan terus mendorong kita semua untuk berjuang demi keamanan, kebebasan dan kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN











